Iklan

Iklan Nuffnang

23 Jul 2015

Kek Buah Kukus Lembab dan Sedap Azie Kitchen






Saya menyediakan kek ini dalam masa yang sama dengan saya memasak Rendang Ayam Nogori di SINI dan menyediakan bahan untuk Kuah Kacang Berdaging di SINI. Kiranya saya melakukan 3 kerja dalam satu masa. Saya sebenarnya mempunyai 3 resepi Kek Buah Kukus yang serupa tapi tidak sama. Haa agak agak boleh keliru tak? Yang saya nak kongsikan cuma 2 sahaja. Mana mana kek pun menggunakan bahan yang sama jer, cuma bila sukatan berbeza akan memberi rasa dan tekstur yang berbeza. Semuanya memerlukan kita untuk mencuba dan membuat perbandingan sendiri. Atau cara paling mudah, baca jer perkongsian yang dibuat oleh mereka yang telah mencuba, jika ada yang sudi berkongsi. Maklumlah kadang kadang ada yang tak mahu berkongsi kerana mahu menjual resepi secara online terutama bagi resepi yang telah dicuba dan dibuat penambahbaikan. Tidak salah pun sebenarnya kerana itu adalah hak masing masing. Lagi pun, kalau mahu belajar di kelas pun, masih kena bayar yuran juga.
  




Berbalik pada resepi Kek Buah Kukus yang telah saya cuba. Hahaha sebelum melalut lebih jauh. Resepi pertama di SINI adalah resepi yang asalnya dari Chef Zubaidah Chepa yang telah dicuba oleh ramai blogger dan resepi kedua adalah resepi yang saya pelajari dari Kak Leen, kakak ipar saya sendiri di SINI. Kedua dua resepi ini menggunakan bahan yang sama cuma menggunakan sukatan yang berbeza. Kek Buah Kukus adalah kek buah yang agak remeh untuk menyediakannya disebabkan oleh masa untuk mengukusnya yang sangat lama, jadi saya banyak membaca dan menanyakan tip tip untuk menghasilkan kek buah yang sedap dan lembab. Jadi jangan lupa untuk membaca tips yang diberi di bahagian akhir entri ini. 





Entah kenapa tiba tiba teringin untuk makan kek Buah Kukus, bukan tak boleh order tapi rasa lebih seronok jika dapat disediakan sendiri. Tapi jika sendirian di dapur pun, tak seronok juga. Kalau ada teman, kerja banyak pun terasa sedikit sahaja. Juita membantu saya menyediakan kek hari ini. Masih menggunakan resepi kek dari kakak ipar saya, cuma saya menggunakan sukatan gula sebanyak 700 gram. Dulu saya menggunakan 600 gram sahaja. Susahlah nak rujuk resepi mana satu, resepi 1 lah, resepi 2 lah, jadi kali ini saya namakan Kek Buah Kukus Azie Kitchen. Haa senang untuk jadi rujukan sendiri.

Jom meh layan resepi yang saya telah tuliskan semula dengan bahasa yang lebih mudah supaya lebih jelas. Ianya sangat sedap dan sesuai dengan selera saya. Selepas beberapa hari, ianya menjafi bertambah moist. Pendek kata inilah a keeper recipe untuk kek buah kukus bagi saya....




Kek Buah Kukus Lembab Azie Kitchen 
Loyang saiz: 10"-12”

Bahan bahan:
500 gram mixed fruit
6 biji telur gred A - guna 7 gred sederhana
2 sudu kecil esen vanilla
2 sudu kecil esen ros 

Bahan Ayak:
600 gm tepung gandum
2 sudu kecil soda bikarbonat 
1/2 sudu kecil cream of tartar 
1 sudu kecil serbuk buah pala - opsyenal

Gula Hangus:
4 cawan gula pasir/800 gm - guna 700 gram
1/2 cawan air sejuk
500 gm butter

Cara cara:
Panaskan gula pasir di dalam kuali menggunakan api kecil sehingga gula cair dan berwarna perang. Tuangkan air dengan berhati hati dan kacau seketika sebelum dimasukkan butter. Terus masak sehingga cair. 

Masukkan pula mixed fruits dan masak sehingga mendidih dan tutup api. Ketepikan dan sejukkan sehingga agak suam.





Masukkan pula bahan ayak ke dalam adunan gula hangus tadi sedikit demi sedikit dan kacau dengan menggunakan senduk kayu hingga rata. 

Dalam bekas lain, pukul atau blend telur sebentar. Kemudian tuangkan ke dalam adunan dan kacau sehingga sebati. Masukkan esen vanila dan esen rose. Kacau lagi tapi jangan terlebih kacau takut buah mendap. 

Tuang adunan ke dalam loyang saiz 10” atau 12" yang telah dialas kertas kek dan dilenser dengan mentega. Boleh tutup loyang dengan aluminium foil yang dilenser dengan butter supaya tidak melekat bila kek naik tinggi. Nota: Saya guna 4 bekas aluminium 7"x3" dan masa mengukus adalah 1 1/2 - 2 jam sahaja. Untuk masa depan, guna 5 bekas lagi sesuai kerana kek naik tinggi. Lagi pulak, pengukus saya tidak cukup tinggi.




Panaskan pengukus sehingga air mendidih dan kukuslah selama minimun 4 hingga 6 jam. Lagi lama dikukus lebih lembab dan tahan lama. Selain aluminium foil, boleh juga balut tutup pengukus dengan tuala supaya wap air tidak menitis ke atas kek yang sedang dikukus.

Kukus dengan api yang sederhana pada 3 jam yang pertama dan selepas itu dikecilkan api. Kalau nak tambah air, pastikan ditambah dengan air panas. 



Bila kek telah masak, buka tutup pengukus dan biarkan kek sejuk di dalam pengukus untuk mengelakkan buah mendap. Bila sejuk, bolehlah dikeluarkan dari loyang. Kek lebih lembab selepas 2 hari, jadi balut dengan plastik dan dibiarkan di atas meja selama 2-3 hari, baru dipotong dengan pisau yang kering dan tajam.




Nota:
Kek ini lebih sedap dimakan selepas 2 hari. 

Boleh kukus dalam bekas lebih besar jika sukakan kek yang tidak tebal.

Cukup sekadar whisk dan jangan gunakan mixer, kerana jika terlalu dipukul adunan akan menghasilkan kek yang agak kering. Sebaiknya menggunakan campuran buah-buahan yang dibeli dari Phoon Huat atau Bake with Yen, kerana buah-buahannya lebih lembab dan warnanya pun menarik.

Selepas dikukus, kek mesti dibungkus dengan aluminium foil. Sebelum dibungkus cucuk-cucukkan kek dengan lidi penyucuk sate dan tuangkan 1 sudu kecil jus oren sunquick atas lubang untuk melembabkan kek. Simpan dalam tupperware dan bolehlah dipotong untuk dimakan selepas seminggu. Jangan masuk fridge. Makin lama kek makin sedap dan berkilat. 

Pastikan tangan dan pisau yang digunakan semasa memotong adalah kering. Kek boleh disimpan selama 6 bulan - 1 tahun.  

Boleh juga dibungkus dengan plastic cling dan aluminium foil dan untuk disimpan dalam freezer. Bila hendak menghidangkan, keluarkan 3 jam lebih awal dan biarkan ia lembut kemudian potong dan hidangkan.



13 comments:

  1. as salam puan, jual tak kek kukus ni?? menggiurkan sunggoh laa..apapon sy selalu amek resipi ndr blog puan utk memasak masakan yg sy tak tahu, dan alhamdulillah menjadi...terima kasih byk2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Buat masa ni hanya utk dimakan sendiri shj.

      Delete
  2. Assalam... saya suke smua entri blog akak... sronok baca... hehehe... klu cr resepi... byk saya rujuk blog akak.. utk resepi kek buahni... leh x akak convertkan gramtu dlm sukatan cawan... bnyk resepi gne gram... xde pnimbang... hehehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Saya cadangkan puan beli satu penimbang. Banyak dijual di kedai bakeri. Menggunakan gram lagi mudah dan tepat. Berbanding sukatan cawan.

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. sy nak mohon akk halalkan resepi akk sy nak guna resepi akk 😍😩

    ReplyDelete
  5. Cubaan pertama dengan separuh adunan berjaya.
    Tempoh kukus dikurangkan menjadi 2 jam.
    Yang penting, Abah suka.
    Terima kasih Kak Azie atas resipi ini.

    ReplyDelete
  6. Kak Azie,
    Thank you so much for your lovely recipe.Banyak yang saya belajar dari blog akak dan saya berdoa Allah sentiasa merahmati Kak Azie dan family. Maybe you should approach say Tv hijrah and show how to cook on the tv ie if you are keen...banyak pahalanya..just an idea.Intan.

    ReplyDelete
  7. Saya prnh buat kek ni gn resepi akk..mmg mnjadi sedap..sy rs nk buat jual,mohon halalkn ye.

    ReplyDelete
  8. Kak zie..jika dah kek dah di sejuk kan..tiba tiba baru perasan ada sikit tak masak..so kek yg dh sejuk tuh blh ke di kukus kan semula?

    ReplyDelete
  9. Saya guna resepi akak utk raya ni 🙈 kak halalkan ya 😊

    ReplyDelete
  10. Dah cuba..baru buat td..after 4jam kek sy nampak x msak.. huhu tgh sambung kukus. Minta2 la jadi.

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.