Iklan

Iklan Nuffnang

17 Jul 2015

Rendang Ayam Nogori Untuk Juadah Raya




Alhamdulillah kerana akhirnya saya dapat bercuti hari terakhir bulan Ramadhan. Maklum telah 2 tahun saya tidak memasak dan membuat persiapan raya bersama anak anak kerana mengerjakan umrah akhir Ramadhan. Semasa ketiadaan saya, Nana yang memikul tanggungjawab menyediakan juadah hari raya dengan dibantu Juita dan adik adik yang lain. Entah kenapa semasa membelek belek resepi di blog sendiri, saya terpandang satu entri lama yang membuatkan saya sebak dan menangis. Ya Allah berikanlah ganti yang lebih baik dari musibah ini. Berilah kekuatan untuk daku menanggung semua kesukaran ini. Saya tahu tiada guna lagi untuk mengenangkan kisah silam tetapi saya memang seorang yang sangat sentimental, saya tidak dapat membuang sepenuhnya kedukaan ini. Namun hidup perlu diteruskan. Semoga Allah mengurniakan suatu keindahan di penghujungnya. Saya suka melayan hati dengan mendengar lagu Bunga Mawar dari The Mercy's sehingga ada rakan rakan yang mengusik supaya melupakan kisah kisah lama. Memang lah saya banyakkan berzikir bila terasa sedih tapi ada masanya, saya hanya menghiburkan hati sendiri. 





Berbalik pada persiapan raya, semua juadah dan hidangan lain disediakan Nana kecuali rendang. Dulu pun saya sediakan rendang sebelum berangkat. Jadi tugasan merendang masih lagi tugas saya. Hari ini saya sediakan Rendang Ayam Nogori. Resepi ini saya pelajari dari Kak Rokiah yang menjual nasi lemak sedap di gerai tepi jalan berdekatan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Boleh klik di SINI untuk melihat entri sebelum ini. 

Jom layan resepi yang telah saya olahkan supaya lebih jelas dan mudah diikuti....




Rendang Ayam Nogori

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong & goreng seketika
1-1 1/2 kg santan pekat - saya guna 2 santan kotak
1 sudu besar kerisik
Serbuk kunyit/kunyit hidup
1 batang serai - ketuk
Garam
Gula
Beberapa helai daun limau purut

Bahan  kisar:
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
4 batang serai
1 inci lengkuas
1 inci halia
Segenggam cili padi - ikut pedas disukai
1 sudu besar cili kisar - atau cili merah sekadar menaikkan warna, jika suka
1 keping asam keping 

Cara cara:
Lumurkan ayam dengan sedikit serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng ayam seketika bertujuan supaya ianya tahan lama dan tidak mudah hancur. Angkat dan ketepikan. 





Menggunakan minyak yang sama, goreng serai ketuk seketika sebelum dimasukkan bahan kisar. Tumis sehingga wangi. 

Masukkan ayam dan kacau supaya bergaul rata. Masukkan santan pekat dan biarkan masak sehingga pecah minyak. 

Masukkan kerisik, garam dan gula. Sesuaikan rasa. Akhir sekali, masukkan daun limau purut. Bolehlah ditutup api mengikut kepekatan yang disukai. 





Nota:
Resepi ini tidak menggunakan asam. Tapi kalau suka, boleh juga diletakkan asam keping.

Jika mahu rendang yang kering, panaskan lama lama dengan api perlahan sehingga kering.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.