Iklan

Iklan Nuffnang

17 Aug 2015

Tempe Goreng Rangup Yang Sedap




Semasa kecil saya memang tidak pernah kenal masakan jawa seperti tempe, tauhu dan sebagainya. Saya membesar di kalangan masyarakat Melayu. Kalau di sekolah ada seorang dua pelajar yang nama agak pelik, saya menjadi kehairanan. Sekarang barulah tahu yang mereka berketurunan Jawa. Bila berhijrah ke KL kerana melanjutkan pelajaran di universiti dan terus bekerja di sini, barulah mula mengenali orang Jawa, masakan Jawa atau Indonesia seperti masakan Minang, masakan Padang. Tak pasti apa yang membezakan antaranya. Sedar tak sedar telah lebih 30 tahun saya menetap di sini, jauh dari ibubapa, adik beradik dan saudara mara. Cuma kini, barulah anak anak buah dan sepupu sepapat ada yang bekerja dan tinggal di sini. Saya tidak pernah sesekali menyesal kerana ianya adalah pilihan saya sendiri sejak kecil untuk menetap di bandar. Saya tidak pernah terfikir untuk balik menetap di Kelantan. Setiap kali ke mana mana, kecuali Kelantan saya memang seperti mati kutu bila susah untuk mencari sesuatu, hatta makanan yang menepati selera saya. Apalagi untuk bershopping. Saya tahu hidup di bandar kecil lebih aman dan tenteram, jauh dari kesesakan jalan raya, kos sara hidup juga lebih rendah namun saya telah biasa dan OK dengan rutin ini. Sejak ketiadaan kedua ibubapa, dunia saya adalah suami dan anak anak di samping kerja pejabat. Saya sangat kasihkan adik beradik saya dan sentiasa menanyakan khabar berita. Walaupun jauh di mata, mereka sangat sangat dekat di hati. Mereka semua sentiasa ada di dalam doa saya setiap hari. Lebih mudah kerana sekarang adanya group WhatsApp antara kami. 




Hari ini, saya ingin kongsikan resepi Tempe Goreng Rangup yang sangat sedap. Saya bercuti hari ini kerana masih tidak sihat, namun saya gagahkan diri untuk memasak memikirkan telah lama dapur Azie tidak berasap dan blog Azie Kitchen tidak menampilkan resepi baru. Hari ini juga saya langsung tidak duduk dalam aircond. Dari pagi saya mengajak Boy menemani untuk brisk walking mengelilingi tasik di depan rumah kami yang sungguh mendamaikan, kemudian ke pasar mini, balik memasak. Sebelah petang ke nurseri untuk mencari baja dan dan akhir sekali membaja pokok pokok bunga dan pokok buah. Alhamdulillah, dengan izin Allah dapat saya rasakan badan berpeluh dan agak segar. Berbalik pada resepi, saya pun tidak tahu, sejak bilakah saya mulai menggemar tempe. Apa yang saya ingat sejak saya mengetahui khasiat protin yang tinggi di dalam tempe yang diperbuat dari kacang soya. Tempe goreng ini sedap dimakan petang petang dan dicicah dengan sambal kicap. Tapi hari ini, saya meratahnya begitu sahaja. Boleh rujuk sambal kicap sedap di SINI.  





Resepi hari ini saya pelajari dari Chef Fazalina yang kebetulan sedang membuat promosi bukunya di kedai buku MPH di One Utama. Saya merasa makanan yang disediakan menggunakan resepi dalam buku tersebut. Sangat sedap. Siap bergambar dan mendapat tandatangan Chef. Yang seronok, Chef Fazalina mengenali saya dan biasa singgah di blog Azie Kitchen terutama untuk merujuk resepi masakan Kelantan. Jom layan resepi mudah di bawah ini....



Tempe Goreng Rangup 

Bahan bahan:
2 paket tempe - hiris memanjang 
1 cawan tepung beras
2 sudu kecil jintan manis - tumbuk 
3 ulas bawang putih - cincang atau tumbuk halus 
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji telur
Garam secukupnya
1/4 cawan air atau secukupnya
Minyak - untuk menggoreng

Cara cara:
Satukan semua bahan di atas kecuali air. Gaul sebati. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga sesuai kepekatannya.

Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Celup tempe ke dalam adunan tepung dan masukkan ke dalam kuali. Goreng sehingga kekuningan. 




Angkat dan tos. Sedia dihidangkan bersama sambal kicap. 


4 comments:

  1. assalamualaikum azie...
    baru aje semalam saya makan tempe goreng dgn sambal kicap..sedapnya....cadang nk cari resepi..elok2 azie dh publish kat sini...alhmdulillah..tk ya..

    ReplyDelete
  2. MasyaAllah...lama tak makan tempe goreng jintan ni. Saya pon belajar dgn kawan jawa saya :) Memang sedap sangat bila cicah dgn sambal kicap .

    ReplyDelete
  3. Kesukaan ummi, tempe & sambal bilis... yumm..yumm..
    Jom, baca info : http://ummidihatiku.blogspot.com/2015/08/5-bahagian-sakit-sendi-serang-kita.html

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.