Iklan

Iklan Nuffnang

29 Jul 2015

Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen






Sambal Tumis Ikan Bilis adalah cukup sinonim dengan kebanyakan masyarakat kita terutama dihidangkan dengan nasi lemak. Namun begitu, masih ramai peniaga yang tidak menghasilkan sambal tumis yang sedap. Ianya sangat berbeza dengan nasi lemak yang dimakan dengan di kopitiam yang sambal tumis ikan bilisnya sangat sedap, berwarna berkilat cantik. Sebenarnya tidak susah pun untuk menghasilkan sambal tumis ikan bilis yang sedap, Cuma teknik semasa memasaknya yang mesti betul. Tiga perkara yang sangat saya utamakan ialah cili kisar mesti betul betul garing, bawang besar mesti banyak dan gula juga mesti lebih. Yang lain lain seperti biasa sahaja. Sambal tumis yang disediakan dengan dimasak lama lama, boleh tahan sehingga 4-5 hari tanpa perlu dipanaskan. Separuh darinya saya masukkan dalam tupperware untuk disimpan.





Berkenaan dengan ikan bilis pula, ada pelbagai versi. Kalau ikut cara arwah Bonda Mertua di SINI, semua bahan termasuk ikan bilis dimasukkan kesemua sekali di dalam kuali dan biarkan masak dengan api perlahan lahan. Maknanya ikan bilis tidak digoreng. Cara yang biasa yang saya mengikut cara sepupu saya cikgu Wan Faizah di SINI ialah memasukkan ikan bilis yang tidak dimasak ke dalam sambal tumis selepas cili telah benar benar garing. Pun ikan bilisnya tidak digoreng terlebih dahulu. Cara Nana di SINI pula, ikan bilis digoreng separuh masak sebelum dimasukkan dalam sambal tumis yang cilinya telah garing. Selain itu, saya juga biasa menggoreng ikan bilis sehingga garing dan memasukkannya ke dalam sambal yang telah terbit minyak. Cuma kebelakangan ini, saya dah jarang menggoreng ikan bilis kerana tak rajin untuk melakukannya. Malahan kali ini juga, saya tidak menggoreng ikan bilisnya. Jadi cara mana yang kita sukai, terpulanglah. Terpulang lah, mahu jadi apa, mahu jadi hantu atau mahu jadi buaya. Hahaha lebih kurang lagu juga lah.

Hari ini saya mahu kongsikan cara saya menyediakan Sambal Tumis Ikan Bilis yang telah saya gabungkan semua cara dan teknik berdasarkan pengalaman saya selama ini serta tips dan petua yang dikongsikan oleh rakan rakan. Jom layan resepinya di bawah ini. Ianya sangat sedap dan terbaeek. Tetapi abaikan gambarnya yang tak cantik kerana diambil di waktu senja dengan cuaca yang gelap serta hujan renyai renyai..



Sambal Tumis Ikan Bilis Sedap Versi Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis – digoreng layu
1/2 mangkuk cili kisar/20 tangkai cili kering – buang biji, rebus & kisar
1 biji bawang besar – hiris
1 keping asam/air asam jawa
Garam secukup rasa
3 sudu besar gula pasir
Sedikit gula merah/gula Melaka - opsyenal

Bahan kisar:
3 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
Secubit ikan bilis mentah
Sedikit belacan bakar - opsyenal
1 biji buah keras – opsyenal

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis dengan menggunakan api yang kecil supaya cili betul betul masak dan tidak hangit. Boleh tutup kuali supaya sambal tak meletup letup dan terpercik ke tangan. 

Bila cili benar benar masak garing dan terbit minyak, masukkan sedikit gula dan garam terlebih dahulu sekadar untuk menggaringkan sambal.

Kemudian masukkan sedikit air supaya cili tidak hangit. Selepas itu, baru dimasukkan asam keping, gula, gula merah dan garam secukupnya serta bawang besar hiris.

Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan biarkan merenih lama lama sehingga sambalnya agak pekat dan terbit minyak.  Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Nota: 
Resepi ini tidak diletakkan bawang putih. Sambal dikatakan lebih sedap jika tidak mengunakan bawang putih. 

Boleh tambah buah keras untuk menambahkan lemak pada sambal.

Boleh juga gunakan cili merah hidup sebagai menggantikan cili kering. Sangat sedap, berwarna cantik dan tidak perlu ditumis terlalu lama.

Boleh juga jika ikan bilis tidak digoreng terlebih dahulu, terutama jika ikan bilis yang berkualiti tinggi


10 comments:

  1. Tgk jer gambar ikan bilis kak azie ni terus rasa nak makan nasi lemak...;)

    ReplyDelete
  2. and this also ... in english

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi. You can use the google translate and the bottom of right hand side. But must use the web version. Can choose any preferred language.

      Delete
  3. that's good the taste..thanks the receipe kak Azie...

    ReplyDelete
  4. dah cuba td wat untuk dinner..lempeng bawang cicah ngan sambal bilis..mmg terbaik lah.licinnnnn.hihi..tq kak azie.=)

    ReplyDelete
  5. Wah, banyak petua ya.
    Sha suka bilis tidak digoreng, akan menerbitkan rasa manis ikan bilis.

    ReplyDelete
  6. Tq kak. haha
    saya bru belajar msk sikit2. alhamdulillah sya byk tgok resipi akak klau xtahu nk msk sesuatu

    ReplyDelete
  7. Salam puan. Kenapa sambal tumis yg buat rasa pahit?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Mungkin sebab cili yg diguna atau cili hangit ke

      Delete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.