Iklan

Iklan Nuffnang

2 Dec 2014

Mee Sup Tulang Istimewa Yang Sangat Sedap






Kali ini saya ingin kongsikan sedikit tazkirah yang saya salin dari whatsApp yang dihantar oleh kawan kawan yang sangat berguna buat peringatan saya sendiri dalam bab rezeki. Ianya meneguhkan keyakinan saya supaya jangan meminta merayu rezeki selain dari Allah, apa lagi mahu membodek dan merayu dengan manusia yang sangat lemah kerana rezeki mereka sendiri juga ditentukan Allah. Saya ingin menyerah bulat bulat segalanya pada Allah setelah saya bekerja dan berusaha menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. “Alangkah banyaknya sesuatu yang tersembunyi dalam diri kita! Jika kita mahu mengamati dengan saksama maka pasti akan nampak. Dan, hal yang paling berbahaya adalah dosa keraguan kepada Allah SWT. Sebab, ragu terhadap rezeki bererti ragu terhadap Zat Sang Pemberi rezeki. Dan sesungguhnya, dunia ini terlalu hina untuk kita risaukan". 





Jika kita mempunyai perhatian yang tinggi pastilah kita akan risaukan sesuatu yang lebih besar, iaitu risau tentang akhirat. Orang yang merisaukan hal-hal yang kecil, lalu melupakan sesuatu yang lebih besar, maka bererti dia adalah orang yang paling tidak cerdik. Kerana itu, kerjakanlah kewajiban untuk melaksanakan ibadah dan semua perintah Allah. Allah pun akan menjalankan apa yang menjadi kewajiban-Nya untukmu. Jika kumbang, cicak-tokek, dan cacing saja diberi rezeki oleh Allah, apa mungkin kita akan dilupakan?

Allah SWT berfirman, “Suruhlah keluargamu untuk Solat dan sabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak menuntut rezeki darimu. Kamilah yang memberi rezeki. Balasan yang baik akan diberikan kepada orang yang bertakwa.” (QS Tha Ha: 132).

Jika kita melihat ada orang yang risau tentang rezeki, maka ketahuilah bahawa sebenarnya dia sangat jauh dari Allah. Seandainya ada yang berkata kepada kita, “Besok kamu tak perlu kerja! Cukup kamu kerjakan ini saja! Saya akan memberimu RM20 ribu,” pastilah kita akan percaya dan sangat gembira sambil mematuhi segala perintahnya. Padahal, dia itu makhluk yang fakir, yang tidak boleh memberi manfaat atau mudharat. Lalu, mengapa kita merasa masih tidak cukup dengan Allah Yang Maha Kaya (Al Ghani) dan Maha Mulia (Al Jalil), yang menjamin rezeki kita sepanjang hidup? Allah SWT berfirman, “Tidak ada makhluk yang melata di muka bumi ini kecuali Allah-lah yang menjamin rezekinya. Dia mengetahui tempat tinggal binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semua tertulis dalam Kitab yang nyata (Lawh Mahfuzh).” (QS Hud [11]: 6)






Jika sebelum ini saya membuat Mee Sup Istimewa menggunakan ayam di SINI tapi kali ini saya menggunakan tulang daging Qorban yang masih sangat sangat segar. Resepi sup Hotel Shangri La yang saya belajar dari Kak Kamariah ni memang sangat sedap dan langsung tak menggunakan rempah sup atau sup bunjut. Sebaliknya menggunakan belacan dan asam jawa. Haaa jangan terkejut bila mendengar sup menggunakan belacan. Kalau nak tahu bagaimana sedapnya, kenalah cuba sediakan sendiri di rumah. Sedap sungguh kuah sup dihirup. Selain dimakan dengan mee, hubby juga makan dengan nasi lembik ala ala bubur sup daging gitu. Saya tidak menyediakan sambal cili kicap kerana memang tidak ada yang sukakan pedas. Saya pula, kalau ada memang saya makan tapi kalau untuk dibuat untuk saya seorang, macam tak berbaloi. Tulang yang dibawa dari Kelantan memang banyak isinya tidak seperti di sini yang tulangnya boleh dikatakan betul betul tulang. 

OK sekarang masa untuk melayan resepi pula, jika mahu tengok cara penyediaan mee sup sebelum ini boleh klik link di atas. Jom layan resepi di bawah ini...



Mee Sup Tulang Istimewa

Bahan bahan:
1.5 kg tulang
2 bawang besar kuning - cincang dan tumbuk
1 labu bawang putih - tumbuk
3 inci halia - tumbuk
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 gelas air asam dicampur dengan 1 ibu jari belacan bakar.
2 kiub stok daging
1 blender air
3-4 sudu kecil garam atau secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan lain:
Mee kuning/mee hoon - celur
Sawi - celur
Cili kicap - resepi di bawah
Daun sup - hiris
Bawang goreng

Cara cara;
Tumis bawang putih yang ditumbuk dengan halia. Masukkan bawang besar. Tumis sehingga wangi. Masukkan serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam. Kacau lagi. Angkat dan ketepikan.

Saya rebus tulang berasingan menggunakan pressure cooker selama 17 minit. Setelah tulang dan daging empuk, saya pindahkan ke dalam periuk bersama air rebusan. Masukkan bahan bahan yang ditumis tadi. Setelah mendidih masukkan air asam jawa yang telah ditapis.

Masukkan kiub stok daging dan garam secukup rasa. Biarkan kuahnya mendidih.

Sesuaikan rasa dan bolehlah dihidangkan dengan mee atau mee hoon bersama bahan bahan lain. Atau dimakan dengan nasi lembik umpama nasi bubur. 


Cili Kicap

Bahan bahan:
Segenggam cili padi - 15 biji merah & hijau
3 ulas bawang putih
3-4 biji limau kasturi
Sedikit cuka
Kicap manis
Garam
Gula

Cara cara:
Sangai bawang putih dan cili padi. Tumbuk bawang putih dan cili padi. Masukkan air perahan limau kasturi, sedikit cuka dan kicap manis. Akhir sekali sesuaikan rasa dan masukkan garam dan gula.



6 comments:

  1. tulang nie nak kena rebus lama sket...bila dah empuk tu makan time panas panas...memang sedap...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Guna pressure cooker hanya ambik masa 17 minit. Sgt menjimatkan masa

      Delete
  2. Wahh sedapnya nampak.. sy suka amik resepi dri blog puan. Resepi nya sgt ringkas. Xperlukn bhn yg pelik2. dan byk yg sy dh cuba buat dan menjadi.. Tq for the resepi.. =)

    ReplyDelete
  3. sedapnya sup tulang... saya lebih gemar bihun sup... :)

    ReplyDelete
  4. 17 minit? Biar betul. Biasa guna pressure cooker 30-45 minit baru empuk elok.

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.