Iklan

Iklan Nuffnang

25 Oct 2014

Kuih Badak Berendam Di Hari Maal Hijrah




Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada semua kawan kawan dan pembaca blog Azie  Kitchen samada jauh atau dekat. Semoga tahun ini kita berazam bersungguh sungguh untuk meningkatkan amalan soleh dan meninggalkan semua dunia lagha yang sia sia. Apa apa sahaja urusan dunia yang tidak memberi manafaat pada akhirat, adalah sia sia semuanya. Jadi jangan sia siakan umur yang ada kerana hidup di dunia adalah sementara, sedangkan hidup di akhirat adalah kekal buat selama lamanya. Saya memohon kemaafan pada semua andai ada  salah silap samada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Pada masa yang sama, saya maafkan semua samada yang telah meninggal atau yang masih hidup. 





Semua ujian yang menimpa saya di kala ini mempunyai hikmah yang sangat banyak. Saya mula dapat merasakanya. Ianya adalah kaffarah kepada dosa dosa dan Allah ingin mengangkat darjat saya, jika saya redha dan bersabar. Insya Allah saya akan bersabar dan akan sentiasa tersenyum walau apa pun yang menimpa. Lagi pun, bak kata Ustazah Aishah dalam kuliah Jumaat, tiada siapa dapat memberi jaminan yang dia akan hidup hatta satu saat dari sekarang. Mati adalah sesuatu yang pasti pada semua makhluk yang hidup. Cuma saat dan ketika yang tidak dapat diketahui kerana ianya adalah dalam pengetahuan Allah sahaja. Orang yang bijak pandai, adalah orang yang banyak mengingati kematian dengan melakukan pelbagai persediaan dan bukan orang yang takut dengan kematian. Sekarang kita  beralih bab  Badak Berendam di pagi Maal Hijrah pulak..

Komen hubby semasa kali pertama saya menyediakan Kuih Badak Berendam di SINI, adalah sedap tapi Badaknya besar sangat. Hmm sebelum tu, nak menyelit sikit yang nama sekolah saya dulu adalah Sekolah Kebangsaan Badak dan Sekolah Menengah Rendah Badak. Jadi nama Badak ni sangat istimewa dalam hidup saya. Tak dapat membayangkan besar mana kuih Badak ni, yang tahu saiz Badak kat zoo jer. Jadi hari ni, dengan lemah lembut dan berhemah, saya menggentel inti kecil kecil besar sedikit dari saiz biji guli. Manakala, dohnya pula saya timbang 15 gram sebab terlebih rajin. Azam Maal Hijrah, mahu menjadi seorang yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Haaa maka, comey comey jer kejadian kuih Badak saya hari ini. Ianya menghasilkan 29 Badak yang berendam dalam kolam yang putih bersih bak salju. Hahaha merepek lah pulak, putih bak susu lah. Kebelakangan ini, Juita sering membancuh susu untuk saya kerana melihatkan saya memerlukan susu.

Selesai memasak, hubby menelefon memberitahu ingin melawat sahabat kami semasa mengerjakan Fardhu Haji dulu Haji Ruslan di Hospital Prince Court kerana kemalangan di tapak pembinaan banglo mereka di Sungai Buloh. 2 minggu berada di ward. Jadi saya bergegas bersiap dan cuma dapat makan kuih ini selepas balik dari hospital. Puashati sebab hubby kata menjadi dan sedap. Hati berbunga riang...  Hmm dalam hati sentiasa ada taman.





Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini...




Kuih Badak Berendam

Bahan Doh:
2 1/3 cawan tepung beras pulut
1 cawan air daun pandan
1/2 sudu kecil garam 
Sedikit pewarna hijau
1 sudu kecil air kapur cair - opsyenal

Cara-cara:
Campurkan garam, air pandan, pewarna dan tuangkan sedikit demi sedikit ke dalam tepung pulut yang telah dicampurkan dengan air kapur cair sehingga menjadi doh yang boleh dibentuk dan tidak melekat di tangan (tidak perlu habiskan air pandan tadi bila adunan telah cukup lembut).

Ambil sedikit doh dalam 15 gram dibulat dan kemudian dileperkan. Letakkan inti kelapa ditengahnya dan tutup kemas serta dibulatkan kembali. Aturkan di atas plastik supaya bebola doh tidak melekat. 






Sementara itu panaskan air dan daun pandan sehingga mendidih di dalam periuk. Kemudian keluarkan daun pandan tadi. Masukkan bebola doh pulut dan masak sehingga bebola timbul di permukaan, angkat dan toskan.  





Masukkan ke dalam periuk berisi kuah tadi. Sedia untuk dihidangkan. 



Bahan Kuah:  
2 1/2 cawan santan
2 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara :
Satukan kesemua bahan kuah di dalam periuk dan kacau di atas api perlahan sehingga pekat. Ketepikan.




Bahan Inti:  
1 keping gula Melaka 
4 sudu besar gula pasir
1/2 cawan air
1/2 biji kelapa parut muda putih
1 sudu besar tepung pulut putih

Cara Penyediaan:
Masak gula Melaka, gula putih dan air di dalam periuk dan kacau sehingga gula hancur. Kemudian tapis.

Masukkan semula air gula tadi ke dalam periuk bersama kelapa parut. Masak menggunakan api perlahan sambil dikacau sehingga inti hampir kering. Taburkan dengan tepung pulut dan kacau sehingga rata.

Sejukkan inti dan gentel bulat-bulat sebesar biji guli dengan menggenggam supaya padat untuk dimasukkan ke dalam adunan doh.


2 comments:

  1. Macam buat buah melaka ya...sedap nampak , memang tak pernah nmpak kat sebelah utara....

    ReplyDelete
  2. hati sapa yg xder taman kalo en suami aka bff yg puji kan...

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.