Iklan Nuffnang

Revenuehits html

14 Apr 2017

Cucur Ikan Bilis Lembut




Tazkirah Zohor Ustaz Najhan kitab Ayyuhal Walad iaitu Nasihat Imam Ghazali ke 19. Makna tawakkal. Bahawa engkau memantapkan iktikad dan janji Allah bahawa apa yang ditakdir atas kamu pasti akan sampai pada kamu walaupun seluruh makhluk berusaha menghalangnya. Jika ia bukan ditakdir untuk kamu, nescaya tak akan sampai walaupun seluruh makhluk mahu menyampaikannya pada engkau. Apakah yang dijelaskan dari maksud tawakkal. Maksud lain adalah bergantung pada Allah. Penyerahan diri pada Allah. Penyerahan diri adalah kewajipan setiap orang beriman. Adanya tanggungjawab dan musabab yang kita kena buat. Kena berdoa pada Allah. Kita kena serah diri pada pentadbir alam ini yang bijaksana. Peranan kita sebagai makhluk, ada peranan dan usaha yang kena buat. Bukan sekadar bertawakkal sahaja. Ada juga musabab seperti penyempuhan dari sakit adalah ubat, rezeki musabab adalah usaha. Allah telah nyata dalam Al Quran sifat orang beriman ialah orang bertawakkal. Bukan bawah kuasa kudrat kita tapi semuanya termasuk diri kita adalah di atas pentadbiran Allah. Semua dalam pengetahuan Allah. Orang bertawakkal amat dikasihi Allah. Semuanya bergantung pada Allah. Kudrat dan keupayaan kita terbatas. Allah jua yang mengatur segala sesuatu. Jadi kita kena kukuhkan akidah kita akan segala janji Allah. Segala janji Allah disebalik usaha manusia, dijanjikan akan dapat apa yang dia usahakan atau akan dapat apa yang didoakan. Sifat tawakkal adalah sifat hati. Segala apa yang ditakdir oleh Allah pasti sampai pada mu walaupun seluruh makhluk cuba menghalang. Begitu juga sebaliknya. Takdir Qada dan Qadar Allah adalah benda yang rahsia. Kena yakin perkara ini walaupun kita tak tahu Qada dan Qadar kita. Kena ada iktikad yang betul. Itu sifat iman kita.

 
Kalau Allah telah tentukan, tak akan mampu dihalang. Contoh rezeki. Semua orang ada rezeki masing masing samada sikit atau banyak. Ada dapat cepat dan ada dapat lambat. Semua ada walaupun berbeza. Burung pun diberi rezeki bila keluar dari sarang dengan perut kosong walaupun burung tak ada akal. Semua telah ditentukan Allah. Burung balik dengan perut kenyang. Itu janji Allah semua orang ada rezeki. Kalau Allah tak izin, kita tak akan dapat walaupun usaha macam mana sekali pun. Ini sifat tawakal sebenar yang patut ada. Tawakal adalah penyempurna sifat iman kita. Jangan rosak iman dan akidah, kerana hidup kita tak akan ada nilai jika iman kita rosak. Contoh yang merosakkan iman ialah dengan berkata semua yang aku dapat adalah kerana usaha aku. Atau bertawakal semata mata tanpa berusaha.  Cukup di sini sahaja dan semoga ianya memberi manafaat pada kita semua. Sekarang kita masuk sedikit coretan bab masakan hari ini.
 
Ini adalah entri lama yang saya sediakan ketika saya mengambil cuti setengah hari untuk menghantar Aween ke majlis orientasi di KDU bagi pengajian A Level. Tapi oleh kerana pda hari yang sama, Aween menpunyai ujian memandu, kami terpaksa on stand by. Sementara menunggu Aween selesai ujian memandu, kami balik ke rumah dahulu. Bila teringat dalam peti masih ada secekak lagi daun kucai lebih dari memasak Cucur Kentang baru baru ini di SINI, saya terus ke dapur untuk menyediakan bahan bahan membuat Cucur Bilis. Jika tak segera digunakan, daun kucai akan rosak dan terbuang begitu sahaja. Aween selesai ujian dah petang, jadi kami tidak sempat untuk pergi ke program orientasi. Aween terus mendaftar selepas taklimat ringkas dan memulakan pengajian pada keesokannya. Selamat memulakan pengajian buat Aween. Semoga menjadi anak yang soleh berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.
 
 

 
 
Ikan bilis boleh digoreng seketika atau boleh juga ditumbuk kasar. Tapi ikan bilis yang saya gunakan agak lembut, jadi saya tak buat apa apa. Hanya basuh dan terus masuk ke dalam adunan. Kalau biasanya, saya meletakkan sedikit baking powder tapi hari ini saya menggantikannya dengan soda bikarbanat selepas membaca cadangan dari seorang blogger. Saya memang suka mencuba tips dan petua yang dikongsikan dalam apa apa jua berkaitan dengan masakan. Biarlah kita berilmu dalam masakan yang boleh kita panjangkan pula untuk manafaat orang lain. Kalau diperhatikan gambar, saya suka membuat kuih cucur yang sedikit lonjong dari yang berbentuk bulat, jadi lebih garing sedikit.  Hahaha suka yang garing garing gituu...

Jika ingin melihat entri sebelum cucur bilis saya sebelum ini, boleh klik di SINI  dan juga di SINI.  Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Walaupun dah sejuk, masih lagi lembut. Hari ini cucur bilis hanya dicicah dengan sos cili sahaja. Jangan lupa melihat video di Instagram Azie Kitchen ya...




Cucur Ikan Bilis Lembut

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum
Segenggam ikan bilis - belah 2 kalau besar
1 ikat daun kucai - potong pendek
3/4 cawan bawang besar Holland - potong dadu
1 biji cili merah dipotong kecil - tak letak
1/4 sudu kecil soda bikarbanat
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Secubit serbuk kunyit
1/2 cawan air panas mendidih
1 1/2 cawan air biasa - lebih kurang 250 ml

Cara cara:
Satukan kesemua bahan di atas kecuali air. Kacau rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit ke dalam adunan sehingga mencapai kelikatan yang sesuai. Tak perlu dihabiskan air jika telah sesuai kelikatannya. 

Jika terlebih cair, tambahkan 1/2 cawan tepung gandum sedikit demi sedikit. Tuangkan air panas. Biarkan seketika supaya soda bikabanat naik. 



Panaskan minyak dan setelah minyak benar benar panas, goreng dengan api sederhana sehingga kekuningan.  Angkat dan tos.



Sedap dimakan panas panas. Cicah dengan sos cili atau mayonis atau apa apa yang disukai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.