Iklan

Iklan Nuffnang

15 Sep 2015

Kari Ikan Bawal Hitam






Kali ini saya ingin kongsikan tazkirah Kuliah Zohor oleh Ustaz Najhan yang sangat bagus untuk direnungi. Nasihat Pencerah Hati Imam Al Ghazali yang ke6 adalah Hiduplah sesuka mu, tetapi ingat kelak kamu akan mati, Cintailah siapa saja yang kau suka, tetapi ingat, kamu akan berpisah darinya, berbuatlah sesukamu tetapi ingat, kamu akan memperolehi balasan yang setimpal dengan perbuatanmu itu. Pertama, hiduplah semahu yang kamu mahu kerana suatu hari kamu akan mati. Hidup di dunia terlalu singkat berbanding dengan kehidupan sesudah mati. Tengokkan sendiri nenek moyang kita yang telah lama berada di alam barzah berbanding dengan umur mereka semasa hidup di dunia. Mati boleh berlaku bila bila masa. Malahan semua akan merasai mati samada orang sihat atau sakit atau orang tua atau muda. Jadi gunakan lah waktu sihat untuk mengabdi diri pada Allah. Kedua, kasihlah apa sahaja yang kamu mahu kerana kamu tetap akan berpisah dengannya. Bagaimana sayang sekali pun pada suami dan anak anak, tetap akan berpisah. Hanya akan bertemu semula dengan orang yang kita kasih di alam syurga jika mereka juga masuk syurga. Apa pun yang kita sayang sekali pun, tetap kita akan berpisah. Yang menemani kita hanyalah amalan soleh. Ketiga, berbuatlah sesuka hati kerana kita akan memperolehi balasan setimpal. Dunia adalah tempat beramal untuk membawa bekalan. Hatta, amalan kecil dari zarah juga Allah akan beri ganjaran. Semua amalan kebaikan dan kejahatan akan dihitung. Kita nak amalan yang dibalas dengan kebaikan, bukan kejahatan. Kadang kadang amalan kebaikan yang kita buat adalah kecil sahaja tetapi Allah yang Maha Pengasih membalas dengan ganjaran yang lebih besar. Apa yang Allah kurniakan kadang kadang adalah sesuatu yang tidak kita sangka sangka.

 



Sekarang kita beralih bab masakan pula. Entah kenapa tiba tiba teringin lak nak makan kari ikan seperti yang dimasak oleh Kak Nyah, kakak ipar saya yang memang sangat handal dalam bab masak memasak. Kari yang dia sediakan memang sedap, cair cair dan mempunyai rasa masam masam yang memang sangat mengancam selera. Lebih lebih lagi ternampak ada kawan kawan blogger yang menayangkan kari ikan bawal hitam juga. Kalau ke Line Clear atau Restoran Pelita, ikan yang digunakan untuk kari ialah ikan bawal hitam. Mengikut Mamak Haji, ikan bawal hitam bersaiz besar yang sedap dimasak kari. Tapi hari ini yang ada hanya kecil comey jer. Terpaksalah juga mengambil yang kecil. Baru saya tahu rupanya, ada cara memotong ikan bawal hitam seperti masakan nasi kandar. Sebab ikan saya hari ini bersaiz kecil, tak dapatlah nak potong seperti itu. Hmm lain kali boleh cuba jika terjumpa dengan ikan bawal hitam yang bersaiz besar. Ikan bawal yang kecil kecil lebih sedap digoreng garing, yang kadang kadang dicicah kicap berlada. Untuk menghasilkan ikan yang garing rangup, mesti menggunakan minyak yang panas, api yang kuat sedikit di permulaan supaya kulitnya garing. selepas itu dikurangkan sedikit sehingga ikan masak secukupnya. Tanda tanda ikan masak ialah ikan mula terapung dalam minyak atau tiada lagi bunyi sssshhhh.... Ikan yang telah digoreng mestilah ditos dan kering permukaannya dengan menggunakan kertas tisu dapur.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Sedap dicicah dengan roti gardenia. Dengan rasanya yang masam masam...


 


Kari Ikan Bawal Hitam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 ekor ikan bawal - lebih kurang 500 gram
7 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 sudu kecil halba campur
2 tangkai daun kari
3 tangkai cili padi - potong kecil
1 paket kecil rempah kari ikan Babas
1 sudu kecil serbuk cili
6 batang bendi
2 batang cili hijau - patah 2
1 biji tomato buah - belah 4
1 sudu kecil penuh pes asam jawa
1- 1 1/2 sudu kecil garam
Serbuk perasa - jika suka

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak dan masukkan halba campur dan cili padi hiris. Masukkan pula bawang merah dan bawang putih serta daun kari. Tumis sehingga wangi.

Bancuh rempah kari dengan sedikit serbuk cili dengan sedikit air, jika suka pedas. Masukkan rempah kari dan tumis sehingga rempahnya agak garing. 
Nota: saya goreng rempah kari kering yang tak dibancuh air. Kacau dengan cepat beberapa minit sebelum dimasukkan sedikit air.




Setelah garing, masukkan santan dan air secukupnya. Masukkan air asam jawa. Setelah kuah mendidih, perlahankan api dan masukkan ikan. Kemudian biarkan kuah merenih dengan api kecil sehingga pecah minyak. 
Petua Mamak Haji:  jangan biarkan kuah kari mendidih ketika ini kerana ia akan menyebabkan ikan hancur.

Masukkan bendi, tomato buah dan cili hijau. Akhir sekali masukkan garam dan serbuk perasa. Setelah kuah terbit minyak dan cantik, boleh tutup api. Nak cantik, bolehlah celur bendi dengan dimasukkan sedikit minyak sehingga lembut. Tapi saya lebih suka, dimasukkan terus ke dalam kuah. Rasa bendi lebih sedap.




3 comments:

  1. Tq resepi kari ikan mamak nih...
    Xda santan i loike!!!
    Perggh ratah lauk jer ....
    Tgkap leleh..siiiih

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.