Iklan

Iklan Nuffnang

26 Sep 2015

Ayam Masak Merah Sedap Di Hari Raya Aidil Adha





Sebelum masuk bab resepi, saya ingin mencoretkan mengenai kehidupan dan erti kebahagiaan. Saya dibesarkan di kampung di Bachok yang kebanyakan rumah adalah rumah sebuah yang diperbuat dari papan. Saya melihat mereka yang tinggal di rumah batu sebagai orang kaya. Saya tidak pernah melihat rumah teres di kampung. Teringat selepas majlis konvokesyen dalam tahun 1986, saya diajak menemani seorang kawan yang menerima Ijazah ke rumah kakaknya. Walaupun saya agak keberatan pada mulanya, namun sebagai meraikan kejayaan beliau, saya bersetuju. Ketika itu, malahan sehingga kini, saya tidak tahu di manakah lokasinya. Rumahnya dilereng bukit dan sangat besar serta hiasan yang sangat mewah. Hanya sekarang saya merasakan mereka adalah orang kaya dan mungkin berpangkat kerana menpunyai driver peribadi. Masih saya ingat, bila menjenguk keluar di pintu dapur, terdapat retaining wall yang tinggi. Ketika hidangan dihidangkan, saya melihat pinggan mangkuk yang cantik dan bersaiz besar digunakan. Sebagai budak kampung, pastinya saya tidak pernah menggunakan pinggan begitu rupa. Hati terasa sedikit gusar untuk menggunakannya, makan pula menggunakan sudu, lagilah saya tidak selesa. Terus terang, walaupun saya tahu mereka kaya, tetapi saya tidak merasa kekaguman yang amat sangat di hati ketika itu. Malahan dalam hati berfikir, yang aku akan memiliki rumah seperti ini setelah menamatkan pengajian dan bekerja. Realitinya sekeping ijazah tidak menjanjikan kesenangan sekelip mata, apalagi tidak membuatkan kami mampu membeli rumah banglo. Dengan kelayakan pinjaman yang ada, saya hanya mampu membeli rumah teres lot tengah. Barulah saya mengerti bahawa rumah sebuah sebuah adalah dalam kategori rumah banglo dan sangat mahal harganya di bandar. Setelah 20 tahun bekerja, barulah kami mampu memiliki rumah banglo sendiri. Memang benar apa yang didengar sebelum ini. Tiada kejayaan yang mutlak dalam hidup. Kita hanya melihat dan mendambakan sesuatu yang tidak kita miliki. Tetapi setelah kita memilikinya, kita tidak merasa apa apa kelebihan pun berada di rumah besar.  Mungkin seperti ikan yang tidak merasa apa apa keindahan berada dalam air kerana mereka memang tinggal di dalam air. Nostalgia ini saya paparkan sekadar untuk memberi pesanan kepada diri sendiri bahawa kebahagiaan bukan terletak pada kebendaan kerana segala harta tidak menjanjikan kita merasa gembira dan bahagia. Malahan tidak merasa apa apa dan lupa untuk mensyukuri nikmat Allah. Sebaliknya kita akan meletakkan sesuatu yang lain pula sebagai sasaran seterusnya. Sesungguhnya manusia tidak akan pernah puas dan tidak bersyukur. Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan "Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit-bukit emas lainnya. Dan tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6439). Dengan keadaan seperti ini, tidak tepat jika kita katakan kekayaan itu adalah dengan melimpahnya harta bersama segala macam kemewahan. Sebaliknya amat tepatlah apa yang diungkap oleh junjungan mulia kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam sabdanya, “Bukanlah kekayaan itu diukur dengan limpahan kemewahan dunia. Tetapi kekayaan itu adalah kayanya hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 8/95, no. 6446. Muslim, 2/726, no. 1051).





Lauk ini disediakan untuk hidangan kami di Hari Raya Aidil Adha. Oleh kerana ianya lauk untuk hidangan raya, maka saya menyediakannya dengan cukup bahan bahan sampingan. Kiranya full version lah. Resepi ini serta sukatan bahannya saya olahkan sendiri berdasarkan pengalaman pembacaan saya berkenaan resepi Ayam Masak Merah. Ini adalah kerana tahun ini, saya tidak balik melakukan ibadah korban di kampung. Sebaliknya melakukan di sini sahaja. Tahun ini juga, saya memilih kambing untuk korban. Kata Ustaz Ibrahim Muhammad, jika kita melakukan korban satu nyawa, samada sekor kambing atau sekor lembu, kita boleh meniatkan pahalanya kepada seluruh ahli keluarga termasuk ibubapa yang telah meninggal dunia juga. Ianya berbeza dengan korban seekor lembu yang dibahagi 7 bahagian walaupun ianya dikongsi sesama adik beradik yang menpunyai pertalian darah. Tidak salah rasanya jika saya katakan bahawa sesiapa pun boleh memasak di zaman sekarang. Resepi bukan lagi milik tukang masak atau ibu ibu yang mewarisi kepandaian memasak pada anak mereka. Bukanlah katakan mereka kedekut ilmu dan sebagainya tetapi memang ilmu itu ada dalam kepala mereka dan dipelajari oleh anak anak yang sentiasa melihat ibu mereka memasak. Tetapi di zaman IT seperti sekarang, ilmu memasak dan resepi dikongsi secara meluas. Jadi semua orang berpeluang untuk mempelajarinya dan berpeluang untuk menjadi wanita yang hebat dalam menjaga perut suami. Bak kata pepatah, memikat suami dengan air tangan isteri. 

Zaman saya baru baru berkahwin, saya tidak pandai memasak masakan kegemaran suami kerana saya hanya tahu menyediakan masakan lauk pauk Kelantan. Cara saya memasak Sambal Tumis tidak sama dengan selera hubby. Walaupun dia tidak pernah komplen, tapi saya dapat melihat bagaimana dia menikmati Sambal Tumis yang disediakan Bonda Mertua atau kakak ipar. Jadi memasak bukan boleh hanya dengan melihat begitu sahaja tetapi kena ikut sama memasak. Saya mengambil masa yang lama untuk menyediakan Kari Ikan mengikut selera hubby. Orang zaman dulu juga tidak menggunakan sukatan, semua main campak campak dan agak agak sahaja. Jadi agak sukar untuk orang yang baru belajar memasak untuk mengagak bahan yang digunakan serta rasa yang terhasil. Tapi dengan adanya blog masakan, kita boleh teliti dan perhatikan bahan bahan yang digunakan, meneliti cara penyediaannya sebelum mula memasak. 

Berbalik pada Lauk Ayam Masak Merah, kalau dulu dulu lauk ini dihidangkan di majlis perkahwinan atau di hari raya dengan dimakan bersama nasi minyak atau nasi tomato. Namun kini, ianya bukan lagi lauk ekslusif untuk majlis seperti itu, hari hari pun boleh disediakan untuk dinikmati dengan nasi putih panas panas sahaja. Ini adalah kerana ramai yang telah pandai memasaknya dan ianya sebenarnya tidak sesukar yang dibayangkan semasa kita belum pandai memasaknya. Maksud saya, memasak dengan sedap dan cantik sempurna kejadiannya. Jom kita lihat resepi yang saya gunakan hari ini.....





Ayam Masak Merah 

Bahan bahan:
1 ekor ayam - lumur garam kunyit
2 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang 
1 biji bawang besar - hiris
2 batang serai - ketuk
2 mangkuk kecil sos cili jenama Kimball - guna 2/3 botol besar
3 sudu besar gula atau secukup rasa
2 sudu kecil garam
Minyak - untuk menumis

Bahan kisar:
25-30 tangkai cili kering - 5 sudu besar cili kisar
2 biji bawang besar saiz besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia 

Bahan lain - opsyenal:
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 tin kecil kacang peas
1/4 tin susu cair 
Daun ketumbar - tabur

Cara cara:
Ayam digoreng separuh atau 3/4 masak. Angkat dan ketepikan. 

Panaskan minyak yang banyak dan tumis bawang besar hiris, serai, kulit kayu manis, bunga lawang sehingga wangi. Masukkan bahan bahan kisar dan tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing dan pecah minyak.

Masukkan cili sos, garam, gula dan serbuk perasa. Masukkan juga sedikit air. Kacau rata dan biarkan ianya mendidih serta pecah minyak.Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau rata sehingga ayam masak dan kuah pecah minyak. Masukkan susu cair, kacang peas, bawang besar hiris bulat dan juga daun ketumbar hiris. Siap dan bolehlah ditutup api. 






Tabur daun ketumbar sebagai hiasan, jika suka sebelum dihidangkan.



3 comments:

  1. Assalam Kak Azie... seronok saya membaca catatan Kak Azie. Saya seronok tengok orang kaya dan salah seorang orang kaya yang saya seronok tengok adalah Kak Azie. Saya percaya Kak Azie juga kaya dengan budi bahasa selain kaya senyuman sepertimana yang sering saya lihat pada gambar2 Kak Azie.. sungguh saya mengkagumi Kak Azie dan betapa bertuahnya Kak Azie pada pandangan saya. Lebih lagi saya kagum kerana kekayaan yang dimiliki bukannya datang bergolek.. tahniah ya Kak Azie kerana telah berjaya mencapai impian Kak Azie...

    Saya juga belajar memasak dari pemerhatian.. tak pernah salin resepi dari mak saya ataupun mak mertua. Ayam masak merah tu kegemaran suami dan saya kerap memasaknya.. dari pemerhatian sy resepi kita hampir 100% sama termasuk penggunaan aksesorinya.. kacang peas wajib ada kannnn...

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.