Iklan

Iklan Nuffnang

28 Aug 2015

Sambal Sotong Sedap dan Mudah




Hari ini saya menyediakan Sambal Sotong untuk dimakan sebagai lauk nasi lemak atas permintaan Juita yang balik bercuti sempena cuti Hari Kemerdekaan. Juita meminta disediakan nasi lemak dengan Sambal Sotong bersama Petai. Oleh kerana Nana tak suka sambal yang berbau petai, saya terpaksa mengasingkan separuh dari sambal dan memasukkan petai yang telah digoreng ke dalamnya. Bagi mereka yang gemar memakan petai, bolehlah mencuba petua ini untuk mengelakkan bau yang kurang menyenangkan. Caranya ialah selepas memotong petai, rendamkan dalam air bersih selama 1 jam. Selepas itu, bilas dengan air dan kemudian barulah dimasak. Nana sempat makan terlebih dahulu sebelum keluar bekerja. Cara menyediakan nasi lemak seperti biasa sahaja di mana beras yang dibasuh dan ditos, dimasukkan santan, majerin, secubit gula dan beberapa biji bawang merah yang dihiris. Letakkan air secukupnya serta daun pandan. Masaklah seperti biasa. 




Cara untuk menyiang sotong yang saya google ialah sotong perlu basuh bersih terlebih dahulu. Tarik kepala sotong dengan cermat sehingga dijumpai pundi dakwat sotong. Dengan cermat keluarkan dan buang pundi dakwat sotong (ia seperti pundi hempedu ayam berwarna kehitaman). Sekiranya pundi dakwat itu pecah dan dakwat hitam percik tidak mengapa. Basuh bersih sotong itu. Masukkan kembali kepala sotong ke dalam badan sotong dengan cara menekan masuk. Jangan tarik keluarkan tulang belakang sotong itu, nanti lembik pula sotong itu. Haa saya salin sebiji biji bab menyiang sotong cara masakan nasi kandar. Satu yang saya tak berapa gemar bila memasak sotong ialah airnya yang banyak. Bila dimasak lama lama untuk mengeringkan air, sotong pula menjadi liat. Sambal akan menjadi cair. Jadi saya google melihat cara orang lain mengatasi masalah tersebut. Terjumpa cara untuk mengeringkan air sotong dengan memanaskan kuali tanpa minyak dan masukkan sotong yang telah ditos selama beberapa minit sehingga keluar air sotong. Kemudian dikeluarkan sotong dan ditoskan sehingga kering. 

Resepi Sambal Sotong ini agak berbeza dengan cara saya menyediakan Sambal Tumis sebelum ini. Ianya sangat mudah dan bahan bahannya pun sangat ringkas. Itu yang membuatkan saya teruja untuk mencuba kerana dikatakan Sambal Sotong ini sangat sedap. Resepi ini saya ambil dari blog Dapur MasJom layan resepi mudah tetapi sangat sedap ini....




Sambal Sotong Mudah dan Sedap

Bahan Bahan:
1 kilo sotong - bersih dan tos
3 labu bawang besar - hiris
5 ulas bawang putih - hiris
3 - 4 sudu besar cili kering kisar
Asam jawa (sebesar telur kuning gred A - rendam dengan air)/1 keping asam keping
1 sudu besar gula pasir
1 sudu kecil garam 

Cara cara:
Panaskan kuali tanpa minyak, masukkan sotong yang telah ditos airnya dan digolek golek dalam beberapa minit sehingga air sotong keluar. Angkat dan toskan sekali lagi sehingga benar benar kering. 





Sambil menunggu air sotong kering, bolehlah dipanaskan kuali dengan menggunakan minyak yang agak banyak. Bila minyak dah panas, masukkan petai yang telah dikopek dan belah dua. Golek golek hingga separuh masak dan keluarkan. Jika tidak menggunakan petai, boleh skip bahagian ini. 

Tumis pula bawang bawang yang telah dihiris sehingga layu. Setelah itu, dimasukkan pula cili kisar dikacau dan tutup kuali. Masak cili kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing. 





Bila bawang hancur, masukkan air asam jawa atau jika menggunakan asam keping, masukkan sedikit air. Masak sehingga pecah minyak. Masukkan gula dan garam. Sesuaikan rasa. 

Akhir sekali masukkan sotong atau udang seketika sahaja agak agak masak. Jika terlebih masak, sotong atau udang akan menjadi kecut dan liat.




Nota: jika menggunakan udang, saya akan goreng udang seketika terlebih dahulu. Jika menggunakan petai, bolehlah dimasukkan petai yang telah digoreng terlebih dahulu tadi. 





9 comments:

  1. Mmmmm sedapnya tgk sambal sotong ni...

    ReplyDelete
  2. Ooowh.. begitu petuanya nak hilangkan air sotong.
    Baru saya tau. Terima kasih Kak Azie. :)

    ReplyDelete
  3. senang2 nanti sy nak cuba cara ni. TQ kak share. Sy mmg tak pandai masak sotong....takut liat.

    ReplyDelete
  4. Resipi yang cukup senang. Terima kasih kerana sudi berkongsi.👍

    ReplyDelete
  5. Erm sedapnye...terliur sy..hihi

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.