Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Ayam Simple Versi Dr Nana


Nasi Ayam Simple Versi Dr Nana


Entah kenapa saya tidak ada mood untuk memasak kebelakangan ini. Pertamanya kerana anak anak semua diet dan tak nak makan nasi. Keduanya kerana saya sendiri yang tiada mood untuk ke dapur. Entah lah terasanya sangat diri ini kosong dan sepi. Telah lebih dari 2 bulan, saya tidak ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Rasanya sejak Boy memulakan pengajian peringkat Ijazah. Sejak itu juga, hidup saya menjadi begitu sepi dan seperti tidak bersemangat. Beginilah hidup manusia yang ada masa nya suka dan ada masanya duka. Tapi saya akan cepat cepat memujuk hati dan mengingati Allah kerana dengan mengingatiNya sahaja lah hati akan menjadi tenang. 



Nasi Ayam Simple Versi Dr Nana

Bila dalam keadaan stress, saya akan makan walaupun tidak lapar, saya akan keluar shopping walaupun tak tahu bila kainnya mahu ditempah. Bahaya sebenarnya keluar shopping di waktu stress kerana kita akan membeli sesuatu yang bukan keperluan pun. Apa pun selagi kita masih bernafas, memang masalah akan sentiasa ada, terutama masalah dengan manusia yang kurang berakhlak dalam berhubung sesama manusia. Sedangkan Allah telah memberitahu supaya menjaga hubungan sesama manusia adalah kriteria untuk mendapat keredhaan Allah. Bukan hanya menjaga hubungan dengan Allah tapi dengan manusia dipandang remeh. Semudahnya menjatuhkan air muka orang lain dengan sengaja tanpa apa apa sebab. Sekarang kita masuk bab resepi nasi ayam yang saya mahu kongsikan hari ini pula.


Nasi Ayam Simple Versi Dr Nana

Hari ini Nana masuk kerja sebelah malam, jadi dia memberitahu melalui WA famili yang dia ingin memasak nasi ayam untuk dimakan sewaktu berbuka puasa. Memang jadual dan waktu kerja dia agak pelik sedikit. Balik kerja petang dan pukul 9 malam masuk kerja lagi sekali, seolah bekerja 2 shif pula. Hmm mendengar beliau ingin memasak, saya cepat sahaja menyokong. Maklumlah dah lama tak makan di rumah. 

Jom layan resepi nasi ayam simple dimple tapi sedap dari hasil air tangan anakanda saya. Saya pun tak tahu dari mana Nana belajar resepi ini dan yang pasti ianya lainlah sedikit dari cara saya. Dia lebih yakin bila memasak, semuanya ikut gerak hati dia sahaja tanpa mengikut sukatan tertentu. Sambil dia memasak, saya hanya memerhati sambil mengambil gambar. Dalam hati terfikir, bilalah Nana akan menemui jodohnya bila asyik bekerja sahaja siang malam. Jodoh dan pertemuan semuakan telah ditentukan Illahi. Hmm ayat memujuk hati. Ooops terlebih sudah. OK lah sekarang kita layan resepi yang saya catit dari pemerhatian saya bila melihat dia memasak...


Nasi Ayam Simple Versi Dr Nana

Nasi Ayam Dr Nana

Kuah Sup
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
Air
Garam
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
2 biji ubi kentang - potong dadu
Bawang goreng - tabur
Daun sup - tabur 

Panaskan air secukupnya. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia kisar. Masukkan garam dan setelah menggelegak, masukkan ayam. Rebus sehingga ayam masak. Angkat ayam keluar dan toskan. Ketepikan sedikit air rebusan ayam untuk memasak nasi.

Di dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak dan tumis rempah penumis sehingga naik bau. Masukkan air  rebusan ayam dan masak sehingga menggelegak. Kemudian masukkan pula kentang yang dipotong dadu. Setelah kentang lembut, masukkan bawang goreng dan tabur daun sup.


Nasi Ayam
3 pot beras - basuh dan tos
1 kiub ayam
2 ulas bawang merah - hiris
Kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
Air rebusan ayam
1 helai daun pandan
2 sudu majerin

Panaskan kuali dan masukkan majerin, setelah panas masukkan bawang dan rempah penumis. Tumis sehingga wangi. 




Tuang bahan tumis ke dalam beras yang telah ditos. Masukkan daun pandan, kiub ayam serta sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk nasi. Kemudian baru dituangkan air rebusan ayam secukupnya. Masaklah nasi seperti biasa.




Ayam Madu

Ayam 
Madu
Kicap
Sos tiram
Sedikit minyak jagung

Satukan bahan bahan di atas dan lumur pada ayam. Perapkan seketika sebelum digoreng dengan minyak yang banyak. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.



Sambal Cili 
3 batang cili merah
5 ulas bawang putih
1 biji limau nipis
Sedikit air
1-2 sudu besar gula
Sedikit garam

Kisar cili, bawang putih, air limau nipis dan sedikit air. Tuangkan ke dalam mangkuk. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Sedia untuk dihidangkan.


Sambal Kicap
Sos tomato
Sos cili
Kicap
Sedikit air perapan ayam, jika suka

Satukan semua bahan dan sesuaikan rasa. Siap untuk dihidangkan.


Sayuran
Daun salad
Timu 
Tomato



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

5 ulasan for "Nasi Ayam Simple Versi Dr Nana"