Iklan

Iklan Nuffnang

29 Nov 2014

Kuih Lopes Buat Hidangan Petang





Saya sebenarnya bukan lah penggemar kuih lopes tapi entah macam mana tiba tiba jer teringin untuk memasak kuih lopes. Lebih lebih lagi kerana masih ada Manisan Cair dalam peti yang memang lebih ori dari Kelantan dan lebih sedap dari air gula Melaka yang dimasak sendiri. Saya pun membelek belek melihat terdapat pelbagai resepi dan cara penyediaannya. Saya memilih resepi dari blog Yatie tapi menyediakan mengikut cara penyediaan pulut yang biasa saya buat. Boleh juga jika mahu ditanak seperti menanak nasi. Atau dikukus kering tanpa air sehingga separuh masak, angkat dan dituang santan dan kukus lagi. Mana mana pun boleh tapi saya memilih cara yang paling mudah. Maklumlah dah lama saya tak ke dapur kerana setiap minggu ada sahaja aktiviti dari hari keluarga di Sunway Lagoon, program teambuilding di Hotspring dan projek asyura di surau dsb. Hihihi sibuknya saya.... Siapakah orang yang paling sibuk? Siapakah orang yang paling baik? Orang yang paling baik adalah orang yang baik akhlaknya dan tinggi ilmunya. Siapakah orang yang paling bijak? Orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian.





Oleh kerana dah menyentuh sedikit bab ilmu, jadi saya nak kongsikan tazkirah tafsir Tuan Guru Ustaz Abdullah Lutfi Al Fatani berkenaan banyak perumpamaan yang Allah sebut di dalam Al Quran menggunakan haiwan yang kecil dan lemah. Contoh dalam surah Al Baqarah ayat 26 berkenaan Allah tidak segan segan untuk menggunakan nyamuk sebagai perumpamaan. Ramai orang yang sesat dan ramai juga yang mendapat petunjuk dengan perumpamaan ini. Kenapa nyamuk? Kerana nyamuk bila lapar akan mencari mangsa dan makan sehingga kenyang dan mati. Begitu juga manusia yang makan sehingga terlalu kenyang yang boleh membawa mati atau mati akal dan fikirannya. Itu sebab kita disuruh berpuasa supaya sedikit merasa kelaparan untuk mengekang nafsu, bukan seperti nyamuk. Perumpamaan seterusnya ialah dalam surah Al Hajj ayat 73 berkenaan lalat. Dikatakan bahawa mereka yang menyembah selain dari Allah yang tidak sekali kali dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai ramai untuk menciptanya. Jika lalat mengambil sesuatu dari benda yang disembah, ianya tidak dapat mengambilnya balik dari lalat tersebut. Jadi alangkah lemahnya yang menyembah dan yang disembah. Jadi janganlah sesekali syirik dengan Allah. Nabi Muhamad SAW mengajar Asma, isteri Abu Bakar doa untuk menjauhi syirik iaitu doa 7 kalimah yang elok dibaca setiap hari samada saat diuji dengan kesusahan atau kesenangan. Doanya ialah, "Allah Allahu Robbi La Usriku Bihi Syai Aa". Ertinya ialah Allah lah Tuhan aku dan aku tidak syirik Allah dengan sesuatu.




Sekarang sambung sikit lagi berkenaan perumpamaan seterusnya iaitu berkenaan Labah labah dalam surah Al Ankabut ayat 41-43. Labah labah membuat sarang yang sehabis reput sebagai tempat perlindungan. Sangat mudah rosak. Begitulah rapuhnya perumpamaan orang yang mencari perlindungan selain dari Allah. Ianya boleh difikir oleh orang yang berilmu sahaja. Manakala perumpamaan seterusnya ialah surah Al Jumu'ah ayat 5 berkenaan perumpamaan keldai bagi orang yang diberi tanggungjawab memikul kitab Taurat. Di dalam kitab Taurat telah disebut berkenaan sifat sifat Nabi Muhamad SAW dan kehadiran baginda. Mereka yang diberi tanggungjawab itu umpama keldai yang tidak tahu apa kandungannya. Buruk sungguh bandingan orang yang mendusta ayat Allah umpama keldai yang jika diletak apa pun diatas belakangnya, ia tidak akan tahu apa apa. Haa sangat mudah difahamikan jika kita berguru, sedangkan jika membacanya sendiri pasti kita tidak memahami apa maksudnya Allah membuat perumpamaan seumpama itu. Kita perlu berguru dan perlu berada di majlis majlis ilmu untuk belajar dari mereka yang pakar dalam bidang ini.




OK sekarang kita tengok resepi lah pulak. Tak perlu citer panjang panjang pasal kuih lopes kerana semua orang kenal dan pernah makan kuih lopes tapi rasanya tak semua orang pernah menyediakannya sendiri. Jadi apakata anda cuba menyediakannya sendiri di rumah untuk hidangan keluarga....



Kuih Lopes

Bahan-bahan:
2 cawan beras pulut susu
2 cawan santan cair
1/2 cawan air daun pandan - dikisar beberapa helai daun pandan
1/2 sudu kecil air kapur
1/2 sudu kecil garam
Beberapa titis pewarna hijau
Kelapa parut - gaul dengan sedikit garam

Cara-cara:
Cuci beras pulut, rendam beras pulut dengan air, pewarna hijau dan air kapur selama 1/2 jam. Sementara itu, kisar daun pandan bersama 1/2 cawan air dan tapiskan airnya. Ketepikan dulu.

Kemudian toskan beras pulut dan masukkan ke dalam loyang. Lepas tu, masukkan santan, garam dan air pandan. Gaul rata. Panaskan pengukus sehingga air mendidih dan dikukus sehingga masak atau 3/4 masak pun tak apa sebab akan dikukus lagi.





Bila santan kering, kacau rata supaya pulut masak rata. Kukus seketika lagi sebelum diangkat. Sejukkan seketika.

Ambil daun pisang yang dipotong panjang dan layur sekejap atas api. Bentangkan daun pisang, bubuh pulut ikut kadar yang dikehendaki dan gulungkan daun tersebut dua atau tiga lapis. Punjutkan bahagian kiri dan kanan sambil dipadatkan. Ikat dengan benang atau tali rapia.




Susun di atas periuk pengukus dan kukus sekali lagi selama 15 minit atau lebih. Sejukkan dan potong dengan menggunakan benang yang ditegangkan dikedua dua belah atau menggunakan pisau sahaja. Gaulkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan garam.




Sedia untuk dihidangkan bersama air gula Melaka yang telah disejukkan.




Nota:
Boleh juga dimasukkan pulut yang telah masak ke dalam bekas 4 persegi dengan plastik/daun pisang. Tuang pulut ke dalamnya dan ditekan padat padat dengan plastik/daun pisang. Biarkan sejuk, kemudian potonglah ikut bentuk yang disukai.

Sementara pulut dikukus, bolehlah disediakan air gula. Hidangkan kuih lopes dengan air gula yang disejukkan.


Air Gula Melaka

Bahan bahan:
3 ketul gula Melaka
5 sudu besar gula pasir
3 cawan air
2 helai daun pandan- disimpul

Cara-cara:
Masukkan semua bahan dalam periuk, bila dah mendidih kecilkan api dan masak hingga agak likat. Bila dah sejuk boleh dimakan bersama pulut.

Nota:
Lebih sedap jika air gula Melaka disejukkan dalam peti ais seketika sebelum dihidangkan.




12 comments:

  1. salam azie, akak dah lama nk buat belum lagi terbuat ni tingin lah tengok yg azie ni slurpp..

    ReplyDelete
  2. dah lama tak buat lopes ni...nampak ni terus teringin pulak,.. harus cari bahan ni... :)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, pn azie.
    Mula2 saya mengenali blog pn, ketika mencari resepi kek coklat moist, alhamdulillah sekali cuba, mmg jadi.bermula drpd tu, setiap kali mencari resepi saya akan taip nama resepi dan dihjgnya tak lupa letak 'azie'...Alhamdulillah, kbykannya mmg ada di dlm blog pn. Dan pada masa tu, smbil2 baca dan tanam angan2 utk bt.. Tapi skrg, berpndukan resepi Pn,sy gunakannya di bumi Auckland. Terutamanya resepi kari ayam dgn roti jala dan kuih lopes. Alhamdulillah mendpt smbutan..saya harap Pn izinkan sya mnggunakan resepi Pn. Dan saya turut berkongsi resepi dan blog Pn dgn sesiapa yg bertnya... 😊😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm puan. Alhamdulillah. Saya juga tumpang gembira mendengarnya. Silakan lah share supaya kita sama sama mendapat ganjaran perkongsian ilmu. Semoga kita bersua lagi di alam maya ini.

      Delete
  4. Dah buat betul ikut resepi kak azie.ni tgh mengukus.semoga menjadikkkk

    ReplyDelete
  5. hai kak,sy pun tgh buat ni..mudah mudahan menjadi..minta kongsi ye..

    ReplyDelete
  6. Resepi Dari azie kitchen memang senang ikut Dan sedap first resepi saya ikut kambing kozi...
    Blog azie kitchen memang terbaik...

    ReplyDelete
  7. ciku suka terjah blog ni..kali ni tgk lopes terus rasa nak g beli bahan utk berbuka nnt..hihi

    ReplyDelete
  8. Terima kasih pn Azie. sy buat kuih lopes ikut resepi pn..menjadii..sukanya. sy juga bnyk tgk resepi2 lain bila nk memasak. Alhamdulillah mmg sedap. TQVM
    pn azie. moga beroleh pahala berlipat kalk ganda.

    ReplyDelete
  9. knape kne letak kapur ye?klau xde kapur xjd ke?

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.