Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Teringat Ingat Keenakan Kuih Bakar Kemboja


Kuih Bakar Kemboja


Insya Allah esok umat Islam yang menunaikan fardhu Haji akan berwukuf di Padang Arafah. Bertuah kerana tahun ini adalah tahun Haji Akbar. Semoga mereka semua dikurniakan Haji yang Mabrur yang balasannya adalah syurga. Hari ini saya mahu menyentuh berkenaan kuliah Ustaz Zaid Hamzah di Surau Ad Dhuha yang sangat sangat meruntun jiwa saya. 

Sememangnya untuk mencari kawan semasa senang memang ramai tapi betapa ramai kawan yang sanggup menemani semasa kita ditimpa ujian dan musibah? Semasa saya sampai, ustaz sedang menghuraikan bagaimana kita mahu menjadi seorang yang selamat. Caranya ialah dengan mengikut ajaran Islam dan beramal dengan Islam secara holistik. Allah menurunkan Al Quran untuk memberi hidayah dan petunjuk yang menjelaskan akan tiap tiap sesuatu. 


Kuih Bakar Kemboja

Al Quran juga membawa berita gembira. Kenapa majoriti orang Islam hidup susah? Jawapannya ialah kerana mereka tidak mengikut peraturan Islam. Sampaikan berita gembira ini pada orang beriman dan mereka yang melakukan amal amal soleh dengan disediakan taman taman syurga yang mengalir sungai sungai di bawahnya dengan buah buahan dan teman hidup yang bersih dan mereka akan kekal di dalamnya selamanya. Syurga di dunia adalah ketenangan, bukan kesenangan. Ada orang senang tapi tidak tenang. 

Setiap manusia tidak akan dapat lari dari ujian dan musibah. Semua ujian dan musibah adalah datangnya dari Allah. Perlu diingatkan Allah tak akan menguji hambanya di luar kemampuan. Sebab itu ujian antara kita tak sama kerana kemampuan antara manusia adalah tidak sama. Ingatkan sentiasa bahawa bila ditimpa ujian atau musibah adalah kerana Allah hendak menghapuskan dosa yang lalu dan  diberikan pahala. 

Jadi bila ditimpa ujian dan musibah, mesti diterima dengan hati terbuka dan kembalikannya semula pada Allah. Jika kita dianiayai atau dizalimi, kembalikan pada Allah, biarlah mahkamah Allah yang mengadili. Allah Maha Pemberi dan juga Allah boleh melenyapkan ujian tersebut pada bila bila masa sahaja. Jadi kita kena sabar menghadapi ujian. Apa maksud sabar? Usaha yang diambil untuk mengatasi kelemahan kita, itulah sabar. Bukan tunggu dan lihat semata mata.

Kuih Bakar Kemboja ini saya sediakan sehari selepas saya menyediakan Kuih Bakar yang di SINI. Ini kerana dek teringat ingat keenakan kuih bakar tersebut. Saya lebih suka makan kuih bakar yang dah sejuk, baru dapat dirasa lemak dan manisnya. Kali ini saya membuat hanya separuh adunan iaitu untuk 2 biji Kuih Bakar Kemboja.

Saya bahagikan adunan kepada 2 dan untuk rujukan saya di masa akan datang, saya sertakan di bawah ini resepi yang menggunakan separuh adunan seperti kuantiti dalam kurungan. Kalau sekadar nak melayan diri sendiri, buat 2 biji kuih Bakar Kemboja pun dah cukup. Jom layan resepi....


Kuih Bakar Kemboja

Kuih Bakar Kemboja

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum - (1 cawan)
½ cawan santan - (1 ¼ cawan)
1 cawan jus pandan - (½ cawan)
¾ cawan gula - (½ cawan tak penuh)
2 sudu besar butter - cairkan (1 sudu besar)
3 biji telur - (2 biji)
½ sudu kecil garam - (¼ sudu kecil)
Pewarna hijau
Sedikit bijan - untuk ditabur

Cara-cara:
Satukan semua bahan dan blend sampai sebati dan tepung tidak berbintil.

Panaskan acuan kuih terlebih dahulu di atas api dapur. Kalau mahu elakkan dari adunan melekat pada loyang, penuhkan loyang dengan minyak masak. Lepas tu panaskan sehingga keluar asap (betul betul panas). Kemudian tuang (keluarkan) minyak tu dari acuan. Kecilkan api sekecil kecilnya.

Lenser minyak atau butter pada acuan dan tuang adunan ke dalamnya dalam ¾ penuh acuan. Semasa dibakar, kuih akan naik tinggi. Kemudian taburkan bijan di atasnya. 

Masak sebentar di atas dapur gas selama 5-7 minit dengan api yang sangat kecil bertujuan untuk dapatkan kulit yang agak garing. Kemudian sambung bakar kuih di dalam oven suhu 180C selama 30 - 40 minit hingga permukaan kuih nampak keperang-perangan.

Bila dah sejuk, bolehlah dipotong mengikut bentuk acuan.


Kuih Bakar Kemboja



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

4 ulasan for "Teringat Ingat Keenakan Kuih Bakar Kemboja"

  1. Assalam...suka tengok resepi2 kak zie...pinjam resepi kuih nie ye..TQ

    BalasPadam
  2. Assalam. Telah cuba & memang sedap. Semoga ilmu yang dikongsikan Puan Azie diberi Allah ganjaran pahala yang berterusan.

    BalasPadam
  3. Salam azie....cawan tu besar mane ye

    BalasPadam
  4. Kak azie...Ada buat buku resepi ke..kalau ada kat mn nk cari buku tu...semua masakan sedap belaka...kalau dibukukan mmg sempoi..👍👍👍

    BalasPadam