Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap

Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap

Hari ini hubby menghantar saya mengaji kerana sahabat saya Roslina sedang bercuti di luar negara bersama hubby sempena meraikan hari lahir beliau. Selamat Hari Jadi Ina. Saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah yang paling berharga dan tiada ternilai iaitu dipertemukan dengan Roslina dan Kak Kamariah di Masjidil Haram semasa mengerjakan umrah Ramadhan 2 tahun yang lalu. Doa saya dimakbulkan. 

Yang penting, saya mampu menjadi anak yang memberi manafaat kepada kedua ibubapa yang telah meninggal. Kak Kamariah menasihati saya membuat muhasabah diri dan bersyukur dengan apa yang telah saya miliki dalam hidup ini sedang ramai lagi yang tidak bernasib baik. 

Dia menasihatkan saya supaya melihat ke bawah dan bersyukur supaya tiada resah gelisah dan gundah gulana di hati dan menganggap apa sahaja yang berlaku adalah dari Allah yang hanya untuk menguji diri saya. 

Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap

Bukan saya tak tahu berkenaan semua ini tetapi saya perlu sentiasa diberi nasihat dan peringatan. Saya mahu sentiasa diingatkan. Semasa kuliah Tafsir Surah Al Baqarah ayat 25, Tuan Guru Ustaz Abdullah Lutfi Al Fatani memberi peringatan berkenaan janji Allah pada orang orang yang beriman. 

Urusan akhirat  adalah memenatkan dan tidak terus nampak hasilnya berbanding urusan dunia. Ini yang menyebabkan ramai manusia memilih dunia. Menjalankan perniagaan, terus dapat dilihat keuntungannya, sedangkan melakukan amalan soleh, hasilnya tidak dapat dilihat sekarang ini. 

Amalan soleh adalah apa apa pekerjaan dan perbuatan yang memberi pahala seperti solat, puasa, sedekah, menolong makhluk hatta membuang duri di jalanan. Balasan bagi orang yang beriman dan bertaqwa adalah syurga yang mengalir di bawahnya sungai sungai.

Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap


Balik dari mengaji, saya terus masuk ke dapur untuk membuat tart nenas. Sekarang ni mood nak mengetart jer. Sebelum ini saya buat Tart Nenas versi landak atau gunting di SINI

Hari ini saya mahu memperkenalkan resepi tart nenas saya yang dikenali sebagai Tart Permata. Kali ini kita tukar ke nama yang lebih glamor iaitu Tart Permata Nur Qaseh. Inilah satu satunya resepi tart yang saya guna sejak 25 tahun yang lalu dalam menyediakan kuih tart setiap kali menjelang Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha. Ketika itu, saya hanya menyediakan kuih tart nenas di dalam acuan bunga. 

Resepi ini kalau tak silap, saya belajar dari sahabat saya Haji Hasbullah. Ketika itu, saya baru menjejak kaki ke alam pekerjaan dan baru mendirikan rumah tangga. Saya mula menyediakan biskut raya dengan hanya membakar menggunakan oven bulat tu sahaja. Bayangkan berapa lama masa diambil untuk membakar kuih raya yang dibuat 2-3 adunan untuk setiap jenis. Akhirnya pembantu rumah saya yang akan menunggu sehingga semuanya habis dibakar. 

Ketika itu, anak anak masih kecil jadi mereka akan bersama menemani saya di dapur. Kami akan membentang tikar dan bersila di atas tikar. Loyang membakar pula hanya menggunakan tudung tudung periuk untuk muat oven bulat. 

Lama selepas itu, baru saya membeli stand oven jenama Europa yang disyorkan oleh Kak Soraini yang sempat diguna beberapa tahun sebelum berpindah. Hubby tidak membawa oven itu bersama semasa pindah. Akibatnya ianya telah hilang yang mungkin diambil oleh pekerja yang membuat kerja kerja renovation di sana. Walaupun terkilan, saya redha kerana mungkin telah tiada rezeki saya. 

Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap
Saya suka resepi ini yang lebih tradisional dengan penggunaan tepung dan mentega sahaja. Sekarang ini banyak resepi yang lebih moden telah dibuat penambahbaikan dengan dimasukkan tepung jagung, tepung kastard dsb. Saya lebih suka pastri tart yang sedikit keras ala ala biskut berbanding tekstur yang gebu dan hancur berderai. Walaupun trend sekarang adalah kuih tart yang cair di dalam mulut. Selera masing masing berbeza kan. 

Untuk resepi ini menghasilkan 35 biji tart gulung. Saya bulat bulatkan inti dalam 10 gram untuk setiap biji. Kalau dulu, saya suka membuat tart menggunakan acuan bunga, tapi kini saya lebih selesa dengan tart gulung atau tart landak sahaja kerana ianya lebih mudah disimpan. Kalau tart bunga, perlu dilapik setiap layer dengan baking paper bagi mengelakkan kulit tart melekat di bahagian atas inti nenas. Maklum inti nya membuncit di atas pastri. 

Jom layan resepi...

Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap
Tart Permata Nur Qaseh

Bahan bahan:
8 oz/226 gram tepung naik sendiri
5 oz/141 gram mentega
2 sudu besar air ais
Secubit garam, jika guna unsalted butter
Kuning telur + sedikit air + pewarna kuning telur - sapu di atas tart

Cara cara:
Satukan mentega yang dipotong dadu dan tepung. Ramas ramas sehingga rata sebelum dimasukkan air ais. Gaul sebati sehingga ianya menjadi adunan doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.

Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan di dalam peti ais selama 30 minit hingga 1 jam. Sedia untuk dicanai dan terap menggunakan acuan tart bunga atau apa apa yang disukai. Untuk hari ini, saya buat tart gulung. 


Sapu kuning telur di bahagian atas. Jangan sampai meleleh ke atas loyang untuk mengelakkan tart hangus di bahagian bawah. Susun dalam loyang yang dilenser sedikit mentega. Bakar dalam oven pada suhu 170C selama 30 minit atau sehingga bahagian bawahnya berwarna perang sedikit. 

Inti Tart Nenas

Bahan bahan:
1 Ib/454 gram isi nenas parut 
1/2 Ib/227 gram gula pasir
Bunga cengkih dan kayu manis
Daun pandan
Sedikit pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Nenas diparut dan ditoskan airnya. Boleh juga jika nenas dihancur menggunakan food processer atau blender. Kemudian timbangkan isi nenas.

Masukkan semula, nenas, jus nenas, gula, daun pandan serta bunga cengkih dan kayu manis ke dalam kuali dan masak di atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga ianya tak melekat di daun pandan dan berkilat. Jangan terlalu kering.

Sejukkan dan siap untuk digunakan.



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

4 ulasan for "Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap"

  1. Tart nenas ni my faveret, tp order pandai la,...lepas ni boleh try resepi azie harap menjadi....nmpak terlioq, cair dimulut aihhh.

    BalasPadam
  2. Bahan yang mudah sahaja....terima kasih sis...saya suka mencuba resepi sis alhamdulillah sedap.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. salam..kalau yang tradisional ni pastrinya mmg tak letak gula ya kak azie?

    BalasPadam