Iklan

Iklan Nuffnang

7 Oct 2014

Gulai Kawah Daging Qorban Dalam Kuali





Sebelum layan resepi, saya ingin kongsikan petikan dari program Tanyalah Ustaz yang saya tonton sebelum mula memasak di dapur. Allah hanya meminta kita melakukan pengorbanan dengan menyembelih haiwan yang tidak kita sayang, bukan menyembelih anak yang kita sayang seperti mana pengorbanan Nabi Ibrahim. Melakukan ibadah qorban bukannya untuk orang kaya tapi untuk semua orang sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang Allah kurniakan selama ini. Bagi orang Islam, dapat banyak kita syukur, dapat sikit juga kita syukur. Jika kita masih mempunyai duit untuk makan selama 2 hari selepas membayar duit untuk ibadah qorban, maka kita dikategori sebagai orang yang mampu untuk melakukan ibadah qorban. Lagi pulak, ibadah yang berbentuk tahunan seperti ibadah qorban, solat sunat hari raya, amat rugi jika dilepaskan kerana kita belum pasti jika kita masih berpeluang untuk melakukannya di tahun hadapan. Janganlah berkira untuk menyatakan pengorbanan kita pada Allah kerana rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita tidak terhitung banyaknya...

Oleh kerana tak balik berhari raya di kampung sempena hari raya Aidil Adha atau hari raya Qorban, saya sangat sangat teringin untuk makan gulai kawah dengan daging qorban yang segar. Jadi saya pun merajinkan diri untuk ke Surau Ad Dhuha untuk menikmati daging gulai kawah yang dimasak di situ. Seekor lembu dimasak di situ untuk hidangan para jemaah dan penduduk di sekitarnya. Keterujaan untuk menikmati gulai kawah terhenti setelah menikmati gulai tersebut. Saya perlu menerima hakikat yang gulai kawah tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain. Ianya berbeza dari segi rempah gulai yang digunakan dan juga kepakaran tukang masak. Oleh kerana Boy dapat sedikit daging qorban, jadi saya pun tak berlengah lagi untuk memasak gulai kawah sendiri menggunakan rempah gulai kawah Kelantan.




Pagi pagi lagi saya telah ke dapur seorang diri untuk memasak. Saya kena memasak lebih awal kerana ingin menyiapkan semua masakan sebelum Nana keluar bekerja. Hari ini Nana bekerja di sebelah malam. Sebenarnya memasak gulai kawah ini tidaklah sesusah mana, cuma perlu memastikan bawang ditumis dengan garing dan rempah juga perlu ditumis lama lama. Selain itu, bab yang paling susah bagi saya ialah bagi memastikan ianya secukup rasa, secukup rasa masam, rasa manis dan rasa masinnya. Inilah bab yang ramai orang tak suka jika memasak untuk majlis kenduri kendara. 

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini.....



Gulai Kawah Kelantan

Bahan bahan:
1 kilo daging
1 1/2 sudu besar rempah gulai kawah
4 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
1/2 biji bawang besar - kisar
1batang kulit kayu manis
1 kotak santan kotak dan air secukupnya
Garam
Air asam jawa
Gula dan gula Melaka

Cara cara: 
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris dan kulit kayu manis sehingga wangi. Masukkan serbuk rempah kari dan dikacau rata dengan cepat supaya tidak hangit dan kemudian masukkan sedikit air.




Kacau sehingga rempah keluar minyak dan masukkan daging serta sedikit air. Masak sehingga daging empuk. Saya hanya memasak daging dalam pressure cooker seketika.

Setelah air menggelegak, masukkan santan dan masaklah sehingga menggelegak. Akhir sekali, masukkan garam, air asam jawa dan gula. Sesuaikan rasa dan kepekatan dan bolehlah diangkat dan dihidangkan.




1 comment:

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.