Iklan

Iklan Nuffnang

27 Oct 2014

Cekodok Ikan Bilis Daun Bawang Lembut dan Sedap






Meletakkan sesuatu tidak pada yang hak adalah satu kezaliman. Jadi kepada pemimpin dan ketua ketua, kena ingat jawatan dan pangkat datang bersama dengan tanggung jawab. Ia bermakna, kena tanggung dan kena jawab di akhirat kelak atas segala kezaliman yang dibuat. Cukup setakat itu perkongsian dari kuliah Ustaz Abu Salam. Hari ini saya belajar membuat cekodok ikan bilis daun bawang mengikut cara Mami. Mami adalah part time cleaner yang datang membersih rumah saya. Mami sejak dulu lagi datang mencuci dan membersih rumah adik ipar saya, Zatul di Rawang. Zatul lah yang memperkenalkan saya dengan Mami. Telah lama Mami tak datang, rasanya dah hampir 2 tahun juga. Agak susah untuk mendapatkan beliau kecuali hari hari cuti kerana beliau bekerja di klinik yang dibuka 24 jam. 

Semasa dia datang bersama kawannya, Mami membawa satu plastik besar daun bawang. Dalam hati saya berkata apa nak dibuat dengan daun bawang sebanyak ini. Selama ini, saya hanya menggunakan daun bawang untuk ditabur atas sup dan lain lain lauk pauk sahaja. Sebelum balik, dia mengajar saya supaya menggoreng udang dengan menggunakan daun bawang yang dibawa. Di samping itu, juga untuk dibuat cekodok. Mendengarkan resepi cekodok dia yang agak berbeza dengan penggunaan bawang putih, saya terus mengajak Mami untuk menyediakan cekodok bersama sama. Haaa dapatlah tengok macam mana dia buat. Melihat sendiri lebih jelas berbanding dengan diajar resepi sahaja.





Hmm memang sedap cekodok ini. Sangat terbaik. Ianya dibuat leper leper bukan bulat bulat seperti yang biasa saya buat. Katanya secara bergurau kalau bulat itu, dah jadi begedil. Hehehe. Kesian juga mendengarkan Mami memberitahu yang dia selalu menyediakan cekodok kerana tepung gandum murah untuk dibuat makanan seharian. Kita rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberi. Kurangkan lah komplen tentang apa sahaja. Kerana apa sahaja yang berlaku adalah dengan izin Allah juga yang didatangkan sebagai ujian. Tidaklah kita dipanggil orang beriman, sehingga kita diuji. Lagi tinggi ketaqwaan kita, lagi tinggi juga ujian yang didatangkan.

Jom kita tengok resepinya....



Cekodok Ikan Bilis Daun Bawang

Bahan bahan:
1/4 kg tepung gandum
3 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis
2 cekak daun bawang - hiris kecil
Sedikit minyak panas/majerin cair panas
1 gelas air panas/secukupnya
1/2 sudu besar garam
1 sudu besar gula

Cara cara;
Panaskan mentega dan goreng ikan bilis seketika. Angkat dan tumbuk bersama bawang putih sehingga lumat. Satukan dengan tepung gandum dan daun bawang. Masukkan garam dan gula.




Akhir sekali, tuang sedikit minyak panas dan air panas sedikit demi sedikit hingga sesuai kecairannya. Gaul sebati. Sedia untuk digoreng.

Tuang adunan ke dalam minyak panas dengan menggunakan sudu dan bentukkan supaya menjadi leper dan goreng sehingga bewarna keemasan.





Boleh dicicah dengan sos cili atau dimakan begitu sahaja. Saya suka makan begitu sahaja. 

Nota:
Boleh ganti ikan bilis dengan udang kecil.



8 comments:

  1. salam akak.. sedapnye.. sy dah lama tak buat cucur ikan bilis.. teruja pulak tengoknye

    ReplyDelete
  2. biasanya sy wat cekodok letak daun kunyit...nnt nk cuba jugak letak daun bawang..:)

    ReplyDelete
  3. Letak cukai getah lg sdp Slmt mencuba

    ReplyDelete
  4. Breakfast pagi ni dengan resepi cucur bilis kak azoe 😝

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.