Iklan

Iklan Nuffnang

5 Sep 2014

Mee Sup Tulang Yang Sedap






Sejak menjadi seorang blogger, saya banyak menerima tawaran dari pihak televisyen dan majalah samada untuk rakaman rancangan masakan atau dekorasi rumah. Setakat ini, saya belum bersedia kepada semua itu. Pertamanya kerana saya memang pemalu dan keduanya kerana matlamat saya berblogging adalah berkongsi ilmu masakan dan juga ilmu yang saya pelajari dari kuliah kuliah agama. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan tersebut. Saya memang segan bila di mana mana sahaja, ada yang mengenali saya. Tak tahulah kalau di masa hadapan, saya tiba tiba bersetuju. Tapi buat masa sekarang, memang belum bersedia. Saya hanya ingin mencari sedikit amalan semasa hidup di dunia kerana bila kita mati, tiada lagi tempat untuk beramal. Akhirat hanyalah tempat pembalasan akan amalan yang telah dibuat di dunia. Telah seminggu arwah Bonda pergi meninggalkan kami. Saya mesti kuat dan kehidupan mesti diteruskan seperti biasa, jadi hari ini saya ingin kongsikan berkenaan Mee Sup Tulang. Kalau semasa kecil dulu, saya sangat suka makan mee sup yang saya panggil sebagai Mee Kuah.

Semasa berkunjung ke rumah terbuka Azman dan isterinya, Ita tahun lalu, kami tiba dalam keadaan hujan lebat. Ita yang sangat ramah mesra menyambut kedatangan kami. Semua masakan yang dihidangkan dimasak sendiri oleh Ita. Semua nampak sangat sedap tapi saya mencuba mee sup kerana mahu menghangatkan badan yang kesejukan dek hujan. Aduh aduh memang sedap sangat sangat sup tadi. Kalau kita makan mee atau mee hoon sup di mana mana gerai biasanya kuah bukan dibuat dari rebusan daging sebaliknya hanya dibuat kuah sup dan dikemudian dihidangkan dengan daging rebus. Betul ke apa yang saya tulis dengan apa yang saya nak sampaikan ni. Maksud saya bila air rebusan tulang, mestilah lama direbus jadi kuahnya memang pekat dan melekatlah dengan rasa tulang. Bayangkan dalam kekenyangan ketika tu, saya masih boleh menambah mee sup. Lagi pulak, daging yang digunakan pun, memang daging segar. Memang terasa kemanisan kuahnya. Ini cerita tahun lepas.






Tahun ini sekali lagi kami ke sana dan juga kami tiba sewaktu hujan lebat sehingga badan menggigil kesejukan. Kami masuk ke dalam rumah kerana hujan lebat dan tempias. Hati gembira bila melihat Ita menghidangkan Mee Sup Tulang seperti tahun lepas. Sup Ita kali ini masih sedap seperti sup sebelumnya. Dengan muka tak malunya, saya ke dapur menceduk sendiri sup di dalam periuk besar kerana dah tak sabar menunggu hujan redha. Mereka menghidang makanan di atas meja depan rumah tapi hujan yang lebat menyebabkan saya tak dapat keluar dari rumah untuk ke tempat makanan dihidang. Haaa sejarah tu, bila saya sendiri ke dapur untuk mengambil makanan. Di tengah tengah kesibukan Ita, saya sempat menanya dan menyalin resepi. Kebetulannya saya memang dah beli tulang lembu segar dari Kelantan ketika balik menjenguk Bonda yang ketika itu tidak sihat dalam pertengahan bulan Ogos. Tinggal untuk memasaknya sahaja lagi. Saya buat hanya 2 kilo tulang, jadi semua bahan digunakan separuh sahaja.

Jom kita layan resepi penyediaan sup yang sempat saya pelajari dari Ita....



Mee Sup Tulang Yang Sangat Sedap

Bahan bahan;
4 kg tulang lembu
8 biji bawang besar - kisar
Segenggam bawang putih - kisar 
4 ketul halia - kisar
2 inci lengkuas - ketuk
8 sup bunjut
Rempah penumis - pelaga, kayu manis, bunga lawang
Daun pandan
Garam
Ajinomoto
Sedikit gula 

Bahan lain:
Mee kuning - celur dan tos
Bawang goreng
Daun sup
Daun bawang
Sambal kicap - resepi di bawah

Cara cara;
Tulang direbus lama lama sehingga daging empuk dan air tulang sebati dengan kuah. Sekali sekala, cedukkan keluar bahagian berlemak di permukaan air rebusan, jika ada.

Kisar bawang bawang dan halia. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama rempah penumis dan sup bunjut sehingga wangi.

Masukkan bahan yang ditumis dan daun pandan ke dalam kuah sup. 

Masukkan garam dan serbuk perisa. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 

Hidang bersama mee kuning yang dicelur atau mee hoon. Tabur bawang goreng, daun bawang dan daun sup. Sedia untuk dihidangkan bersama sambal kicap.


Sambal Kicap

Bahan bahan:
Bawang putih
Cili padi
Kicap
Asam limau nipos
Garam
Aji nomoto

Goreng bawang putih dan cili padi. Blend dengan kicap, asam limau, gula, ajinomoto dan garam. Sesuaikan rasa. 





7 comments:

  1. Kalau masakan sedap, makan buat pertama kalinya akan terus kita ingat sampai bila-bila.

    ReplyDelete
  2. Salam.. Saya selalu masak ikut resepi azie ... cepat dan sedap..tq

    ReplyDelete
  3. resepi azie memang sedap..so far tak perna mengecewakan :)

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum, masakan ni untuk berapa orang makan?

    -Arni

    ReplyDelete
  5. Amik resepi tuk ghaya ni kak, tq

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.