Iklan

Iklan Nuffnang

19 Sep 2014

Kuih Sekaya Telur Dalam Akhbar Utusan Malaysia





Kuih ini saya sediakan selepas memikirkan apa kuih yang hendak dimasak bagi memenuhi permintaan akhbar Utusan Malaysia. Haa sebelum itu, jangan lupa dapatkan satu naskah akhbar Utusan Malaysia hari ini bagi melihat gambar dan resepi yang diambil oleh pihak Utusan Malaysia. Seperti yang saya tulis sebelum ini, yang saya agak segan untuk masuk majallah atau televisyen. Terutama masa sekarang di mana saya masih dalam keadaan bersedih dengan pemergian Bonda saya ke rahmatullah pada akhir Ogos yang lalu. Masih ada beberapa janji yang belum ditunaikan dengan wartawan dari beberapa majalah yang menunggu pengesahan saya sejak dari tahun lepas lagi. Tapi bila pihak Utusan Malaysia menulis dan memberitahu hanya untuk shooting gambar masakan, saya bersetuju. Saya rasa tidak sampai hati untuk menghampakan hajat orang.






Saya memilih untuk menyediakan kuih muih Kelantan kegemaran saya terutama untuk dimakan semasa berbuka puasa di bulan Ramadhan. Selera saya di bulan Ramadhan agak berbeza dengan suami dan anak anak di mana mereka menyukai kuih muih kering seperti karipap, popia, apam, roti bom, roti John dsb. Sedangkan saya menyukai kuih basah dan berkuah seperti kuih Sekaya, Asam Guppa, Kuih biji nangka, nekbat, lompat tikam, puteri mandi, ketupat sotong dsb. Jadi jika dibeli di bazar Ramadhan, kuih kuih ini hanya saya sahaja yang makan. Oleh kerana kuih Sekaya Telur adalah antara kuih kegemaran, maka saya memutuskan untuk menyediakan kuih Sekaya Telur untuk tujuan shooting.



 

Terdapat berbagai versi Kuih Sekaya Telur di mana ada yang diletakkan lapisan pulut di bawahnya dan dipanggil sebagai Kuih Pulut Sekaya. Saya telah menyediakan 2 jenis Sekaya Telur sebelum ini di mana satu yang menggunakan santan di SINI  dan versi kedua yang tidak menggunakan santan di SINI. Kalau ditanya saya, kedua duanya sedap dan saya suka. Tapi yang berbeza sedikit dengan resepi yang ingin saya guna kali ini ialah ianya dimasukkan sedikit tepung gandum yang bertujuan untuk memejalkan sedikit kuih seperti mana kuih sekaya yang dijual oleh peniaga kuih di Kelantan. Resepi tradisional dari negeri kelahiran saya ini saya pelajari dari Kak Yah rakan jemaah di Surau Ad Dhuha yang memang handal dalam bab masakan dan kuih muih Kelantan. Walau bagaimanapun, berlaku sedikit kesilapan dalam resepi ini yang asalnya Kak Yah menulis 2 sudu besar tepung gandum. Tapi bila saya bersembang dengan Kak Yah yang sekarang masih mendapat rawatan di ward, beliau telah menulis di sms untuk 10 biji telur, guna 1 cawan tepung gandum. Saya pun tanpa bertanya pasal perbezaan, terus jer ikut. Hmm jadilah macam Bingka Telur. Namun begitu, ianya masih sedap. Seolah Kuih Bakar tapi mempunyai rasa telur. 

Jadi untuk shooting, saya terpaksa menyediakan satu adunan baru menggunakan resepi Sekaya Telur saya yang menggunakan santan di SINI Tapi saya letakkan sekali lagi resepinya di bawah ini. Sedap dimakan ketika sejuk sejuk selepas dikeluarkan dari peti sejuk. Seperti biasalah, kuih muih Kelantan agak manis sebab kalau tidak, rasanya akan lari dari rasa kuih yang asal. Jadi kalau yang tak suka manis, bolehlah adjust sedikit sukatan gula Melaka atau gula pasir yang digunakan. 

Jom kita tengok resepinya....



Kuih Sekaya Telur Kelantan 

Bahan bahan:
6 biji telur 
1 keping gula Melaka - masak dengan sedikit air
1/2 cawan gula pasir - boleh kurang jika tak suka manis
1 cawan santan pekat
2 helai daun pandan - carik kecil
1/2 sudu kecil garam

Cara cara:
Satukan gula Melaka, gula dan santan. Pukul seketika supaya gula hancur. Kemudian tuang ke dalam telur dan pukul lagi sehingga sebati. 





Alas loyang dengan plastik. Tapiskan ke dalam loyang saiz 6 inci. Saya guna loyang saiz 7 inci, jadi kuihnya agak nipis. 





Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Masukkan loyang ke dalam periuk pengukus dan kukus dengan api sederhana selama 25 minit.





Angkat dan sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong. Permukaan kuih akan menjadi berkedut kedut sewaktu diangkat.





Nota:
Sedap dimakan sejuk sejuk sebaik di keluarkan dari peti ais.





6 comments:

  1. nyum..nyum...macam senang. nak cubalah. :)

    ReplyDelete
  2. salam kak Azie, sukanya kuih ini, pernah makan yg mak mertua masak, tapi belum berkesempatan nak mencuba.

    ReplyDelete
  3. waah...kak azie congrates resepi masuk paper, nampak sedap kuih tu....

    http://www.lovehutladyvitamin.com

    ReplyDelete
  4. Tahniahhhh boleh cuba nie... Sedap

    ReplyDelete
  5. Kak, sy dh try buat tp kenapa tak berlubang2? Ada tips tak? Hehe

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.