Iklan

Iklan Nuffnang

2 Jul 2014

Ikan Kerapu Bara Goreng Halia Dan Bawang Putih






Hari ini saya memasak lauk yang simple sahaja. Kali ini menggunakan ikan kerapu bara berwarna merah yang dibeli dari Kota Kinabalu dengan harga RM20 sekilo. Inilah kali pertama, saya membeli ikan kerapu bara. Ikan ini banyak di dapati di restoran makanan laut yang masih hidup. Harganya di sini, memang lah mahal. Tapi saya hanya membeli 2 ekor sahaja kerana tiada yang bersaiz kecil atau sederhana. Semuanya bersaiz besar sahaja. Menurut kawan kawan di KK, ikan ini sangat sedap dengan isi yang lembut dan manis. Itu yang saya beria ia mencarinya di Pasar Besar KK untuk dibawa balik. Oleh kerana mahu menikmati isi ikan yang lembut, saya hanya memasak ringkas sebab tak mahulah rencah menghilangkan kemanisan isi ikan kerapu pula.





Saya terjumpa resepi ini semasa mencari cari resepi untuk menyediakan juadah berbuka. Tengah bersemangat nak memasak untuk juadah berbuka kerana ianya memberi pahala yang sangat banyak di mana pahala puasa suami dan anak anak juga akan saya perolehi. Anak anak yang tolong menghidang makanan juga mendapat pahala orang berbuka. Suami yang membeli bahan untuk memasak juga mendapat pahala orang berbuka. Betapa banyaknya kelebihan yang diberi di dalam  bulan Ramadhan. Bak kata Ustaz Jihad semasa kuliah zohor, copy and paste, bermakna kita mendapat pahala puasa mereka tanpa mengurangkan pahala mereka sendiri. 

Itulah di bulan Ramadhan, Nabi Muhamad SAW menggalakkan kita memberi makan orang berpuasa serta memperbanyakkan bersedekah di mana ganjaran bersedekah adalah sehingga 700 kali ganda. Satu sedekah umpama sepohon pokok yang mempunyai 7 dahan yang setiap dahannya menghasilkan 100 biji buah. Para sahabat dahulu akan berdoa supaya disampaikan pada bulan Ramadhan 6 bulan sebelumnya. Ini kerana mereka tahu kelebihannya berada di dalam bulan Ramadhan. Masuk sahaja bulan Ramadhan, mereka akan memecut dengan lajunya. Manakala selepas bulan Ramadhan, mereka akan berdoa selama 6 bulan lagi supaya segala amalan di bulan Ramadhan diterima. Pendek kata sepanjang tahun adalah berkenaan bulan Ramadhan sahaja. Maha hebatnya bulan Ramadhan di mana jika boleh, biarlah setiap bulan adalah bulan Ramadhan. Pesan ustaz lagi, jangan ada satu hari dalam bulan Ramadhan, kita tidak berada dalam majlis ilmu dan jangan satu hari dalam bulan Ramadhan, kita tidak membaca Al Quran. Sementara kita masih berada di dalam bulan Ramadhan, jom lah kita sama sama merebut peluang yang berada di depan mata ini. Ramai yang Allah tidak pilih untuk berada di bulan Ramadhan kerana telah terlebih dahulu dipanggil mengadap Illahi.

Di dalam bulan ini juga, kita disuruh pelbanyakkan berdoa dan berdoa meminta tahap yang paling tinggi atau maksimum yang boleh seperti memohon syurga firdaus. Di kala ini, pintu syurga dibuka seluasnya, jadi ambil peluang untuk melayakkan diri kita ke dalamnya. Untuk kehidupan di dunia, mohonlah kekayaan supaya dengan kekayaan kita boleh memperbanyakkan bersedekah, wakaf dan amal jariah serta membantu mereka yang memerlukan. 

Jom kita layan resepi dulu...




Ikan Kerapu Bara Goreng Halia dan Bawang Putih 

Bahan-Bahan:
1 ekor ikan kerapu 
Minyak - untuk mengoreng 

Bahan A:
Serbuk kunyit
Garam
Sedikit tepung jagung

Bahan B:
Segenggan halia muda - dimayang halus 
Segenggam cili padi - dipotong halus
Segenggam bawang putih - mayang halus 

Bahan C:
3 sudu besar kicap cair 
1 sudu besar kicap pekat 
3 titik minyak bijan 
1 sudu besar sos ikan 
1 sudu kecil gula

Cara cara:
Lumur ikan kerapu dengan garam kunyit dan sebelum digoreng tabur tepung jagung. Kemudian goreng ikan sehingga garing dengan minyak yang banyak dan pastikan kedudukan ikan adalah melebar dengan kedudukan kepala ikan tegak.

Menggunakan minyak yang sama goreng Bahan B satu persatu sehingga garing dan kuning keemasan dan ketepikan. Kurangkan minyak kepada 1 sudu besar dan masukkan Bahan C dan dimasak sehingga menggelegak dan ketepikan.





Letak ikan di tengah-tengah pinggan, taburkan Bahan B dan siram Bahan C apabila hendak dimakan. Hias dengan daun ketumbar atau daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.






2 comments:

  1. Tertariknya dgn halia,bwg putih n cili padi goreng tue kak....mmg sedap kl mkn dgn ikan kerapu tue

    ReplyDelete
  2. terima kasih kak azie sentiasa memberi inspirasi kepada wanita muda seperti saya untuk sentiasa rajin memasak. tq. teruskan berkongsi resipi yer.

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.