Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Pulut Dan Kuah Durian Di Malam Nuzul Quran


Pulut Dan Kuah Durian


Hari ini saya bersendirian di rumah sehinggalah anak anak balik dari sekolah. Saya mengemas dan membasuh apa apa yang patut. Kemudian turun ke dapur untuk mengerjakan durian yang dikirim dengan anak saudara saya Hariri dan Anis yang membelinya di rumah kawan mereka di  Kuala Kubu Bharu. Memang hajat hati untuk membuat kuah durian untuk dihantar ke surau. Kebetulan pula malam ini, adalah malam Nuzul Quran. Pasti ada yang tertanya tanya kerana Al Quran dikatakan diturun di malam Al Qadr iaitu pada 10 malam terakhir Ramadhan tapi kenapa Nuzul Quran adalah pada 17 Ramadhan. Al Quran diturun sekali gus peringkat pertama di malam Al Qadar dari Loh Mahfuz ke langit dunia dan kemudian diturun di peringkat kedua kepada Nabi Muhamad SAW sedikit sedikit dan berperingkat mengikut keperluan, bukan mengikut susunan. Ini semua akan kita faham kalau kita bertadabbur. 



Pulut Dan Kuah Durian

Allah menjanjikan yang Al Quran adalah terjaga dan terpelihara. Namun begitu, kita juga bertanggungjawab menjaga Al Quran dengan bukan sahaja membacanya tetapi juga dengan menghafaz seperti mana para sahabat Nabi Muhamad SAW yang menjaga dengan cara menghafaz, kemudian menulis Al Quran di kulit dan juga pelepah kurma sehingga kekal sehingga ke hari ini. Kita mesti meneruskan legasi menjaga Al Quran. Al Quran akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat kepada mereka yang membaca dan mengamalkannya. Al Quran adalah mukjizat untuk hati dan kemuliaannya adalah di akhirat bukan di dunia. Bukan bermakna orang yang menghafaz Al Quran tidak akan ditimpa sakit dsb di dunia. 

Sebenarnya risau juga untuk memasak dalam kuantiti yang banyak di bulan Ramadhan. Maklumlah kita bukan boleh merasainya. Jadi kena agak agaklah sahaja  garam gula dsb. Alhamdulillah, ianya menjadi dengan sedap dan kata hubby ianya adalah secukup rasa. Selepas siap memasak, kami bersiap siap untuk berbuka puasa di luar sebagai meraikan Nana. Tapi sayang orang yang hendak diraikan pula keluar bersama kawan kawan. Tapi tak apa, kerana makanan di Restoran Homst semuanya sedap sedap belaka. 

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan di bawah....


Pulut Dan Kuah Durian

Kuah Durian

Bahan bahan:
4 biji buah durian - dapat 2.3 kg 
3 pek besar santan pekat
1-2 helai daun pandan
2 senduk makan rata gula pasir
1 sudu kecil garam halus
Sedikit air

Cara cara:
Satukan semua bahan dalam periuk dan kacau di atas api perlahan sehingga kuah durian mendidih dan menjadi pekat.





Apabila mendidih, sesuaikan rasa dan kepekatan, bolehlah tutup api. Jika tak suka kuah terlalu pekat, boleh tambah sedikit air panas. 





Pulut Durian

Bahan bahan:
1.2 kg beras pulut susu
1 pek besar santan
Sejemput garam kasar
2 helai daun pandan
Secubit gula

Cara cara:
Rendam beras pulut seketika. Kalau menggunakan pulut susu, tak perlu rendam lama. Masak air dalam periuk pengukus sehingga mendidih. 

Masukkan beras pulut dalam loyang pengukus, guntingkan daun pandan ke atasnya. Buat lubang di permukaan dan kukus dalam 20 minit. 





Satukan santan dan garam. Angkat pulut dan tuangkan ke dalam bekas besar. Masukkan santan dan terus dikacau rata rata. Masukkan semula ke dalam loyang pengukus dan kukus lagi selama 20 minit.






Angkat dan taburkan secubit gula bagi menjadikan pulut kita berkilat cantik. Sedia untuk dimakan dengan kuah durian, atau sebagai pulut durian atau dengan apa apa sahaja.



Pulut Dan Kuah Durian


Nota:
Boleh juga menggunakan hanya air, jika tidak mahu menggunakan santan.



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

2 ulasan for "Pulut Dan Kuah Durian Di Malam Nuzul Quran"

  1. Assalam...baru bercadang nk masak pulut kuah durian ni...

    BalasPadam
  2. Skrg musim durian mmg sedap buat nie ;)

    BalasPadam