Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Alahaaiii Kek Marble Trio

Kek Marble Trio

Hari ini saya memang dalam keadaan tergesa gesa. Sebaik sampai saja ke rumah terus ke dapur memasak nasi ayam kukus dan ayam panggang. Sebaik ayam masuk jer di dalam oven, saya terus mula mengadun bahan bahan untuk membuat Kek Marble Trio. 

Selesai sahaja memasukkan kek ke dalam oven untuk dibakar, saya telah bersiap siap untuk menyediakan makan malam keluarga. Selesai sahaja makan malam, saya berkejar kejar lagi untuk mandi dan menunaikan solat. Aduhai... inilah kalau one woman show. Selesai solat, ingatkan anak saya menunggu kek dalam oven saya yang sedang dibakar. Rupa rupanya kek saya telah ditinggalkan dan akibatnya ia dah overbaked sebab saya tersilap menggunakan loyang yang bersaiz besar dari biasa. Dengan loyang yang besar, kek menjadi lebih nipis, jadi waktu membakar seharusnya dipendekkan.

Tapi itulah, pelajaran yang harus saya pelajari adalah melakukan beberapa kerja di dalam suatu masa adalah perkara yang boleh dilakukan, tapi pasti ada yang tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Lebih lebih lagi dalam keadaan badan dan minda yang kepenatan. Tapi sebab dah plan nak membawa kek ke pejabat esok, itu yang projek teruskan juga. Hmmm harap saya tidak lagi melakukan perkara yang sama yang berkesudahan dengan perasaan tidak puashati bila penghasilannya tidak seperti yang diharapkan.

Apa apa pun kek saya masih OK, masih sedap cuma disebabkan tidak bersabar, bahagian bawah kek telah melekat diloyang. So hancuish lah penampilan kek saya hari ini. Itu yang geram dan tak berpuashati. 

Kalau ada yang nak melihat resepi yang saya gunakan, boleh klik di SINI, SINI dan SINI ya. Bukan sahaja resepi tapi kot nak melihat corak corak kek Marble Trio yang saya sediakan sebelum ini. Tengok dah banyak kali saya menyediakan kek ini tanpa jemu jemu. Resepi ini saya ambil dari blog Che Mat Gebu di SINI.

Kek Marble Trio

Kek Marble Trio
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan (Acuan 8 x 8 x 3 inci):
300 gm mentega, pada suhu bilik (or unsalted butter)
280 gm tepung halus (tepung gandum pun ok)*
1 sudu kecil serbuk penaik*
1 sudu besar susu tepung* (*disatukan dan diayak)
5 biji telur Gred A
250 gm gula kastor (boleh kurangkan)
1 sudu besar Ovallate
30 gm Gliserin
20 ml air
1/2 sudu kecil esen vanilla
1/2 sudu kecil strawberi emulco
1 sudu kecil pandan emulco

Cara cara:
1. Lenser tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser kertas tadi dengan sedikit mentega. Ketepikan.


2. Putar mentega hingga pucat, pada speed sederhana, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan alihkan ke dalam mangkuk lain.

3. Dalam mixing bowl yang bersih dan kering, masukkan gula halus dan ovallate, putar hingga rata. Masukkan kelima2 biji telur, dan putar pada kelajuan tinggi hingga telur kembang dan kental seperti adunan baulu

4. Perlahankan sedikit speed dan masukkan adunan no. 2 sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan masukkan bancuhan air + gliserin, gaul rata.

5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. 1 bahagian + pandan emulco, 1 bahagian + strawberry emulco dan 1 bahagian + vanilla essence (yang ini biar plain). Tuang aduan secara berselang seli dalam tin tadi. Lorekkan dengan hujung pisau atau chopstik, pastikan hujung pisau/chopstik sampai ke dasar adunan.

6. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan selama 10 minit pada suhu 175C selama 55 minit hingga 1 jam, bergantung pada oven masing2. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidangkan.
Nota:
Kalau tak ada gliserin, boleh gantikan dengan 50 ml susu cair atau whipping cream.


Kek ini agak remeh dari kek biasa kerana menyediakannya, saya perlu menyediakan 2 mixer bowls dengan 2 wire whips. Kalau dulu, saya terpaksa membasuh dan mengelap kering terlebih dahulu bowl sebelum memutar telur yang pada saya lagi leceh. Itu yang saya beli lagi 1 set.

Proses me marble kan juga agak meremehkan kerana perlu menyediakan bekas bekas kecil dan membasuhnya pula. Pendek kata lebih kerja dari membuat kek biasa lah. Jika kita tidak dalam keadaan tergesa gesa, tentu sahaja ianya tidak menjadi masalah.




Semuanya berbaloi apabila kek ini siap untuk dinikmati. Saya memang menggemari kek ini yang gebu, lembut dan lembab.


Kek Marble Trio

Kek Marble Trio

Kek Marble Trio


Enjoy ...

Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

Catat Ulasan for "Alahaaiii Kek Marble Trio"