Iklan

Iklan Nuffnang

1 Nov 2016

Nasi Goreng Ikan Bilis Petai Yang Sangat Sedap






Saya nak kongsikan intipati Kuliah Ustaz Johari Abdul Wahab yang sangat menarik. Saya menjadi sangat sangat teruja dengan nya. Bukan perkara baru dan bukan kali pertama saya mendengarnya. Tapi ianya telah menguatkan azam saya untuk terus mengamalkannya secara istiqamah. Ianya berkenaan bab 3 orang lelaki yang datang menemui ulamak Agung, Hassan Al Basri untuk mengadu dan meminta nasihat. Lelaki pertama adalah seorang peniaga mengadu Allah bagi rezeki luar biasa kepada beliau tetapi belum juga menjadi kaya. Kata Hassan Al Basri apa yang kamu perlu buat adalah istighfar kerana rezeki yang Allah hendak bagi pada kamu terhalang oleh dosa dosa kamu. Kamu kena mohon keampunan pada Allah. Beberapa hari kemudian, datang pula lelaki lain, Allah uji dia dengan penyakit selama bertahun tahun walaupun telah bertahun tahun berikhtiar untuk sihat. Kata Hassan istighfar kerana dosa menghalang nikmat kesihatan. Allah mahu ampunkan dosa kamu. Jika Allah uji dengan penyakit, cuba kenang semula nikmat yang Allah bagi pada kita sewaktu kita sihat. Bila kita faham berkenaan perkara ini, kita tidak akan berkeluh kesah. Begitu juga bab rezeki, bila kita ditipu atau kehilangan harta, kenangkan balik akan rezeki dan nikmat lain yang Allah kurniakan. Ustaz juga menyelit supaya kita bermohon dengan Allah supaya jika diuji jangan sampai kita menyusahkan orang terutama anak anak. Datang pulak lelaki ketiga. Dia mengadu pada Hassan Al Basri, bahawa Allah bagi semua dunia dan isinya, diberi kekayaan dan diberi kesihatan yang baik. Cuma saya tak diberi zuriat. Nasihat Hassan Al Basri supaya lelaki itu beristighfar. Selang beberapa hari isteri Hassan Al Basri yang mendengar perbualan Hassan Al Basri bertanya berkenaan dengan ketiga tiga lelaki yang menemui beliau dengan 3 datang dengan 3 masalah yang berbeza tetapi diberi jawapan yang sama. Hassan Al Basri memberitahu isterinya berkenaan kata kata Nabi Nuh pada umatnya supaya beristighfar jika kamu mahukan hujan, mahukan bumi dibasahi dengan air, mahu supaya dikurniakan zuriat. 

Sesungguhnya  istighfar boleh menyelesaikan ribuan masalah. Ada zikir yang cukup senang diucap tetapi bila diletak atas timbangan mizan, beratnya sangat luar biasa iaitu zikir Subhanallahi wabihamdih subhanallahil adziim. Begitu juga dengan istighfar. Cukup senang untuk diamalkan dan boleh selesai ribuan masalah. Dosa dan aib kita cukup banyak. Hanya Allah sahaja yang tahu. Jika Allah membuka aib kita, pasti kita tak tahu mana hendak kita letak muka kita. Allah mahu kita beristighfar supaya Allah boleh ampun kan dosa kita. Yang ini dipanggil dengan muhasabah. Nabi Muhammad SAW beristighfar 70 atau 100 sehari. Lebih pun boleh tapi jangan ditentukan bilangan.  Dengan istighfar akan hilang keluh kesah, akan dikembali kesihatan dan dicurah rezeki luar biasa. Istighfar yang paling sempurna adalah Penghulu Istighfar. Tapi kita boleh juga mengamalkan istighfar yang paling ringkas sahaja iaitu Astaghfirullah. Semoga kita dapat sama sama mengambil manafaat dari perkongsian ini dan terus mengamalkannya. Yakin dan percaya istighfar dapat menghapuskan dukacita dan keluh kesah di hati, dapat menyelesaikan semua masalah dan akan didatangkan dengan rezeki yang tidak kita sangka sangka. Sekarang kita masuk bab resepi dan masakan pula.

Semasa di Pasar Tani di Paya Jaras, terpandang ada budak yang menjual petai sedang mengopek petai. Saya lalu bertanyakan harga petai yang beliau sedang kopek. Bila diberitahu harganya RM5.00 saya terus membayarnya. Bukan apa, tapi malas nak mengopek petai. Lagi pulak, isinya lebih kurang sahaja jika dibeli petai yang belum dikopek. Bila Hubby memberitahu ada banyak baki nasi malam tadi, saya pun terus mencadangkan untuk memasak nasi goreng. Apa lagi, nasi goreng ikan bilis dengan petai lah. Lagi pun memang plan asal nak menyediakan lauk ikan bilis goreng dengan petai sebelum Juita bertolak ke airport. Beliau memang suka makan petai. Bila saya memasak Sambal Tumis Udang pun ditanya kenapa saya tak meletak petai. Saya memang penggemar nasi goreng. Apa apa jenis nasi goreng, lebih lebih lagi nasi goreng kampung yang menggunakan ikan bilis. Tapi bila dah usia macam ni, metabolism pun dah slow, saya terpaksa mengurangkan pengambilan nasi supaya badan lebih ringan. Seronok melihat nasi goreng saya yang sangat laku. Serious memang sedap. Sampai Hubby kata waah laku lah nasi goreng Mama hari ni. Kalau ikutkan hati, memang saya sendiri akan makan tiga pinggan. Tapi memikirkan kena diet sedikit untuk persiapan majlis perkahwinan anak kami nanti, saya terpaksa menahan diri.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jika suka, boleh juga meletakkan belacan tapi sebab saya dan anak anak ada masalah sinus yang allergik dengan belacan, saya tak letaklah belacan. Jangan lupa singgah di Instagram Azie Kitchen untuk melihat video penyediaan Nasi Goreng Ikan Bilis dan Petai hari ini. Rugi kalau tak mencubanya lebih....



Nasi Goreng Ikan Bilis dan Petai
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Nasi putih
1 genggam ikan bilis - goreng garing
1 genggam petai - hiris dan goreng
3 biji telur
Garam

Bahan tumbuk:
5 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau
4 tangkai cili padi
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat tos dan ketepikan. Goreng pula petai seketika dan angkat. Ketepikan..

Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan telur. Kacau telur supaya bergaul rata dan masukkan nasi putih. Kacau rata.

Masukkan ikan bilis dan petai yang digoreng. Kacau rata. Masukkan garam secukupnya. Sedia untuk diangkat dan dihidangkan panas panas.



Nota:
Jika sukakan ikan bilis yang rangup, boleh masukkan ikan bilis setelah ditutup api dan nasi goreng agak suam.

1 comment:

  1. Mmmmm...Kak Azie, I love this fried rice. Ikan bilis and petai, can't go wrong there. Very appetizing!

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.