Iklan

Iklan Nuffnang

6 Oct 2016

Kuih Keria Lembut dan Sedap



Saya terkesima mendengar titah ucapan Sultan Nazrin Shah di radio semasa dalam perjalanan ke pejabat pagi ini. Antaranya yang sempat saya petik ialah "anak Melayu yang telah berjaya, telah berjawatan, telah berkedudukan jangan jadi seperti kacang lupakan kulit. Bangkit untuk membantu anak bangsa. Walaupun telah bersarapan dengan keju dan sosej". Sangat dalam maknanya kerana apa yang saya perhatikan orang Melayu memang jarang untuk membantu anak bangsa. Saya tidak kata, tak ada langsung. Tetapi jarang. Bak kata P Ramlee, jarang jarang. Berbeza dengan kaum China atau India yang saling membantu dan lebih "ukhwah" antara mereka. Saya tidak berniat untuk bercakap berkenaan "racist". Yang mana baik kita jadikan contoh teladan. Tapi lihat sendiri di sekeliling di dalam mana mana organisasi yang kita sekarang berada. Tidak dapat dinafikan anak Melayu masih perlu dibimbing dan dipimpin. Peluang peluang yang diberikan kerajaan menjadikan segelintir anak Melayu berjaya. Namun bila mereka berjaya, apa sumbangan mereka untuk membantu anak Melayu yang lain. Masih banyak yang ketinggalan dan perlu diberi perhatian. Antaranya ialah cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi menambahkan "marketability" di kalangan graduan Melayu. Orang China dan India fasih berbahasa Inggeris sejak kecil. Mereka menpunyai kelebihan dalam temuduga pekerjaan atau biasiswa dan juga dalam kerjaya sendiri. Masih teringat Allahyarham Tan Sri Mohamed Basir Ahmad yang memberi pertimbangan khas dalam memberi markah penguasaan bahasa Inggeris kepada calon Melayu yang menghadiri temuduga terutama jika mereka datang dari kampung setelah mengambilkira infrastruktur dan persekitaran pembelajaran di kampung.

Sebelum kita melihat resepi, saya mahu menceritakan sedikit bab kuih keria. Kuih ini merupakan kuih kegemaran Encik Hubby. Lebihan ubi keledek yang saya rebus untuk membuat Kuih Chek Mek Molek yang diminta oleh Juita, saya simpan untuk dibuat Kuih Keria sebagai hidangan petang. Boleh lihat Kuih Keria yang saya pernah buat dulu di SINI. Cara untuk menyediakan kuih keria atau chek mek molek yang sedap ialah dengan menggunakan tepung gandum secukupnya sahaja. Jika terlebih tepung gandum, kuih akan menjadi sedikit keras dan tidak sedap. Bab ini memang kena pandai mengagak. Kalau menyediakan kuih keria, saya sedikit trauma dengan bab menyira. Pernah saya menyediakan kuih keria yang banyak untuk dibawa ke majlis perjumpaan dengan geng geng alumni. Sekali gula yang disira pada kuih keria mencair dan menjadi belengas. Perasaan kecewa memang tak boleh nak diceritakan lah. Rasa nak nangees. Dari situ, saya belajar tips untuk mengelakkan ianya menjadi cair ialah dengan memasukkan sedikit tepung gandum semasa proses menyira.

Jom layan resepi menyediakan kuih keria dan bahan yang digunakan untuk menyira kuih keria di bawah ini. Jom layaaan...





Kuih Keria Lembut
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Ubi keledek - rebus dan tumbuk
Tepung gandum secukupnya

Cara cara:
Satukan kedua dua bahan di atas dan gaul sebati. Ambik secubit adunan dan dibulat bulatkan.

Ambik sebiji doh yang dibulatkan dan dibentuk seperti kuih keria dengan dileper dan kemudian dibuat lubang di tengahnya. Kalau nak tengok video, sila ke Instagram Azie Kitchen.

Panaskan minyak sehingga betul betul panas dan goreng kuih keria. Bila ianya berwarna keperangan, dibalik balikkan. Angkat dan sejukkan terlebih dahulu. Sedia untuk disira.





Bahan Sira:
3 sudu besar gula
2 sudu besar air
Secubit tepung gandum - opsyenal

Cara cara:
Masakkan gula dan air dengan api perlahan sehingga air gula pekat dan berbuih buih. Masukkan kuih keria yang telah disejukkan dan dikacau rata rata.

Apabila air gula bersalut rata di kuih keria, taburkan sedikit tepung gandum supaya ia tahan lama dan tidak mudah cair.

Terus dikacau rata sehingga kerak gula melekat di kuih. Tutup api dan bolehlah dikeluarkan dari kuali.


6 comments:

  1. nati nk try buat guna resepi kak azie tq

    ReplyDelete
  2. Kak Azie, I miss kueh keria. It is one of the ultimate comfort foods for me. I used to eat this a lot from the university cafeteria. Those were the good old days.

    Actually, there is quite a number of Chinese students who are not proficient in English. Generally speaking I find that the command of English among our graduates is very poor, irrespective of race. It's quite sad.

    ReplyDelete
  3. Favorite sy mmg kuih keria..terima kasih kak azie share resepi

    ReplyDelete
  4. teringat kat masakan mak..suka makan kuih keria air tangan mak. tapi diri sendiri belum pernah mencuba untuk buat kuih keria ni. InsyaAllah nanti nak cuba buat menggunakan resipi ni. terima kasih diatas perkongsian resipi.

    ReplyDelete
  5. Yg sira guna gula melaka cmane ye k.azie? Saya dh try, keras n x manis mana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sira guna gula pasir bukan gula melaka

      Delete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.