Iklan

Iklan Nuffnang

13 Sep 2016

Sambal Tumis Sotong dan Petai Buat Juita




Entah kenapa hati menjadi sangat sayu bila melihat Instagram Dato Seri Vida yang sedang menjamu selera dengan daging dan lauk pauk dari lembu qorban. Serious rasa nak nanges melihat beliau menikmati hati goreng, sup tulang rusuk, perut muda. Setiap kali pagi Hari Raya Aidil Adha, lauk pauk inilah yang kami makan panas panas secara beramai ramai dengan arwah Bonda, adik beradik dan anak anak buah. Setiap tahun, kakak saya akan menyediakan seekor lembu untuk dikongsi antara kami adik beradik. Setiap tahun, Bonda akan menyertai korban lembu. Malah sehingga kini, amalan ini masih diteruskan oleh keluarga saya di kampungSaya ni walaupun dah lebih 30 tahun menetap di Kuala Lumpur, hati dan jiwa saya adalah masih pada kampung halaman. Kerinduan saya pada kampung halaman, keinginan untuk menikmati masakan Kelantan tidak pernah pudar. Tapi hidup perlukan pengorbanan. Itulah yang terpaksa saya lalui dan jalani berada jauh dari adik beradik di perantauan. 

Hari ini saya bukan nak kongsikan resepi masakan Kelantan. Huhuhu kat rumah tak ada daging qorban pun. Hari ini saya masak Sambal Tumis Sotong sahaja. Hajat hati nak goreng kunyit sotong bertelur gara gara tengok instagram Azrinaz Mazhar Hakim. Tapi hari buat ketupat, hahaha sehari sebelum raya Haji, kebanyakan ikan dan sotong dah habis. Hubby dah terlewat ke pasar. Ada dalam 4 ekor sotong yang bersaiz besar. Jadi saya kenalah potong kecil supaya dapat dimakan beramai ramai. Satu masalah bila masak sotong ialah kuahnya akan berair walaupun sambal saya dah pecah minyak dan kering ketika sotong dimasukkan. Hmm lupa lak nak rujuk petua sebab memasak dalam keadaan nak cepat. Ketika itu, saya juga memasak rendang ayam kampung. Memang bersilat kiri kanan dengan ipad, dengan kamera bagai. Kalau nak dikeringkan air nya, sotong pulak akan menjadi liat dan keras bila terlalu lama di masak. Sebenarnya ada petua untuk mengurangkan air sotong. Pertama, panaskan air sehingga mendidih, masukkan sotong dalam satu minit sahaja. Angkat dan tos. Masukkan sotong dalam sambal di akhir sekali selepas sambal tumis telah masak dan dekat masa kita hendak tutup api. Satu cara lagi ialah tos air sotong dan taburkan dengan sedikit garam. Cara ketiga pula, ialah dengan menggorengkan sotong seketika di dalam kuali tanpa minyak selama beberapa minit sehingga air sotong keluar. Angkat dan toskan. Sedia untuk dimasukkan ke dalam sambal di akhir sekali. Boleh rujuk cara ketiga ini di SINI. Untuk sambal tumis saya hari ini, saya tidak ikut pun petua petua di atas kerana terlupa. Apa yang saya buat ialah saya keluarkan dulu sotong dan masak sambal sehingga air kering dan terbit minyak. Kemudian barulah dimasukkan semula sotong ke dalam sambal. Ini kira cara emergency lah. 

Apa apa pun, sedap sangat sambal tumis sotong saya hari ini kerana sotongnya sangat segar. Dua ekor sotong menpunyai telur. Bila dipotong, telur akan terkeluar. Jadi anak anak bila jumpa telur, akan bagi kat saya. Hahaha mereka tahu mama nya suka makan telur sotong. Bertambah  sedap lagi bila makan secara beramai ramai waktu berbuka puasa hari Arafah. Sambal sotong digandingkan pula dengan ikan terubuk goreng yang sedap dan berlemak itu. Saya juga goreng ayam kampung dara yang dibeli dari Makku Saniah. Oleh kerana rendang dah siap, sekali dihidang untuk juadah berbuka. Hubby bagi komen, banyaknya lauk hari ini. Hihihi kebetulan jer kerana rendang untuk dimakan pada hari raya bersama dengan lemang.

Jom tengok resepi Sambal Tumis versi saya. Jom layaan...




Sambal Tumis Sotong dan Petai

Bahan bahan:
4 ekor sotong - saiz besar
4 biji bawang besar
1 labu bawang putih
2-3 sudu besar gula pasir
1 senduk besar cili kisar
Sedikit pes asam jawa
Garam secukup rasa
Sedikit susu cair
1 biji bawang besar - hiris halus
Petai secukupnya 

Cara cara:
Kisar bawang besar dan bawang putih. Panaskan minyak agak banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis. Tumis bahan kisar sehingga kering airnya. Masukkan cili kisar dan terus ditumis sehingga cili benar benar masak. 

Masukkan gula supaya sambal akan berwarna cantik. Kacau seketika sebelum dimasukkan sedikit air. Masak dengan api perlahan sehingga kuah menjadi terbit minyak. 

Masukkan petai diikuti dengan sotong. Nota: jangan lupa samada rebus sotong dalam air mendidih atau panaskan dalam kuali sehingga air sotong telah keluar ya. 

Masukkan pes asam jawa dan sedikit garam. Masukkan sedikit susu cair bagi menjadikan sambal kita lebih enak. Masak sehingga sambal pecah minyak dan sesuaikan rasa. Akhir sekali, masukkan bawang besar hiris. Kacau sehingga bawang layu, boleh tutup api dan sedia untuk dinikmati.

2 comments:

  1. Assalamualaikum puan,

    1 labu bawang putih tu sama dengan berapa ulas ye puan?

    Kalau tak letak susu cair boleh tak?Apa akan jadi pada rasanye kalau tak letak susu cair?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Boleh letak dlm 8-10 ulas bawang putih. Susu cair atau santan hanya utk menambah keenakan. Tak letak pun tak apa.

      Delete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.