Iklan

Iklan Nuffnang

7 Jul 2016

Inti Tart Nenas Azie Kitchen






Entah kenapa Ramadhan kali ini, saya memang tidak ada mood untuk ke mana mana atau melakukan apa apa pun. Itulah sehingga saat terakhir, baru meminta Juita menyediakan Biskut Tart Nenas. Saya juga tidak berbuka puasa bersama suami dan anak anak sehinggalah hari terakhir Ramadhan, saya berbuka bersama untuk meraikan harijadi Hubby. Ada juga rasa bersalah, namun saya telah meminta izin Hubby untuk berbuka di surau sepanjang Ramadhan sebab saya tidak mahu rushing ke surau. Saya juga hanya sekali menemankan hubby ke Bazar Ramadhan pada hari pertama berpuasa. Saya juga tidak bershopping bersama anak anak seperti tahun tahun sebelum nya. Pendek kata tahun ini, rutin Ramadhan saya sangat simple hanya pejabat, rumah dan surau sahaja. Saya juga agak jarang masuk facebook, jadi memang saya tak ikuti perkembangan semasa kawan kawan. Jadi jangan ada yang berkecil hati jika saya tidak wish harijadi kawan kawan. Begitu juga dengan ucapan raya, saya memang tidak membalas. Pertama kerana tidak ada mood dan kedua, kerana tidak ada masa. Saya hanya mencuri curi masa yang ada untuk membalas komen dan pertanyaan di dalam blog sahaja. 

 
 
 
 
Berbalik pada biskut tart nenas, telah lama saya tak menyediakan sendiri inti tart nenas. Semuanya dibeli yang siap dari kedai bakeri. Tapi kali ini, kami menyediakan sendiri inti tart nenas yang menggunakan nenas yang diparut dan dikisar. Dulu dulu, inti tart nenas memang disediakan sendiri dengan bantuan Sri Handayani, pembantu rumah kami. Memang tak dinafikan inti yang disediakan sendiri lebih sedap berbanding dengan inti yang dibeli ready made.

2 biji nenas yang dibeli pun agak kecil saiznya. Berat pun tak sampai 1/2 kg. Maklum lah dah agak lewat. Hanya beberapa hari sahaja lagi nak beraya. Banyak nenas dah habis di kedai kedai. Resepi inti tart nenas ni saya pelajar dari rakan sekerja dan dah berusia lebih dari 25 tahun. Ia adalah resepi yang selama ini digunakan bertahun tahun untuk membuat tart permata. Layan video di bawah ini...
 
 
 

Biskut tart ini sangat sedap. Bayangkan saya makan tart masa berbuka dan pagi pagi Raya pun masih mencari tart nenas dulu. Memang sedap dan berbaloi baloi menyediakannya sendiri. Bukan sahaja dapat biskut yang saiz besar, intinya juga besar dan mewah.

Jom layan resepi inti tart nenas saya dan saya akan kongsikan resepi biskut tart di entri akan datang.
 
 
 
Inti Tart Nenas

Bahan bahan:
1 kg parutan nenas - tanpa air
1/2 kg gula pasir
Air nenas
Kayu manis & bunga cengkih
Daun pandan
Pewarna kuning

Cara cara:
Selepas diparut, ditapis dan ketepikan air. Tujuan ditapis adalah untuk mendapatkan berat isi nenas dan menentukan jumlah gula yang digunakan.

Jika parutan agak kasar, bolehlah dikisar seketika dengan menggunakan air nenas tadi menggunakan blender.

Tuangkan bahan kisar tadi ke dalam periuk. Masukkan kayu manis, bunga cengkih dan daun pandan. Masukkan sedikit pewarna kuning.
 
 
 
 
 
Nyalakan api perlahan dan dikacau sehingga air nenas kering. Inti nenas menjadi berkilat dan tidak melekat di daun pandan.
 
 
 
 
 
Bolehlah angkat dan sedia untuk digunakan. Kami gentel inti seberat 8 gram dan dapat menghasilkan 58 biji inti.


 


3 comments:

  1. Hai.. Guna nenas yang sudah masak ke atau yang belum masak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mana mana pun boleh. Tengok video utk lihat nenas yg saya gunakan

      Delete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.