Iklan

Iklan Nuffnang

30 Jun 2016

Biskut Coklat Chips Berkelapa Nur Qaseh Dan Kenangan Pilu






Tanpa disedari sebenarnya telah lama saya tidak balik berhari raya Aidil Fitri di kampung halaman saya. Bila saya menyemak semula gambar gambar lama semasa beraya, kali terakhir saya balik beraya di Kelantan ialah pada Hari Raya Aidil Fitri tahun 2012. Tahun 2013 dan 2014 saya mengerjakan umrah pada akhir Ramadhan. Beberapa bulan selepas hari raya aidil fitri tahun 2014, Bonda telah kembali ke Rahmatullah. Sejak itu, kami hanya berhari raya di Kota Damansara. Balik ke Ipoh secara balik hari sahaja. Jadi tahun ini agak teruja untuk balik kampung walaupun kami akan balik pada hari raya kedua. Tahun ini juga kami akan balik dengan kereta kerana akan singgah ke kolej Juita selepas itu. Bukan sahaja musim perayaan, waktu cuti sekolah pun kami agak jarang balik kampung kecuali menpunyai urusan keluarga seperti majlis perkahwinan anak anak buah. Maklum setiap kali cuti sekolah, abang dan kakak saya akan datang ke KL menjenguk anak mereka yang telah tinggal di sini. Walaupun dalam kesibukan dengan urusan harian, saya akan menjadi sangat sedih bila teringatkan kampung halaman dan perasaan rindu akan menebal pada kedua arwah ibubapa yang telah tiada lagi di dunia ini. Saya pasti akan menitis air mata setiap kali terkenangkan mereka lebih lebih lagi di musim perayaan. Menjenguk kampung halaman, ada kala hati lagi sedih, sayu terkilan dsb. Sekarang kita masuk bab masakan pulak. Takut banjir kalau lama lama layan perasaan.





Sejak anak anak mengambil alih menyediakan biskut raya beberapa tahun yang lepas, resepi biskut biskut yang telah saya guna berbelas tahun lamanya ini, tidak lagi digunakan. Mereka memberi komen yang saya asyik menyediakan biskut yang sama sahaja setiap tahun. Masa mereka kecik, Pembantu Rumah yang bernama Sri Handayani akan membantu saya menyediakan biskut raya. Mereka pun turut sama berada di dapur menemani kami mengadun dan membakar biskut. Bayangkan dulu bakar biskut raya menggunakan oven bulat. Punyalah lama masa diambil untuk membakar kesemuanya. Lepas tu baru tukar pada oven Europa. Untuk satu resepi, saya akan buat 4 adunan. Bayangkan betapa banyaknya.

Saya menyediakan semula biskut biskut ini untuk dimasukkan ke dalam blog sebagai kenang kenangan dan rujukan anak anak jika satu hari mereka teringin untuk merasai biskut yang saya sediakan sejak mereka kecil lagi. Lagi pulak, tak mahu lah kehilangan resepi yang sangat bermakna dalam hidup saya ini. Sejak beberapa tahun lepas, saya tidak lagi membuat kuih raya kerana biskut tidak dimakan. Cukup dengan biskut yang diterima dalam hamper raya sahaja. Itu pun tidak habis juga.

Ada 4 jenis biskut yang boleh dikatakan wajib saya sediakan selain beberapa biskut tambahan seperti tart nenas, biskut cornflakes dsb. Saya nak kongsikan biskut raya yang  mesti ada setiap kali raya iaitu Biskut Coklat Chip Berkelapa, Biskut Hazel Rangup dan Biskut Buah buahan Campuran. Sayang sekali kertas yang terdapat resepi Biskut Badam yang saya guna selama ini telah hilang. Puas mencarinya. Saya namakan biskut biskut ini dengan nama Nur Qaseh. Saya suka biskut yang mudah disediakan tetapi menpunyai rasa yang sedap. Untuk entri kali ini, saya sediakan Biskut Coklat Chip Berkelapa dahulu. Yang lain akan dikongsikan dalam entri akan datang.




Biskut Coklat Chips Berkelapa Nur Qaseh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
100 gram mentega
100 gram gula kaster
150 gram tepung gandum
1 biji telur
1/2 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil vanilla
Sedikit garam
50 gram kelapa parut kering
50 gram Hersheys semi sweet chocolate chips
5 biji ceri - cincang
1/2 - 1 sudu besar serbuk koko

Cara cara:
Ayak tepung bersama bahan penaik, serbuk koko dan garam. Putar mentega dan gula sehingga kembang. Masukkan telur dan esen vanilla.

Masukkan tepung sedikit sedikit hingga adunan menjadi sebati. Masukkan pula kelapa parut dan kacau lagi.




Gunakan sudu kecil untuk membentuk biskut dan letak atas dulang. Hias dengan coklat chip dan ceri di atasnya. Bakar dalam oven 100C selama 20 minit atau sehingga permukaan bawah biskut telah nampak sedikit keperangan. 

Susun atas redai untuk disejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara. 


Nota:
Jika ingin biskut coklat berkelapa berwarna coklat, campurkan 10 gram serbuk koko, dan kurangkan 10 gram tepung gandum.

Coklat chips boleh juga dimasukkan ke dalam adunan atau hanya disusun dan tekan atas permukaan biskut.




2 comments:

  1. Sedap nye kak ... nak buat lah petang nie

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.