Iklan

Iklan Nuffnang

17 Apr 2016

Sotong Rebus Kuah Hitam





Saya tertarik untuk berkongsikan antara petikan kuliah Maghrib di surau Ad Dhuha berkenaan isteri dan anak Nabi Nuh yang tidak mengikut ajaran Nabi Nuh. Tidak beriman. Ini adalah kerana iman tidak diwarisi. Harus diingat bahawa Hidayah milik Allah. Jadi kepada sesiapa yang menpunyai anak yang beriman, haruslah bersyukur kerana semua ibubapa mahukan anak beriman. Janganlah dikeji kepada mereka yang anak belum diberikan petunjuk. Bagi ibubapa pula, kalau dirasakan anak tidak taat kepada perintah Allah, perbanyakkan lah berdoa pada Allah supaya mereka diberikan petunjuk dan hidayah. Kita kena bersyukur kerana Islam adalah agama kita pada hari ini. Renungkan lah, kalau kita dilahirkan oleh ibubapa yang bukan beragama Islam, adakah kita beragama Islam pada hari ini?


 
  
Hari  ini saya membuat keputusan untuk memasak kerana Nana, Boy dan Aween ada di rumah. Mereka balik untuk meraikan harijadi saya bersama Juita. Tapi Juita telah kembali ke kolej semalam. Semasa berchatting dengan group WhatsApp Sekolah Menengah Bachok, timbul idea untuk memasak Sotong Rebus Kuah Hitam yang sangat popular di negeri Che Siti Wan Kembang. Masakan ini adalah masakan yang biasa dimasak oleh Arwah Bonda. Tapi saya belum pernah memasak sendiri kerana saya tidak berapa menggemari lauk ini. Oleh kerana telah berpuluh tahun saya tidak menikmatinya, tiba tiba tekak terasa rindu untuk merasai lauk yang pernah saya nikmati suatu ketika dulu. Dengan resepi yang diberi oleh Tengku Yuslida, saya mula memasak sambil merakam video. Haa jika ingin melihat video penyediaan sotong rebus ini, bolehlah singgah di Instagram @aziekitchen.

Jom layan resepi tradisional negeri Kelantan yang mudah dan menpunyai rasa yang sangat unik. Jika sotong menpunyai telur, bertambahlah lagi keenakannya...





Sotong Rebus Kuah Hitam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Sotong - tak perlu dipotong
1-2 batang serai - ketuk
4 ulas bawang putih - ketuk
1 labu bawang besar - hiris
2 inci halia - ketuk
Garam
Sedikit gula Melaka

Cara cara:
Sotong dibersihkan. Jangan dibuang kulit, dakwat atau tulangnya. Kalau dapat yang bertelur, lagi sedap.

Satukan kesemua bahan ke dalam periuk dan masukkan air sekadar menenggelamkan sotong sahaja.

Masak sehingga sotong masak dan jangan terlalu lama, nanti sotong akan menjadi liat.Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.