Iklan

Iklan Nuffnang

11 Apr 2016

Ayam Percik Kelantan Versi Mudah



Tazkirah Ustaz Amirul Al Yamani di Surau Ad Dhuha yang walaupun sangat ringkas tapi sarat dengan peringatan. Manusia perlu sentiasa diberi peringatan kerana sifat kita yang mudah lupa. Peringatan dan nasihat itu adalah tazkirah. Jadi perlunya untuk kita menghadiri tazkirah atau majlis majlis ilmu. Mereka yang berada dalam majlis ilmu adalah golongan yang terpilih. Satu sifat pilihan adalah sifat yang ada pada manusia. Samada nak memilih untuk buat baik atau buat jahat. Semua terletak pada manusia sendiri. Allah Taala tahu perkara ini. Segala perbuatan manusia adalah atas pilihannya samada mahu kufur atau taat. Dalam masa 24 jam yang dikurniakan pada kita. Berapa jam yang kita pilih untuk melakukan ketaataan pada Allah. Cth berapa jam diguna untuk menambah ilmu, membaca kitab dsb. Orang yang hampir mati memohon dengan Allah untuk sambung hidup untuk melakukan amalan soleh seperti yang disebut dalam Al Quran dan Hadis. Wahai Tuhan Kami, aku sudah lihat, aku sudah dengar akan azab Allah. Mereka dan kita semua pasti akan dinampakkan dosa dan tempat duduk kita selepas meninggal dunia. Belum mati lagi ketika itu tapi sudah diperlihat tempat dan kedudukan samada syurga atau neraka di akhirat. 

Orang mati minta kembali, apalagi kita yang masih hidup mahu menangguh nangguh melakukan amalan soleh. Jangan sampai kita mencabar Allah. Bila melihat orang mati, tak ada perasaan apa apa. Bagi orang beriman, bila tengok orang mati akan menangis. Kena banyak ingatkan kematian kerana tidak bermakna bila sihat lambat lagi mati. Ajal datang dengan ketetapan, bukan dengan sakit, kemalangan dsb. Ajal datang dengan tiba tiba. Allah rahsiakan ajal seseorang kerana hendak menguji amalan kita. Tidak aku ciptakan kematian dan kehidupan melainkan untuk menguji. Bala adalah ujian. Ujian untuk melihat yang mana antara kamu terlebih baik amalannya. Mereka yang paling baik adalah orang yang paling tinggi taqwanya pada Allah. Uji dengan sakit, sihat, miskin dan kaya, semuanya ujian. Syurga hanya untuk orang beriman. Bersegeralah kamu semua pada keampunan Allah dengan cara bertaubat atau cara datang ke majlis ilmu. Ikan dan makhluk di laut dan para malaikat beristighfar untuk orang yang berada dalam majlis ilmu. Allah tuntut untuk kita bersegera mendapat syurga Allah. Beribadah pada Allah kerana hendak syurga adalah termasuk ikhlas tahap pertama. Ini adalah kerana Allah menyuruh kita minta syurga Allah. Cukup dulu setakat ini, semoga ianya dapat memberi manafaat pada kita semua.

Resepi ayam percik Kelantan versi segera ini saya pelajari dari rakan baik sepersekolahan saya iaitu Tengku Saniah yang dikenali sebagai Makku. Rasanya memang sama dengan percik versi tradisional. Bezanya ayam tidak dibakar dan percik tidak disalut pada ayam dan dibakar. Yang menjadikan ayam percik tradisional agak rumit untuk disediakan ialah proses mengukus dan membakar ayam. Kemudian ayam bakar yang telah masak, dilumur pula dengan kuah percik dan dibakar lagi. Ia sepatutnya dibakar menggunakan pemanggang atau perangan yang diperbuat dari buluh yang dibelah dua. Barulah sedap berbanding dengan ayam yang dibakar di dalam kuali ajaib.

Jom layan resepi express ini terutama bagi para isteri yang bekerja dan mempunyai masa yang terhad untuk memasak.


Ayam Percik Kelantan Versi Mudah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan;
Ayam - lumur garam
2 ulas bawang merah - tumbuk
Sedikit halia - tumbuk
Gula
Garam
Asam keping
1 kotak santan
1 kotak air
2 sudu besar tepung beras
1 batang serai - ketuk (opsyenal)

Cara cara:
Satukan santan, air dan bahan tumbuk. Masak atas api perlahan dengan serai sambil terus dikacau.

Masukkan garam, gula dan asam keping. Kacau sehingga hampir mendidih. Masukkan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air.

Masak sehingga kuahnya berkilat. Sesuaikan rasa dan bolehlah dimasukkan ayam yang dibakar atau digoreng.

Nota:
Jika memilih untuk membakar ayam, bolehlah lumur dengan garam, bawang putih dan halia. Kemudian dikukus seketika.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.