Iklan

Iklan Nuffnang

23 Sep 2015

Sambal Tumis Ikan Bilis Lagi







Selamat berpuasa sunat Hari Arafah pada semua pembaca blog Azie Kitchen. Juga sama samalah kita memperbanyakkan zikir dan doa pada hari ini terutama waktu yang bertepatan dengan waktu jemaah berwukuf di Padang Arafah. Disunatkan berpuasa kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi).  Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Diriwayat oleh Muslim). Dunia ini hanyalah sementara, sama samalah kita berusaha untuk mengejar sesuatu yang lebih kekal abadi supaya kita tidak berada dalam kerugian dan penyesalan. Memang sukar untuk berada dalam kategori "the best of both" di mana kaya di dunia dan kaya di akhirat kerana dalam kebanyakan kes yang kita dengar, berlaku ketidakseimbangan walaupun ada juga orang yang kaya raya tetapi sangat taat pada Allah. Maklum dunia dan akhirat adalah dua perkara yang berlawanan. Teringat kuliah Ustaz PU Faiz bahawa manusia tidak mengingati Allah sepanjang masa walaupun Allah sentiasa ingat pada kita tanpa mengira samada saat kita taat atau derhaka kepadaNya. Allah tetap mengingati dan menjaga kita hatta saat kita sedang melakukan dosa, saat kita mengumpat, saat kita berbohong demi menjaga periuk nasi sendiri. Pastinya balasan setimpal akan diberi pada kita mengikut apa yang kita lakukan kerana Allah Maha Mengetahui segala galanya. Mulut akan dibisukan dan anggota badan lain akan menjadi saksi.









Hari ini saya menyediakan Sambal Tumis Ikan Bilis untuk dimakan bersama nasi lemak di SINI. Keenakan nasi lemak banyak bergantung kepada sambal nasi lemak. Kebiasaannya Sambal Ikan Bilis walaupun boleh juga disediakan sambal sotong atau udang. Boleh klik di SINI untuk melihat entri yang juga berkenaan Sambal Tumis Ikan Bilis yang saya sediakan sebelum ini. Ada pelbagai cara menyediakan Sambal Tumis Ikan Bilis, bila ada yang menggoreng ikan bilis sehingga garing, ada yang goreng separuh masak dan ada yang tidak menggorengkannya langsung. Pendek kata tiada satu cara yang betul atau salah, semuanya terpulang pada selera masing masing. Ada juga yang memasukkan sedikit ikan bilis semasa mengisar cili dan bawang bawang. Ia biasanya diamalkan oleh peniaga yang mahukan sambalnya menpunyai rasa bilis kerana mereka perlu mengambilkira faktor kos dan keuntungan. Kalau untuk dimakan sendiri, tak perlulah kita berjimat seperti itu. Boleh jer letak ikan bilis banyak banyak. Manakala ikan digoreng atau tidak juga bergantung kepada kualiti ikan bilis. Kalau ikan bilis yang berkualiti dan cantik, boleh jer terus dimasukkan ke dalam Sambal Tumis yang sedang dimasak tanpa perlu menggorengkannya terlebih dahulu.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Mana tahu kot kita mahu menyediakan nasi lemak untuk sarapan di pagi Hari Raya Aidil Adha esok hari...




Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis - basuh dan tos
1 biji bawang besar - hiris
5 sudu besar cili kisar
5 sudu besar gula atau secukup rasa
1 sudu kecil garam
1 keping asam keping
Minyak

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 biji buah keras

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis. Tumis bawang besar hiris sehingga layu. Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga wangi.

Masukkan pula cili kisar dan masak dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing dan masak. Setelah cili masak, masukkan gula, garam dan asam keping serta air.





Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan masak dengan api perlahan sehingga ikan bilis masak dan sambal terbit minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.






4 comments:

  1. salam kak azie..tadi pagi pun masak sambal ikan bilis utk suami bersahur makan dengan sayur lemak kacang panjang dan ikan goreng..memang terangkat tp saya tak pernah masukkan buah keras..nnt nak cuba lain kali..tq kak

    ReplyDelete
  2. sy suka goreng dulu ikan bilis tu .....
    sy mmg penggemar nasi lemak .... hari2 mkn pun tak pe

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak..akak guna bawang besar yg merah atau kuning tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm. Biasanya saya guna bawang besar merah. Insya Allah besok nak buat sambal tumis ikan bilis juga

      Delete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.