Iklan

Iklan Nuffnang

2 Jul 2015

Separuh Akhir Ramadhan: Harap Sudi Baca dan Kongsikan


 

 

Kali ini saya memohon pembaca dan pengunjung blog Azie Kitchen untuk membaca catatan Kuliah Zohor oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi: Separuh Akhir Piala Keagungan Ramadhan sehingga ke penghujungnya walaupun ianya agak panjang. Terlalu banyak yang kita boleh pelajari dan ianya sangat sangat bagus. Harap sudilah kiranya untuk anda membaca dan selepas itu memanjangkannya pula demi manfaat kita bersama samada di facebook atau lain lain media. Saya menulis catatan ini berdasarkan rakaman yang dibuat oleh sahabat saya. 

 Alhamdulillah dan Syukur kerana Allah telah berterusan mengurniakan nikmat dan rahmat serta hidayah dan taufik sehingga hati jadi lembut untuk kita hadir dalam majlis ilmu. Sesungguhnya bila Alllah mentaklif akan sesuatu keadaan atau perbuatan, ianya bukan secara kebetulan tetapi ianya mempunyai tujuan. Tiada yang kebetulan di sisi Allah. Bahkan apa yang ditentukan, ada tujuannya. Tujuan Allah mengumpulkan kita dalam majlis ilmu adalah seperti yang ditegaskan baginda Nabi Muhammad SAW iaitu barang siapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, diberi faham akan agamanya. Ilmu adalah cahaya, manakala kejahilan adalah kegelapan. Manusia tidak suka pada kegelapan kerana dalam gelap kita akan kehilangan arah, tak tahu halangan halangan. Dengan suluhan ilmu yang umpama cahaya, kita nampak arah, dorongan dan penghalang. Inilah ertinya Allah hendak selamatkan kita di dunia dan lebih penting di akhirat kerana ilmu adalah jalan untuk menuju iman.
 
Satu dialog pernah berlaku antara Abu Dzar, sahabat Nabi dengan sahabat yang lain, bila ditanya saat paling manis dan indah ketika hidup di dunia. Kalau kita ditanya pasti jawapan kita ialah saat menerima ijazah atau saat perkahwinan atau saat menerima anak pertama dsb. Sebaliknya Abu Dzar menjawab, saat paling manis ada 3 iaitu sewaktu aku lapar, sewaktu aku sakit dan ketika aku berada di ambang sakaratul maut nanti. Kalau kita, tentu ketiga tiga ini sesuatu yang tidak kita sukai. Saat lapar, badan akan jadi lemah dan lesu, manakala saat sakaratul maut pula adalah saat sedih untuk berpisah dengan keluarga, untuk meninggalkan orang yang tersayang. 
 
Ketika ditanya kenapa, jawab Abu Dzar ketika lapar hati ku jadi lembut untuk mengingati Allah. Kedua ketika aku sakit, aku dapat pengampunan atas dosa ku kerana sakit adalah ujian dan kaffarah kepada dosa dosa ku. Orang yang hampir dengan Allah seperti Saidina Ali bila sentiasa sihat akan bertanya adakah Allah telah melupakan aku? Manakala ketika sakaratul maut, kerana saat itulah sudah semakin hampir untuk aku bertemu dengan kekasih ku Allah SWT dan kecintaanku, Nabi Muhammad SAW. Bagi golongan Muqarrabin, kematian bukan perpisahan, tapi adalah detik pertemuan yang dinantikan. Bukankah mati, adalah syarat untuk menemui cinta. Tak boleh bertemu Allah di alam dunia tapi hanya boleh bertemu Allah di alam syurga. Saat itulah yang dinantikan. 
 
Antara ketiga tiga ini, hanya lapar yang boleh kita rasa. Bila lapar, lembut tak hati kita? Majlis ilmu yang dijalankan di dalam bulan Ramadhan dan luar bulan Ramadhan, jauh tinggi nilainya samada dari sudut ganjaran pahala atau sudut yang paling penting untuk ilmu meresap ke dalam diri kita kerana hati kita telah lembut untuk dilentur supaya kita yakin pada Allah dan hari akhirat. Kerana engkaulah kami berpuasa, Ya Allah. 
 
Sekarang kita berada di separuh akhir Ramadhan, walaupun hadis ini dhaif tapi ramai yang menjadikannya sebagai motivasi dalam beramal. Ramadhan dibahagi kepada 3 fasa iaitu rahmat, pengampunan dan kebebasan dari api neraka. Satu dialog antara Nabi Musa dengan Allah SWT. Nabi Musa diberi kelebihan berkata kata secara langsung dengan Allah. Nabi Musa bertanya Apakah Engkau akan katakan pada hamba yang taat dan soleh yang datang menyembah Allah dalam solat? Allah menjawab, Aku akan katakan selamat datang wahai hambaku. Ditanya lagi, Bagaimana Engkau akan katakan pada orang yang banyak dosa tapi datang mengerjakan solat. Aku akan katakan kepada orang berdosa selamat datang wahai hamba ku sebanyak 3 kali. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan sesekali tidak berpaling walaupun pada hambaNya yang berdosa. Semoga dalam solat nanti, kita dengar suara Allah yang memanggil kita. Ramadhan bulan keampunan. Sesiapa yang berdosa juga dijemput. 
 
Ramadhan sudah masuk separuh akhir. Kalau diumpamakan dengan kehidupan dunia. Fasa yang dilalui adalah struggle, stable, success dan significant. Significant adalah pasal kita mahu dikenangkan. Pada separuh akhir Ramadhan, kita patut telah berada di fasa stable. Dah dapat biasakan diri kita dengan lapar, dengan membaca Al Quran, sedekah, sebab kita mahu menampah pecutan selepas ini. Jangan seperti tebu yang dipangkal manis tapi di hujung tawar. Sedangkan Ramadhan dipenghujung lagi manis. Kita kena tambah pecutan supaya lebih baik dari fasa pertama. Puasa untuk mencapai taqwa. Di dalam surah Al Baqarah ayat 183 berkenaan kefardhuan berpuasa ada disebutkan berkenaan iman, puasa dan taqwa. Ketiga tiga boleh dihubungkait dengan input, process dan output. lAnalogi mudah ialah iman adalah benih, proses adalah pokok manakala taqwa adalah buahnya.
 
Tujuan kita menanam benih adalah untuk tumbuhkan pokok bagi mendapat buah. Sesuatu dibuat mesti ada tujuan. Jika tidak dicapai, kita mesti membuat diagnosis akan kekurangan sesuatu atau mengganti alat untuk mencapai tujuan tersebut. Contoh kereta digunakan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Jika kereta rosak, kita tak akan dapat menuju destinasi dan tujuan. Jadi apa yang perlu dibuat? Begitu juga dengan analogi menanam pokok. Jika pokok yang ditanam tidak berbuah tapi kita masih selesa dan tak merasai apa apa yang tak kena. Sebabnya kerana kita tak rasa taqwa itu sebagai pentjng dalam hidup kita. Kenapa taqwa? Kita adalah warga akhirat, kita sedang bermusafir. Mati perlukan bekal dan bekalnya ialah taqwa, sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar tapi hanya boleh dilihat dengan mata hati. 
 
Apa kelebihan taqwa, mengapa taqwa penting. Kita hanya bermusafir di dunia ini, mati adalah permulaan kepada kehidupan yang tak akan mati lagi. Kita perlukan bekalan untuk dibawa. Orang berharta, rupa atau berkuasa adalah jelas dari pandangan mata. Kalau disebut seorang millionaire pasti kita boleh nampak bagaimana kehidupan mewah mereka dengan mata sendiri. Jadi timbul keghairahan untuk kita mencapainya. Tapi bila disebut orang bertaqwa, kita tak nampak jelas. Kita tak rasa apa apa bila puasa kita tidak melahirkan taqwa. Bagaimana kalaulah ini adalah puasa kita yang akhir. 
 
Orang yang bertaqwa ialah orang yang sentiasa mencegah dan berhati hati dan berjaga jaga dalam hidupnya tentang hukum hakam dari Allah. Hukum hakam Allah tak banyak iaitu haram, harus, makruh, sunat dan wajib. Kalau kamu jaga Allah, iaitu jaga hukum hakam Allah, maka Allah akan jaga kamu. Bayangkan seorang yang berjalan atas jalan yang penuh duri duri dan kita tidak memakai kasut. Ambik masa untuk berjalan dan kita lebih fokus. Inilah analogi orang yang bertaqwa dalam hidup. Dalam hidup, semua difikirkan halal dan haramnya. Mereka sentiasa berjaga dalam makan minum, dalam berpakaian bukan untuk diri sahaja tapi juga anak perempuannya. Orang bertaqwa sangat teliti dalam apa sahaja yang dilakukan. Bagaimana kita yang miskin hendak jaga Allah. Maksud menjaga Allah ialah menjaga hukum hakam Allah. Apabila Allah menjaga kita, inilah kelebihannya. Kita jadi akrab dengan Allah. Allah menjadi pembela orang bertaqwa. Allah akan jaga kita cth rumah tangga kita, anak anak kita, ekonomi kita dan semuanya bila kita bertaqwa. Bila kita tak bertaqwa, Allah akan lepas tangan. Kudrat kita hanya sekerat, kita tak mampu melakukannya, maka akan bermulalah kemusnahan akibat tidak bertaqwa. Tidak ada janji Allah akan menjaga orang muslim contoh seperti siksaan yang dialami oleh orang Islam di Palestine. Kenapa Allah biarkan dan izinkan semua ini berlaku, walaupun kita sedih kerana mereka seperti saudara sendiri tapi di sana ada pengajaran. Kalau tiada taqwa, tiada kekebalan dari musuh musuh walaupun bilangan kita ramai. Berapa banyak golongan sedikit dapat mengalahkan golongan ramai. Cth dalam peperangan tentera Islam dan orang orang kafir. Kebanyakan peperangan, tentera Islam sedikit dibandingkan dengan musuh. Tetapi Islam menang kecuali peperangan Hunain di mana tentera Islam tewas pada mulanya kerana pada masa itu mereka ramai. Islam pentingkan kualiti daripada kuantiti. 
 
Orang bertaqwa akan mendapat barakah di mana Allah membukakan pintu keberkatan dari langit dan bumi. Kelebihan yang melimpah ruah secara berterusan. Tidak ketara tapi dapat dirasai. Dalam kehidupan yang singkat, apa yang kita patut cari ialah keberkatan. Barakah adalah sesuatu yang sedikit tapi dirasakan banyak, yang payah dirasakan mudah dan yang sempit dirasakan luas. Ada yang dapat banyak tanpa barakah. Ada yang ambik rasuah, dan yang ambik rasuah bukan orang miskin tapi orang kaya yang dapat banyak tetapi tidak barakah. Ibarat minum air laut, lagi diminum lagi haus. Kalau tidak barakah, walaupun banyak, terasa tidak cukup dan tidak puas. Kita mahu keberkatan pada umur. Keberkatan umur, contoh kalau dalam melakukan pekerjaan kita dapat melaksanakan banyak benda dalam satu masa yang sama. Imam Nawawi walaupun meninggal pada umur 40 tahun tapi berapa banyak kitab kitab yang ditulis dengan usia hidup dia. Ianya semacam tidak logik. Iman Shafie dapat katam Al Quran 2 kali dalam satu hari dalam bulan Ramadhan. Ini bermakna dia mendapat usia yang barakah. Semoga kita dapat yang barakah pada usia, pada anak anak dsb.
 
Barakah hanya dapat pada orang bertaqwa. Jalan penyelesaian kepada masalah. Hidup sentiasa ada masalah, dan di dalam Islam ianya dinamakan sebagai ujian. Patut umur makin hujung, makin steady. Ingat masa anak kecil, kita jaga dan susah dah besar akan senang, tapi rupanya bila besar lagi takut dan ada pula masalah lain. Pendek kata masalah kita adalah masalah berteursan. Allah telah menetapkan bahawa manusia akan sentiasa diuji dan kita kena sanggup berjuang. Bila dilanda masalah, cuba tukar skrip dengan menyebut sesungguhnya aku sedang diuji. Impaknya akan jadi berbeza bila sebut aku ada masalh dengan aku sedang diuji. Siapa yang mengujiku? Sesungguhnya Allah menguji hamba hambanya. Allah akan mengekalkan sifat kasih sayangnya. Syaratnya bila diuji, kena akrab dengan Allah. Bila hati akrab dengan Allah, tak salah kita minta dengan Allah. Ya Allah, aku ada masalah, bantulah aku. Besarkan iman kita bila kita diuji, maka akan jadi ringanlah dan kecillah ujian kita. Satu sudu garam masuk dalam satu gelas, air akan rasa masin tapi jika dimasuk dalam satu jug atau satu kolah, lagi kurang masin. Bila hadapi ujian, kembali pada Allah kerana ujian adalah kasih sayang Allah untuk kita rasa kehambaan kita dengan meminta pertolongan supaya kita diberi kekuatan untuk hadapi ujian. Inilah orang bertaqwa.
 
Dalam kehidupan, lihatlah betapa terkial kialnya manusia yang berada di zaman teknologi yang tinggi tapi semakin gersang dengan hati budi dan akhlak. Dalam tahun 2009 setiap 15 minit, satu perceraian berlaku, setiap 18 minit seorang bayi luar nikah dilahirkan. Lebih dari 70% penghuni pusat serenti adalah orang Islam, begitu juga dengan mat rempit. Kenapa jadi begini? Puncanya, tak cukup menjadi orang Islam tetapi kena jadi orang yang bertawa. Kalau kita miskin, jadi orang miskin yang sabar, kalau kita kaya, akan jadi kaya yang bersyukur, kalau kita di atas kita akan jadi orang yang adil dan kalau kita rakyat jelata, akan jadi rakyat yang setia. Pasti tenang kehidupan, jika tiada taqwa.segalanya berkecamuk. Analogi mudah, ada peraturan jalan raya dan lampu isyarat dsb. Hanya orang yang tak siuman sahaja yang rasa peraturan jalanraya sebagai satu sekatan yang menyusahkan. Peraturan adalah sebagai kawalan untuk keselamatan kita. Bayangkan jika dipersimpangan 4 dan lampu isyarat rosak, pasti kelam kabut. Inilah gambaran bila peraturan Allah tidak dipatuhi. Islam ada peraturan, yang kaya akan keluarkan zakat dan sedekah. Harta itu jangan disekat supaya ianya sentiasa mengalir dan jernih. Inilah indahnya ajaran Islam. Ini yang kita hendak bila kita bertaqwa. 
 
Sekarang kita berada di separuh akhir Ramadhan, yang kita mahukan ialah keampunan dari Allah. Ada orang yang confirm masuk neraka kerana terlalu banyak dosa, tetapi setiap hari siang dan malam dalam Ramadhan ada yang namanya dicabut dan akan dibebaskan dari api neraka. Mudah mudahan kita adalah salah seorang darinya. Sebab kita tak nampak perkara ini. Jadi analogi kalau di hari keputeraan Yang Dipertuan Agung, siapa dihukum bunuh boleh merayu dan akan diberi pengampunan pada rayuan. Cuba bayangkan mereka yang mengharapkan pengampunan ini. Sudahlah dia menunggu hari keputueraan dan menunggu pula keputusan, pasti akan jadi gelisah kerana ianya hari penentuan hidup dan mati. Dasyatnya dan hebatnya siksa neraka walaupun masuk sebentar tetapi seolah masuk selamanya. Siksa yang paling ringan di neraka ialah dipakaikan selipar dari api neraka sehingga menggelegak otaknya dan dia merasakan bahawa dia yang paling tersiksa di dalam neraka walhal dia hanya mendapat siksaan yang paling ringan. Ini semua disampaikan oleh Rasulullah. 
 
Bila masanya? Bulan puasa inlah peluang keemasan, ada 30 hari untuk kita mendapat pengampunan bukan hanya sehari seperti hari Keputeraan tetapi ada sepanjang bulan Ramadhan. Doa yang diajar oleh Baginda kepada A’ishah ialah “Allah humma innaka ‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni” (maknanya Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosaku). Kita insan yang lemah dan sangat banyak keperluan kita kepada Allah. Banyak yang kita hendak. Jadi nak minta apa ? Mintalah diampunkan dosa dosa. Sahabat sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga juga diajar supaya memohon keampunan dari dosa. Rasullullah sendiri tidak kurang dari 70 kali berisithghar pada Allah sedangkan Rasulullah seorang yang tidak dosa. Apalagi kita yang tidak dijamin syurga, lagi kita perlu memohon pertolongan dari Allah. Ramadhan setia menanti anda,kita sekarang sedang mengidup udara keampunan, kenapa kita tak guna masa yang ada untuk memohon ampun sedangkan Allah mahu mengampunkan dosa kita? Mintalah keselamatan dari api neraka dan diampunkan dosa. Tak salah minta ditambah rezeki tapi mintalah yang paling berharga sekali iaitu pengampunan dan pembebasan dari api neraka. 
 
Terima kasih kerana sudi membaca dan sama samalah kita kongsikan supaya ianya menjadi ilmu bermanafaat buat kita semua.

10 comments:

  1. Assalamualaikum Azie
    terimkasih perkongsian yg sangat bermakna utk semua
    semoga Azie sihat dan walafiat di bulan ramadhan ini ya
    beramal lah semampu kita di bulan yg mulia ini
    dan mohon lah keampunan dari Nya..

    ReplyDelete
  2. Subhanallah... terima kasih Azie ats perkongsian ilmu

    ReplyDelete
  3. kak azie, tq atas perkongsian.. sebak saya membacanya.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum kak azie..terima kasih diatas perkongsian ilmu..sangat memberi kesan kepada diri saya..sangat tersentuh..dan semoge sy dan semua menjadi org yang bertaqwa..sy adalah silent reader blog kak azie..banyak resepi yang telah sy cube dan tak pernah mghampakan..hanya Allah yang dapat membalas segala perkongsian kak azie..sy doakan semoge akak sekeluarga sentiasa di bawah lindungan dan rahmatNya.
    ikhlas dari nurul

    ReplyDelete
  5. Saya berdoa agar Azie dikurniai umur yang barakah dn dpt meneruskan dakwah di blog ini sehingga ke akhir hayat..Saya adalah salah seorang insan kerdil yg sentiasa menantikan kuliah di blog ini..Semoga Allah mengampunkan dosa yg telah kita lakukan..Aminn

    ReplyDelete
  6. Trima kasih Azie. Kak Nie silent reader blog Azie yg stiap hari membaca coretan azie.

    ReplyDelete
  7. Terimakasih banyak, Azie...banyak ilmu yg telah saya dapat dari blog ini. Entry hari ini sangat bermakna sekali. Terimakasih kerana mengambil waktu utk menulis semua ini utk manfaat kami semua. Semoga Allah memberi barakah & lindungan pada Azie sekeluarga & pembaca2 blog ini...

    ReplyDelete
  8. Jazakillahu khairan kak azie...mohon kebenaran share di fb (sy dh share dh ni)..tq

    ReplyDelete
  9. Assalam kak azie.Terima kasih atas segala perkongsian yg mendidik jiwa.

    Noor,rawang

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.