Iklan

Iklan Nuffnang

23 Dec 2014

Banjir Yang Mengimbau Kenangan





Telah berpuluh tahun rasanya saya tidak merasai suasana banjir di Kelantan. Banjir atau dipanggil bah, bak perumpamaan sekali air bah, sekali pantai berubah. Maknanya bah difahami oleh ramai orang sebagai banjir. Banjir adalah sesuatu yang cukup sentimental dan nostalgia pada saya kerana sejak kecil saya membesar dalam suasana banjir yang berlaku pada setiap hujung tahun. Semasa rumah saya di Kampung Tangok, saya suka duduk merenung melihat air banjir yang melimpah memenuhi kawasan tanah padi yang terletak di kawasan yang agak rendah di hadapan rumah kami. Manakala waktu rumah saya di Kampung Telong seperti dalam gambar di atas, saya akan keluar memancing ikan puyu di air parit di hadapan rumah.






Di musim ini, cuaca menjadi tidak menentu dengan hujan turun renyai renyai sepanjang hari. Adakala, arwah ibubapa saya akan menyalai kain baju yang basah. Terutama kain lampin anak buah yang ketika itu masih kecil. Zaman dulu tak ada atau tak mampu membeli pampers. Eee berbau asap. 






Selain itu, makanan kami ketika itu ialah berbagai jenis ubi yang direbus seperti ubi kayu, ubi itik, ubi keling dsb. Yang paling saya ingat ialah ubi gadung yang perlu dihiris halus dan direndam dalam air yang yang mengalir selama beberapa hari sebelum direbus dan dicicah dengan kelapa parut. Manakala lauk pula adalah lauk ikan sungai seperti talapia, lampan, haruan, keli yang biasanya ditangkap dengan tauk atau ditahan dengan jala. Arwah abang Hashim, abang sulong saya juga gemar menangkap ikan semasa banjir. Oleh kerana nelayan tidak turun ke laut atas faktor ombak besar yang bergelora, ikan laut akan dibuat pekasam. Lauk ikan pekasam juga adalah antara lauk yang biasa dihidangkan di rumah kami di musim banjir. Adakala nya dipecahkan sebiji telur di atas ikan pekasam yang digoreng. Walau apa pun lauk dan makanan yang dihidangkan, saya hidup dengan gembira dan makan kekenyangan dengan apa sahaja makanan yang ada tanpa banyak rungutan pun.





Ketika banjir, beberapa batang jalanraya akan turut ditenggelami air sehingga paras pinggang. Ketika inilah anak anak muda akan keluar bak pesta dengan mengharung air yang deras separas pinggang. Jika sekarang lah saya diajak berbuat demikian, pasti saya tak akan melakukannya lagi. Maklumlah saya bukannya pandai berenang. Selain itu, banjir akan memberi pendapatan sampingan kepada arwah ayah yang membawa penumpang menyeberangi jalan tersebut menggunakan perahu. Baru sekarang saya merasakan betapa penatnya arwah ayah mengayuh perahu untuk mendapat upah sebanyak 50 sen seorang dengan melawan arus air yang deras. Untuk berteduh dari hujan, arwah ayah akan mengenakan topi yang diperbuat dari daun nipah. Semuanya masih jelas di minda saya. 

Antara peristiwa berkaitan banjir yang tidak dapat dilupakan ialah bila kaki saya yang luka telah bertukar menjadi kudis yang membengkak dan bernanah gara gara jangkitan kuman dari air banjir. Bayangkan luka yang kecil telah menjadi besar sehingga saya terpaksa membalut kaki yang berkudis dan bernanah. Saya tidak dapat memakai kasut sekolah semasa menduduki peperiksaan STPM. Terpaksa berjalan berjengkek jengkek menahan kesakitan.






Kepulangan saya ke kampung kali ini betul betul mengimbau kenangan berada dalam musim banjir bila mana saya terpaksa berada di dalam hujan, baju basah melenjun setiap kali keluar dari kereta. Boleh dikatakan hujan sepanjang hari dari pagi sehingga ke pagi. Sekejap sekejap hujan, kemudian berhenti dan hujan balik. Pendek kata sentiasa baju kebasahan masa berlari masuk ke kereta. Telah bertahun lamanya saya tak merasai suasana begini. Air memutih di sana sini. Kerinduan untuk mengail sangat membuak di hati. Ianya adalah aktiviti yang paling saya sukai di musim banjir, tak dapat mengail di sungai, dapat mengail di parit depan rumah pun jadilah. Saya sangat merindui suasana kampung di musim banjir. Serious sangat rindu... Pada malam terakhir, kami menginap di Hotel Perdana dan semasa dalam perjalanan ke sana, kami singgah rumah abang Zali kerana mendapat mesej dari anak buah memberitahu kakak ipar menyediakan ubi kayu rebus. Memang dah bertahun tahun rasanya saya tak makan ubi kayu rebus dengan kelapa muda. Memang sedap sangat sangat. Kalau ubi rebus di KL, memang terpaksa berpuas hati dengan kelapa parut biasa sahaja. Tapi rasanya pasti tidak sama dengan kelapa muda parut. Syukur kerana saya masih berpeluang untuk menikmati makanan yang menjadi kegemaran sejak dulu pada hari ini. Sesungguhnya banjir akan kekal sebagai sebagai sebahagian dari sejarah hidup saya. Pasti sekali.....





8 comments:

  1. Olooh... Kak Azie.. sedap nyo..makan ubi kayu rebus cicoh nyiur.. Saya yang merantau lama di luar Kelantan pun suko bilo dapat bertukar kelik. Sero tak sanggup doh.. dihantar keluar Kelantan lagi.. Nikmat bila dapat makan, makanan asli kelantan ni..

    ReplyDelete
  2. terharunya saya membaca coretan kak Azie kali ni....terima kasih kepada kenangan lalu yg mendewasakan kita.

    ReplyDelete
  3. Puan Azie...
    bila baca cerita ni, perasaan saya bercampur aduk....sedih, rindu semuanya bergabung menjadi satu..seolah-olah saya yang melalui pengalaman itu...sesungguhnya masa tidak boleh diputar kembali....

    ReplyDelete
  4. sronok citer zaman dulu2. tetiba terliur dgn ikan budu...

    ReplyDelete
  5. sebak terasa....yg penting tekak kelantan xkan brubah walau jauh merantau...hehe

    ReplyDelete
  6. kita tak boleh buat2 lupa cerita masa lalu kita masa kecil hingga dewasa ni. lain org lain pengalamannya. sy kecik2 dulu pernah juga merasa banjir. main bot kertas...dah moden sikit abg beli bot remote.

    ReplyDelete
  7. Takperlu saya tuliskan lagi perasaan rindu saya pada suasana banjir di Kelantan..apa yang saya baca ini seolah olah apa yang saya alami..rasa cam nak menagis pun ada...hanya tinggal kenangan...Terima kasih kerana tulisan ini menyebabkan saya rasa ingin kembali ke kampung halaman...dengan kadar segera..sob..sob..

    ReplyDelete
  8. Semua cite2 dr K.Azie adalah cite kehidupan saya jugak..Membacanya membuatkan jiwa saya mengenang sesuatu yang telah lama hilang..kenangan dan jugak org2 yang tersayang..sangat touching..!
    Saya membesar di bumi kemumin, Kelantan..sudah pastinyelah saya juga merasai pengalaman mengail ikan, makan ubi kayu, ubi keling dan segala mcm ubi-ubian dikala bah..terbaeklah K.Azie..

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.