Iklan

Iklan Nuffnang

9 Aug 2014

Perjalanan Mencari Malam Lailatul Qadr




Saya terharu membaca mesej whatsApp sahabat saya, Dr Sabariah yang menulis saya sebagai seorang yang bertuah kerana diberi rezeki untuk menunaikan umrah lagi tat kala ramai yang gagal mendapatkan visa. Syukur ke hadrat Illahi atas kurniaan dan jemputan sebagai tetamuNya lagi pada tahun ini dari 17 - 28 Julai 2014. Berbeza dengan tahun lepas, di mana kali ini saya akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri di Masjidil Haram. Saya mengikuti pakej yang dikendalikan oleh Zahafiz Travel yang juga syarikat yang menguruskan pakej Haji saya pada November 2006 hingga Januari 2007 dahulu. Sebagai kenang kenangan, saya ingin membuat sedikit catatan perjalanan umrah saya yang mana tahu boleh dijadikan rujukan untuk pembaca blog Azie Kitchen yang ingin mengerjakan ibadah umrah Ramadhan di masa akan datang.

Kami menaiki penerbangan MAS MH150 dari KLIA jam 2.15 tengahari. Sampai di Terminal Haji Jeddah lebih kurang pukul 6.30 petang waktu tempatan. Sebelum itu, kami terpaksa menunggu di dalam airport shuttle hampir sejam dan menunggu lagi di terminal selama beberapa jam sebelum pemeriksaan imigresen. Kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak di luar terminal sementara menunggu ketibaan bas untuk membawa kami ke Madinah. Inilah pengalaman pertama saya menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Ketika berada di terminal, saya mendapat mesej dari hubby memaklumkan pesawat MAS MH17 telah terhempas di percayai ditembak berhampiran Ukraine dan Russia. Sungguh sedih dengan tragedi ini setelah misteri MH370 masih belum berjaya di rungkai. 





Setelah 2 jam perjalanan, bas singgah di satu tempat yang saya tak pasti namanya, untuk membolehkan jemaah ke bilik air atau untuk membeli makanan atau minuman untuk bersahur. Selepas ke bilik air, saya dan Roslina pergi ke satu restoran yang terdapat di situ untuk membeli lamb mandy dengan harga 30 rial. Lampu dalam bas dinyalakan hanya dalam pukul 3.45 pagi. Kami cepat cepat membuka bungkusan nasi mandy, ceduk ke dalam pinggan dan bersahur dengan nasi mandy berlaukkan kambing. Memang susah untuk makan dalam bas sedang bergerak apalagi untuk mengeluarkan lauknya yang berkuah dari dalam plastik. Sayang juga sebab tak dapat makan lauk sehingga habis sebab payah nak mengeluarkannya. Makan pula dengan sudu plastik. Boleh bayangkan macam mana susahnya kan. 





Sampai di hotel, telah kedengaran laungan azan Subuh. Kami hanya sempat mengangkat takbir apabila imam mula memberi salam. Namanya tak ada rezeki untuk menunaikan solat Subuh berjemaah bersama imam di Masjid Nabawi. Walaupun sedih, namun saya redha. Selepas selesai solat, kami masuk ke dalam masjid untuk menziarahi makam baginda Rasulullah di Raudhah. Saya memang berazam untuk menjaga tingkahlaku di sini supaya ianya tidak menyakiti jemaah lain. Alhamdulillah kerana kali ini, saya dapat bersolat di 3 tempat di dalam Raudhah di mana saya dan Roslina saling menjaga sewaktu salah seorang menunaikan solat. Maklumlah keadaan di dalamnya yang sangat padat di mana jemaah berasak asak untuk berada di tempat yang merupakan sebuah Taman Syurga di dunia. 






Kali ini, kami hanya berada di Madinah selama 2 hari sahaja. Pada hari akhir di Madinah, saya dan Roslina pergi ke Masjid Quba dengan teksi ditemani oleh Ibrahim, pekerja syarikat Zahafiz di Mekah dan Madinah. Berdasarkan hadis Rasulullah, kita akan memperolehi pahala mengerjakan 1 umrah dengan mengambil wudhu di hotel dan bersolat di Masjid Quba. Sudah pasti saya tidak mahu mensia siakan peluang ini begitu sahaja, lebih lebih lagi di bulan Ramadhan. Ia terjadi kerana salah faham apabila jadual ziarah dalam telah ditukar dengan jadual ziarah luar tanpa pengetahuan saya dan Roslina. Gambar di bawah adalah hari keberangkatan ke Madinah di mana kami akan singgah di Masjid Bir Ali untuk berniat umrah di miqat. Pesanan Ustaz Zawari supaya niat dibuat dengan betul di mana bagi jemaah yang telah mengerjakan umrah sebelum ini, hendaklah berniat Umrah Sunat.






Bertolak ke Mekah pada hari Sabtu jam 11.15 pagi. Kami singgah di satu tempat untuk bersolat Zohor dan Asar sementara memberi peluang kepada pemandu bas untuk tidur dan berehat seketika kerana beliau kelihatan sangat letih. Sampai di Mekah telah hampir masuk waktu solat maghrib. Selepas meletakkan bag di bilik, terus bergegas ke masjid bersama rakan sebilik iaitu Roslina dan Kak Aminah. Manakala Mar pula telah pergi lebih awal ke masjid. Namun begitu, hanya dapat bersolat dan berbuka  di dataran masjid dengan nugget Al Baik yang dihulurkan oleh keluarga Arab yang berbuka sebelah kami. Masih teringat ingat kesedapan nugget tersebut sehingga sekarang. 





Selepas selesai solat maghrib, kami balik ke hotel dan bersiap untuk melakukan umrah bersama sama dengan Ustaz Zawari dan jemaah lain. Kami berjaya menyempurnakan ibadah umrah dalam pukul 11.15 malam selepas terpisah dengan kumpulan jemaah lelaki apabila terpaksa menghabiskan pusingan akhir tawaf Umrah selepas selesai solat Isyak. Tawaf ketika ini sangat mencabar kerana apabila hampir waktu solat, polis akan merentang tali untuk menghalang jemaah wanita dari meneruskan tawaf. Mahu atau tidak, terpaksa merempuh kerana mahu meneruskan tawaf bersama jemaah lain dalam kumpulan kami. Salah satu perkara yang paling best bila menunaikan Sae di bulan Ramadhan ialah kita akan mendengar bacaan surah dari Imam Solat Terawih sepanjang melakukannya. Bacaan bergema sepanjang ulang alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menambahkan kekusyukan kita dalam beribadah.





Tidak seperti tahun lepas, saya tidak melakukan solat Tahajjud berjemaah bersama imam setiap malam kerana tidak mahu memberatkan diri sendiri selepas mengetahui cara ibadah yang lebih mudah tapi tetap memberikan ganjaran yang serupa. Itulah yang dipesan oleh Ustaz Adli berkenaan pentingnya menpunyai ilmu dalam beramal. Saya juga diingatkan bahawa kuantiti bukan ukuran tetapi sebaliknya ibadah yang berkualiti dan ikhlas kerana Allah Taala. Saya juga merujuk perkara ini kepada beberapa orang ustaz. Ustaz Ibrahim Muhamad memberi cadangan supaya mengikut sunnah Rasulullah dengan melakukan solat terawih dan witir. Jadi, ada hari hari di mana saya balik tidur di hotel selepas solat terawih dan kembali ke masjid untuk melakukan solat tahajjud dan solat witir secara bersendirian. Pada hari hari lain, selepas tidur beberapa jam, saya ke masjid seawal pukul 10.00 pagi untuk beriktikaf. Oleh kerana bilik kami berada di tingkat paling atas, apabila terasa rajin saya dan rakan sebilik akan membasuh baju dan menjemur di roof top yang hanya mengambil masa yang sangat cepat untuk kering. 






Hari khamis malam jumaat iaitu malam ke27, merupakan malam kemuncak yang dinanti nantikan sebagai malam Lailatul Qadr, saya berikitikaf di Masjidil Haram sepanjang hari. Pada hari tersebut, selepas Asar lagi Masjidil Haram dipenuhi oleh jutaan manusia yang mungkin melebihi jemaah musim Haji sehingga dalam dan dataran masjid dipenuhi lautan manusia sehingga tergambar gambaran Padang Masyhar di kepala saya ketika itu. Hari itu, lautan manusia membanjiri sehingga ke sepanjang jalan ke hotel. Bangga dan bersyukur menjadi seorang muslimin yang penyatuan ummah sangat jitu. Hari tersebut, saya terpaksa menahan diri dari ke bilik air kerana polis membuat sekatan jemaah dari memasuki masjid selepas solat Maghrib. 

Selain itu, masalah tempat duduk juga menyebabkan saya malas untuk keluar ke bilik air. Kadang kadang kesabaran tergugat dengan karenah mak Arab yang memang kasar, degil dan suka bergaduh kerana berebut tempat solat. Pernah seorang mak Arab menarik narik telekung saya kerana tidak mahu saya duduk di lorong hadapannya sementara menanti masuknya waktu solat. Namun begitu, ada juga mak Arab yang baik hati memberikan kami ruang untuk bersolat. Walaupun pergi awal ke masjid, tempat telah penuh kerana ianya adalah hari jumaat. Saya  cuba menahan diri dari marah dengan memberi senyuman. Akhirnya mak Arab tersebut kelihatan seolah menyesal dan mahu berbaik dengan menghulurkan sedikit roti sewaktu hampir waktu berbuka. 






Di malam malam akhir Ramadhan, tempat duduk sangat sesak sehingga tak mampu untuk duduk bersila pun. Kaki hanya dapat dilunjurkan secara bersilang menyebabkan ianya terasa sangat kejang dan lenguh. Cabaran bertambah dengan tahap kepenatan diri kerana saya hanya berbuka dan bersahur dengan beberapa biji tamar dan air zam zam.  Saya sebenarnya ingin merasa kecukupan dengan rezeki yang diberi di tanah suci ini. Kalau berbuka di luar masjid, memang mewah dengan makanan yang disedekahkan oleh dermawan Arab termasuklah pelbagai jenis nasi. Hanya sekali sekala, kami curi curi membawa masuk roti ke dalam masjid. Memang pihak Arab mengamalkan sikap pilih kasih apabila orang Arab jer boleh membawa masuk pelbagai makanan ke dalam masjid samada untuk dimakan atau disedekahkan pada jemaah. 





Apa yang saya perhatikan, saat hampir waktu berbuka puasa adalah saat paling mengembirakan di kalangan jemaah. Masing masing berkongsi makanan dan saling membantu membahagikan air zam zam. Kurma akan dicampak dan dibaling kerana tidak dapat bergerak dalam masjid dek jemaah yang terlalu padat. Memang menepati hadis dari Abu Hurairah r.a, katanya, Rasulullah saw bersabda: "Setiap amal anak Adam dilipatgandakan pahalanya. Satu macam kebaikan diberi pahala sepuluh sampai tujuh ratus kali (gandaan). Allah azzawajalla berfirman "Selain puasa kerana puasa itu untuk Ku. Aku akan beri pahala bagi orang yang puasa, kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makan kerana Ku. Dan bagi orang yang berpuasa ada 2 macam kegembiraan: Pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum dari bau kasturi" (Sahih Muslim 1118 ). Masya Allah, Tabarakallah....

OK setakat ini dahulu catatan untuk kali ini. Insya Allah, saya akan menyambung sedikit lagi catatan perjalanan Umrah Ramadhan kali ini di dalam entri berikutnya di SINI. Jangan lupa, nantikannya. Sekarang mahu menyambung tidur dahulu....



4 comments:

  1. Tahniah dan Alhamdulillah kpd Puan Azie, terpilih sekali lagi untuk menjadi tetamu Allah. Saya sungguh seronok membaca catatan perjalanan ini sebagai motivasi dan panduan kepada saya akan datang, insya Allah. Harap puan sudi untuk menyambung catatan perjalanan puan..saya tak jemu untuk mengikutinya, terima kasih banyak..wassalam..drpd Pn. Saniah, Shah Alam.

    ReplyDelete
  2. Salam Azie,

    Seronoknya Azie dapat penghujung Ramadan di sana. Mak Aji ke Madinah sebelum Ramadan dan cuma sempat berpuasa selama sekitar seminggu sahaja di Makkah. Pengalaman yang cukup berharga dan menyeronokkan ya!

    ReplyDelete
  3. Saya pernah terpisah dengan rombongan umrah ketika bertawaf suatu ketika dahulu. Masa itu rasanya seolah2 begitulah keadaannya di Padang mahsyar. Berjalan berseorangan tanpa mengenali orang kiri dan kan. Terus berjalan bersama untung nasib yang hanya Allah sahaja yang megetahuinya.

    ReplyDelete
  4. Subhanallah...rmainya umat Nabi Muhammad kt Masjidil Haram time puasa.Ingatkan time haji ja ramai camtu.Mula la terimbau2 kenangan 2011

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.