Iklan

Iklan Nuffnang

27 Feb 2014

Bagaimana Untuk Mendapat Pahala Berterusan Selepas Mati





Hari ini saya ingin kongsikan artikel sangat bagus yang saya ambil di SINI untuk peringatan kita semua. Sebagai umat Islam kita wajib percaya kepada perkara-perkara ghaib termasuklah perihal di alam roh ataupun di alam barzakh. Apabila matinya anak Adam, terputuslah segala kemewahan dan kenikmatan dunia kecuali amalan soleh yang dapat membantu kita di alam kubur kelak.
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, sebagai persediaan menuju alam kematian yang kekal dan tidak kembali lagi mari kita berazam untuk membuat sedekah jariah bagi menjamin pahala yang berterusan untuk kita nikmat kelak.
Apakah jenis-jenis amalan tersebut? Hidup kita di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Dari itu, peluang yang ada di atas muka bumi Allah SWT ini adalah lebih elok andai diisi dengan amalan-amalan soleh serta kebaikan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain juga.
Cara mudah yang boleh kita lakukan untuk ganjaran pahala berterusan adalah seperti membuat sedekah jariah iaitu dalam bentuk harta benda yang diwaqafkan kerana Allah SWT seperti :
1. Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Juga boleh mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, mendirikan rumah anak-anak yatim, madrasah, sekolah, pusat-pusat pengajian Islam dan sebagainya.
2. Mendirikan atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.
3. Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk kegunaan orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh mahupun untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.
4. Mendirikan rumah “musafir khanah” untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.
5. Seterusnya, bagi yang berkemampuan dan berharta boleh mendirikan hospital, mendirikan perpustakaan untuk kegunaan umum, membiayai percetakan naskah al-Qur’an dan kitab-kitab Islam serta menyampaikan pengetahuan yang berguna jika berilmu dan sebagainya.
Memberi ilmu yang bermanfaat akan beroleh pahala yang besar. Selain itu, antara amalan baik dan kebajikan yang boleh kita usahakan untuk beroleh pahala adalah:
  1. Mengeluarkan kos untuk memasang kipas di surau atau masjid kerana setiap kali jemaah yang menggunakan alatan tersebut untuk tujuan ibadah pahala akan diperolehi walaupun selepas mati.
  2. Menderma kerusi roda di hospital. Jika setiap kali pesakit menggunakan kerusi roda tersebut ganjaran pahala akan diterima.
  3. Bersedekah pakaian kepada insan yang memerlukan.
  4. Memberi makanan kepada insan lain, pahala akan dirasai selagi makanan itu menjadi darah dagingnya.
  5. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat, maka selagi mana ilmu yang baik itu dijadikan amalan, pahala akan kita perolehi.
Sebenarnya tiada kerugiannya jika kita berusaha untuk pahala kerana segala bentuk pahala itu akan membantu kita di alam barzakh kelak. Begitu juga beruntunglah kepada sesiapa yang mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat membantu kedua ibu bapa mereka di alam kubur kelak.
Dalam hal ini, kepada insan yang berkemampuan adalah lebih makmur rezekinya andai dikongsi bersama manusia lain yang memerlukan kerana dalam setiap rezeki yang diterimanya tetap ada bahagiannya untuk insan lain juga. Jom beramal!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.