Iklan Nuffnang

Iklan

Revenue Hits

20 Nov 2013

Nipah Oh Buah Nipah






Sebelum saya bercuti bersama anak anak selama beberapa hari, saya ingin bercerita sedikit tentang buah eksotik kegemaran saya. Buah nipah adalah antara buah yang sangat saya gemari. Ini adalah antara buah yang sangat istimewa dalam hidup saya. Tiada bahasa untuk digambarkan betapa sedapnya buah nipah pada tekak saya. Namun begitu, sudah lebih 35 tahun saya tak menemuinya, apalagi menikmatinya. Pokok nipah yang saya tahu adalah pokok yang tumbuh di tepi sungai. Oleh kerana di belakang rumah kami di Tangok dulu, ada sebatang sungai yang membahagikan antara Kampung Tangok dan Kampung Kuau, maka memang banyaklah pokok nipah yang tumbuh di sepanjang kiri kanan sungai yang memang sangat dalam dan mempunyai buaya. Dulu dulu, setiap kali ke sungai untuk mengangkat bubu yang dipasang untuk menangkap udang, arwah ayah akan mengintai ngintai tandan buah nipah yang telah masak untuk dibawa balik. Cerita sedikit pasal sungai yang dihubungi oleh jambatan yang terapung di atas permukaan sungai ini, memang sekarang jika dibayar upah yang tinggi pun, tak mungkin saya akan berjalan jalan bermain di atas jambatan yang kami panggil "rretak" itu. Pernah diceritakan oleh Bonda tentang kisah seorang wanita dan ibunya menyeberangi jambatan telah terjatuh ke dalam sungai menjerit meminta tolong sementara si ibunya hanya mampu melihat anaknya tenggelam timbul dibawa arus deras. Cerita yang menyayat hati itu bagaikan menghantui saya sehingga kini bila membayangkan sungai tersebut. Di musim tengkujuh, jambatan akan terputus dua apabila dilanggar oleh rimpunan pokok nipah yang hanyut oleh arus yang deras. Sesungguhnya sungai itu akan sentiasa kekal di ingatan dan sentiasa terbayang di mata....





Sejak berpindah dari Kampung Tangok, saya tidak pernah lagi dapat menikmatinya. Setiap kali melalui kawasan sungai yang mempunyai pokok nipah, saya pasti menjeling untuk melihat kalau kalau ternampak tandan nipah. Dapat tengok pun sudah cukup untuk mengembirakan saya. Kali terakhir saya melihat buah nipah adalah di pokok nipah berhadapan dengan Sudara Beach Resort yang saya tinggal semasa balik bercuti hari raya Haji baru baru ini. 

Semasa dalam perjalanan untuk menikmati makanan laut di Tg Dawai, saya terpandang beberapa tandan buah nipah yang diletakkan di hadapan gerai di tepi jalan. Saya tidak dapat meminta hubby berhenti memandangkan kami mengikut kereta Haji Zul Darus. Dalam perjalanan balik, gerai pulak telah ditutup.





Keesokan pagi, selepas bersarapan di hotel, saya dan hubby telah pergi sekali lagi ke gerai tersebut. Kali ini, nasib menyebelahi saya apabila terdapat buah nipah yang telah diletakkan di dalam air gula dan juga buah nipah segar yang baru sahaja dikopek dari kulitnya. Terasa sangat seronok bila dapat memegang buah nipah dan merasai isi buah nipah lagi.







DI situ juga, saya telah menghabiskan 3-4 bekas buah nipah yang sangat sedap. Tambah tambah lagi dengan rasa air gulanya yang sejuk sejuk menyegarkan. Hubby juga memborong beberapa bekas untuk dibawa balik ke KL. Tetapi sayang sedikit kerana sesampai di rumah, ianya telah menjadi agak masam. Mungkin kerana ianya telah berada di dalam cuaca panas selepas ditinggalkan di dalam kereta semasa kami menghadiri majlis kenduri kawin anak Dato' Hashim. Akibat kedegilan saya untuk makan juga walaupun masam, akhirnya saya dah sakit perut, meragam serta kembung. Aduhaai...





Ini pulak adalah sebiji buah nipah yang saya minta dari kakak yang berjual untuk dibawa balik. Rasa macam tak percaya pun ada, bila berjaya memegang buah nipah ini. Rasa macam nak ajak hubby ke sana lagi.





Syukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang untuk menikmati lagi buah nipah yang menjadi kegemaran suatu ketika dulu. Buah ini adalah dalam kategori buah mewah pada saya kerana bukan mudah untuk menikmatinya dan tidak boleh makan banyak banyak kerana perlu juga disimpan untuk adik beradik yang lain. Bagi yang tidak kenal pokok nipah, saya letakkan gambarnya di bawah yang diambil berhadapan Sudara Beach Resort. Ada kelihatan tandan buah nipah yang baru berbuah. Selain buah, pokok nipah juga menghasilkan nira dan juga cuka nipah. Kalau tak silap saya, daunnya dibuat atap rumah bagi rumah rumah kampung zaman dahulu. Daun nipah akan direndam dahulu beberapa hari di dalam air sungai sebelum ianya dicucuk di sepanjang batang buluh.  





8 ulasan:

  1. sedap tapi nikee dah lupa rasanya kak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama lah Nikee. Saya pun dah lupa. Bila masuk ke mulut dan kunyah, baru ingat rasanya

      Padam
  2. Salam kenal k.azie... best kalau makan waktu cuaca panas. Sejuk je lalu kt tekak...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hazel,
      Saya dah teringin nak menikmatinya lagi. Rasa macam nak ke SP lagi

      Padam
  3. Mmg sdp buah ni kak Azie....sejuk tekak bl makannya....dulu sy selalu gak mkn buah ni sbb umah nenek kat tepi sungai,tp skrg dh ssh nk jumpe buah ni...

    BalasPadam
  4. Saya pun mcm azie. Masa balik dari tg dawai, saya telah singgah membeli dua bekas sbb rumah saya tak la jauh sgt dr situ untuk ulang membelinya lagi. Dalam kereta saya dan suami habiskan sebekas dan tinggalkan satu bekas utk anak-anak. Balik rumah mereka pandang pun tidak. BUkannya nak merasa. Sayang sbb mereka tak pernah melalui kehidupan seperti kita dan mereka tak tau menghargainya

    BalasPadam
  5. kak, kat kampung saya (Indonesia), buah ni banyak orang jual. lagi2 masa bulan puasa. kat malaysia jarang nampak, ada yang dah pack, buah kabung namanya ye. teringin pulak nak makan, biasa buah ni buat campuran pengat pisang atau dibuat manisan. letak dalam peti ais, sejuk2 sedap sangat..

    BalasPadam
  6. kt kmpung sy pun masih bnyak lgi pokok nipah nihh...mklumlah sy tinggl kt tepi sungai...tp syg dh lama sy x makn buah nihh...x de masa nk ambik...huhuh....blik cuti ni lh...insyaAllah... :)

    BalasPadam

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.