Iklan Nuffnang

Iklan

Revenue Hits

2 Sep 2013

Kesilapan Dan Panduan Semasa Di Tanah Suci





Sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah di bulan Ramadhan yang lalu, Ustaz Ibrahim Muhamad sempat menghantar pesanan melalui sms supaya berhati hati kerana di Tanah Suci bukan sahaja pahala yang berganda tetapi dosa yang dibuat juga berganda. Pada masa itu, saya tidak meminta ustaz menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kesalahan sehinggalah saya menghantar sms kepada ustaz meminta diberikan contoh contoh kesalahan yang berlaku.

Di antara kesalahan yang biasa berlaku adalah:

1.   Bergaduh kerana berebut tempat solat. Di bulan Ramadhan terutama di 10 malam terakhir,  jemaah akan beriktikaf di masjid. Jadi mereka akan berada di masjid sepanjang masa. Jadi barang barang seperti kerusi dan sejadah akan diletakkan dan agak sukar untuk orang yang baru datang ke tempat tersebut untuk bersolat di tempat berkenaan. Jadi jika dimarahi, janganlah kita bergaduh dan berbalas cakap. Sebaik baiknya kita berdiam atau berpindah ke tempat lain.

2.   Bergaduh kerana berebut tempat sujud. Ada ketika, akan datang jemaah yang cuba menyelit samada di belakang atau dihadapan kita sewaktu solat akan dimulakan. Biarkan sahaja dan cubalah sujud sebaik mungkin. Ini adalah kerana apabila kita memberi kelapangan kepada orang lain, pasti Allah akan memberi kelapangan kepada kita.

3.   Jangan mengumpat rakan sebilik atau sesama jemaah Di samping sesama jemaah kita, jangan juga kita mengumpat atau mengata kepada jemaah dari negara lain walaupun mereka tidak memahami apa yang kita perkatakan dan mereka tidak mendengar atau mengenali kita. Ini adalah kerana ianya masih dikira sebagai mengumpat. Contohnya jangan bercakap atau berbisik sesama sendiri berkenaan jemaah Arab, seperti “haa dah datang dah. Dah lah badan besar, nak menyelit pulak”. Ini adalah kerana mereka juga tetamu Allah. Siapalah kita untuk mengata tetamu yang dijemput Allah.

4.   Jangan merungut atau marah sekiranya ada jemaah dari negara luar yang lalu dan memijak sejadah kita atau melangkah bahu dan kepala kita. Ini adalah kerana tempat yang sempit menyusahkan mereka untuk berjalan. Jadi kita perlu redha dengan keadaan tersebut.

5.   Jangan mengambil hak orang lain. Sebagai contoh, jika kita kehilangan selipar, kita mengambil pula selipar orang lain walaupun dengan bertujuan untuk memimjam. Sebaliknya kita kena redha dengan kehilangan tersebut.








Amalan dan panduan yang boleh dilakukan:

1.    Jika hendak bersedekah di bulan Ramadhan, tak perlulah bersedekah dengan kurma atau rotub kerana memang ianya telah banyak didermakan oleh syarikat  atau dermawan Arab.

2.   Jemaah tidak dibenarkan membawa masuk makanan untuk disedekahkan kepada jemaah semasa berbuka. Jadi jika kita ingin berbuat demikian, kita boleh minta tolong dengan khadam yang bekerja dengan majikan mereka untuk membelikan makanan yang ingin kita sedekahkan seperti fresh laban, samosa, coklat kit kat dsb.

3.   Kebiasaannya jemaah akan diberikan buah buahan seperti epal dan pisang sewaktu berbuka puasa dan bersahur di hotel. Jadi kita bolehlah mengambil buah buah tersebut dan dibawa bersama semasa hendak ke masjid. Bahagikan buah buah tersebut kepada jemaah yang berada di luar masjid untuk mereka makan sewaktu berbuka puasa.

4.   Sewaktu umrah di bulan Ramadhan, tong air zam zam akan hanya dihantar ke dalam masjid selepas solat Asar. Ketika itu jemaah sudah ramai dan agak sukar untuk kita bergerak dari tempat duduk untuk mendapatkan air zam zam. Jadi sebaiknya kita membawa bekas minuman yang besar supaya boleh diminum sewaktu berbuka dan juga untuk kegunaan mengambil wudhu. Selepas setiap kali solat, minumlah sedikit air zam zam untuk mengelakkan dehydrasi.

5.   Kebanyakan jemaah mudah mendapat demam dan berhingus, jadi adalah baik sekiranya kita dapat membawa bekalan antibiotic seperti augmentin untuk tujuan tersebut. Di samping itu, berdoa untuk kesembuhan penyakit setiap kali minum air zam zam.

6.   Bagi jemaah yang menghadapi masalah kesihatan seperti sakit belakang, eloklah jika dapat membeli kerusi yang boleh dilipat yang sangat selesa dan terasa seolah kita menyandar di dinding.

7.   Perbanyakkan sedekah dan berwakaf. Kalau sedekah, kita boleh bersedekah kepada cleaner yang ramai di dalam masjid dan juga kepada jemaah yang memerlukan.  Manakala untuk wakaf pula, jemaah boleh membeli kerusi untuk solat dan diwakafkan kepada masjid.

8.    Perbanyakkan solat sunat sebelum solat Asar kerana mengikut pengalaman saya semasa mengerjakan umrah Ramadhan, selepas solat Asar masjid akan menjadi sangat padat sehingga tidak ada ruang kita sujud kecuali jika bersolat sambil duduk di kerusi. Jemaah akan duduk secara berhimpit himpit atau tidur sementara menunggukan solat berikutnya.



4 ulasan:

  1. Salam kenal..

    jazakallahh. bermanfaat all the tips. belum berkesempatan ke sana. INSYALLAH one fine day..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasihnya. Ianya berdasarkan pengalaman sendiri

      Padam
  2. bila baca entry ni hati terpanggil tuk ke sana,
    Ya Allah perkenankan niat hambamu ini. :) thnx sis for the info.

    BalasPadam

Terima kasih kerana sudi komen. Ianya sangat dihargai.
Sekiranya anda telah mencuba resepi di sini, sudi kiranya dapat memberikan link entri untuk rujukan pembaca lain.

Kepada non blogger yang tiada akaun, sudilah menulis nama atau nama ringkas di bawah komen anda. Tak mesra lah nak panggil Cik/Puan Anonymous, kan.