Klik Iklan Dulu

Sunday, 30 September 2012

Kari Ayam Jer







Kari Ayam sempoi jer hari minggu ni. Saya memang tak sihat malahan, mula bersin semula sejak semalam. Jemputan ke majlis tahlil Dato' Khalil juga tidak dapat dihadiri. Tapi hubby meminta juga dimasakkan ayam dan ikan yang dibeli di kedai runcit semasa ke workshop untuk mencuci keretanya. Nasib baik bila ditanya apa yang hendak dimasak, dia ada jawapannya. Jadi kerja saya mudah, tak adalah penat nak memikirkan apa yang nak dimasak. Kari ayam adalah masakan yang paling sempoi dalam dapur saya kot.




Rasanya semua orang pandai buat Kari Ayam ni tak kira di mana mereka berada kecuali budak  budak yang belum masuk ke dapur jer. Jadi kalau orang dewasa tak pandai masak Kari Ayam atau anak dara yang tak tahu memasak Kari Ayam, memang tak boleh dibuat menantu. Ye lah kan, ini resepi 1 Malaysia yang paling sempoi, bezanya antara sedap dengan tidak jer. Hihihi ooh bercakap pasal menantu sahaja sekarang ni ya. Mana tak nya, kita yang lagi sibuk berfikir dari tuan punya diri. Gitulah kepala ada satu jer, tapi otak boleh fikir macam macam dalam satu masa.

Kalau nak sedap, kita blend sedikit bawang besar sebab bawang besar menjadikan kuah kita lebih manis. Yang lain lain macam biasalah bawang merah, bawang putih, halia yang dihiris serta rempah penumis. Setelah bahan tumis benar benar garing, masukkan ayam dan masak sehingga air ayam agak kering dan keluar minyak, baru dimasukkan santan. Kali ini saya letakkan juga kerisik sebab ada stock kerisiknya di rumah. Garam pulak saya menggunakan garam kasar. Tapi warna rempah kari yang saya guna ni,  agak pucat dan kurang cantik. Tak berapa merah, dan saya pulak tak letak serbuk cili kot terpedas nanti.

Apa apa pun tak kisahlah, janji anak anak dan suami suka makan apa yang kita masak. Itu yang paling penting. Semasa masih dikacau di periuk, satu pinggan dah diratah oleh Aween dengan alasan dia tak nak makan malam nanti....




Lauk Bila Tak Ada Lauk






Haaa apa ke hal nyer tu? Comot comot serata tu. Hahaha inilah sebenarnya lauk kesukaan saya bila tak ada lauk untuk dijadikan hidangan. Sedap ni... Dari kecik lagi makan lauk camni sehingga lah dah berkahwin. Bukan pemalas tau tapi lauk kegemaran ni.

Mudah jer menyediakannya. Cuma goreng telur mata kerbau. Lepas tu tuang kicap ke dalam pinggan. Tuang pulak sos cili, campakkan pulak bawang besar atau bawang merah pun OK. Tapi mesti dihiris nipis nipis. Kalau suka, boleh juga dihiris cili merah atau cili padi. Aduhaai sedap ni.... Sure lauk macam ni tak dijual di 5 star restoran, jadi baiklah buat sendiri kalau terasa nak menikmatinya.... Amacam? OK tak? Kalau OK, jom hidangkan pada cik abang dan tengok apa katanya....


Percutian Ke Hanoi





Walau pun telah lama berlalu, namun saya ingin abadikan catatan perjalanan famili kami ke Hanoi pada 8 - 12 Februari 2007. Ianya sangat signifikan bagi saya kerana percutian itu adalah dibuat sekembalinya kami dari mengerjakan Fardhu Haji pada hujung Januari 2007. Walaupun percutian ini tidak disertai Nana yang sedang melanjutkan pengajian di Alexandria University tetapi percutian ini amat bermakna kerana ianya percutian famili yang terakhir. Ianya dibuat sebelum kami memulakan pembinaan rumah dan ketika hubungan dengan anak anak masih rapat dan mesra. Maklum ketika ini mereka masih kecil, kegembiraan mereka adalah ketika bersama dengan ibu bapa berbanding dengan sekarang di mana mereka lebih suka menghabiskan masa di bilik masing masing dengan hp, lap top, ipad dan bermacam macam lagi.

Kami ke Hanoi dengan menggunakan penerbangan Air Asia yang ketika itu baru menambahkan destinasi penerbangan ke Hanoi. Sesampai di sana, kenalan saya seorang Malaysia yang telah lama menetap di Hanoi dengan mengusahakan restoran iaitu Encik Ben Taat telah menyediakan kenderaan untuk membawa kami dari airport terus ke restoran beliau dahulu untuk makan tengahari sebelum check in di hotel.




Keadaan bandar Hanoi yang agak kotor dengan pemandangan mereka berjualan makanan di sepanjang jalan menjadikan saya agak lemas berjalan jalan di sana. Kami mengambil beca untuk ke sana ke mari dan seronok sangat bersiar siar dengannya.

Apa yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila bertemu dengan peniaga yang menjual buah duku atau kalau di Kelantan di panggil buah sawa nila yang sangat besar, lebih besar dari genggaman orang dewasa. Rasanya pula sangat manis. Oleh kerana agak sukar mencari makanan halal, saya banyak membeli buah buahan untuk dimakan. Selain itu, kami juga membeli barang barang seperti biskut dan maggi keluaran Malaysia yang dijual di kedai kedai runcit berdekatan dengan hotel kami.




Selain meronda ronda kedai kedai dan shopping mall, kami juga mengambil pakej percutian ke Halong Bay Cruise, mengelilingi pulau pulau yang berbagai bentuk dengan mencari sendiri di travel agent di Hanoi. Dengan cara ini, lebih menjimatkan. Kami di bawa menaiki bot besar mengelilingi pulau yang pelbagai bentuk sebelum bot berhenti di tengah lautan bagi mereka yang ingin membeli belah. Kami membeli makanan laut dan meminta dimasakkan. Wah seronok makan makan sambil bersantai dan dibelai angin laut yang berhembus.









Kami juga di bawa singgah ke Halong Bay's limestone Islands yang perlu kita memanjat bukit untuk memasuki gua yang mempunyai bentuk batu batan yang sangat unik. Selepas itu, pelayaran disambung semula untuk balik ke pelabuhan.





Hari hari lain kami banyak berjalan dari satu kedai ke satu kedai untuk shopping. Sempat juga saya membeli sepasang baju readymade dari sutera Vietnam dan hubby banyak membeli baju kemeja. Yang seronoknya di sini, kita boleh membeli baju yang sesuai untuk terus dipakai berbanding dengan Beijing yang banyak menjual kemeja dan T Shirt. Saya juga membeli beberapa helai seluar dari kain linen. Tapi bila membeli belah di sini, memang kena pandai tawar menawar. Bayangkan penat saya menawar untuk satu set cadar sutera dan selepas melangkah keluar dengan kegembiraan kerana berjaya mendapat harga yang diminta, saya kembali mencuka apabila di dapati harga yang saya bayar adalah harga yang diletak di kedai lain sebelum ditawar. Aduhaaaiii sakitnya hati.

Itulah serba sedikit catatan perjalanan kami ke Hanoi yang saya tidak pasti jika saya ingin bercuti ke sana lagi di masa masa depan. Kepulangan kami telah disambut dengan gembira oleh Rizky yang ketika itu, baru berusia dalam 3 bulan. Hmmm...







Friday, 28 September 2012

Suntingan Bunga Di Laman Villa Nur Qaseh





Majlis kecil kecilan ini memang satu majlis bersejarah dalam hidup Nana, saya dan anak anak yang lain. Walaupun ianya dibuat sebegitu ringkas namun ianya adalah pengalaman pertama bagi kami. Seperti kata Nana dulu, "Mama kenalah belajar kerana kakak ni anak sulung". Hmmm memanglah sejak berkahwin, saya dan suami sangat independent dalam mengendalikan urusan keluarga terutama dalam penjagaan anak anak. Semua dibuat sendiri, maklumlah semua adik beradik saya jauh di Kelantan. Mereka semua turun ke sini secara serentak hanyalah sewaktu saya dan hubby berangkat ke tanah suci. Itulah saat yang sangat membahagiakan saya. Bukan mudah untuk mereka semua  turun ke KL untuk saya. Semasa balik dari Mekah, hanya kakak dan bonda saya sahaja yang datang.

Berbalik kepada majlis keluarga kali ini, saya amat gembira dan pada masa yang sama sedih kerana memikirkan Nana yang akan melalui fasa baru dalam kehidupan. Ya lah saat itu pasti akan tiba bila anak anak akan memulakan hidup sendiri seperti mana yang telah saya lalui dulu. Gembira kerana akan menerima ahli keluarga baru yang baik akhlak dan budi bahasa serta dari keluarga yang baik baik dan mementingkan pendidikan ugama. Itu yang paling penting. Majlis ini hanya melibatkan ahli keluarga terdekat dan dipanjangkan kepada 2 keluarga sahabat baik kami iaitu Tuan Haji Kamarudin dan Dato' Salehuddin serta jiran kami. Mereka bertindak sebagai jurucakap bagi pihak kami. Mereka sudah seperti adik beradik sendiri pada kami yang sentiasa menyokong di saat suka dan duka.
  







Oleh kerana saya tak berapa sihat untuk menyediakan sendiri makanan untuk majlis ini, hubby telah menempah dari katering. Jadi memandangkan kami mengambil juga khemah, hubby menjemput sekali CEO, management staff dan agen agen untuk datang selepas majlis keluarga selesai. Sebenarnya ramai yang bertanya samada saya ada membuat majlis rumah terbuka, namun saya tidak dapat mengadakannya pada tahun ni dek kesibukan tugas di pejabat, masalah kesihatan dan juga kerana akan berangkat ke Egypt untuk urusan konvokesyen Nana tidak lama lagi. Memang jamuan hari ini tidak dirancang langsung melainkan untuk majlis Nana sahaja.



Di majlis itu, saya menempah dari katering dan hanya memasak pencuci mulut sahaja seperti Puding Triffle dan Puding Karamel. 2 biji kek coklat dan Red Velvet Cupcake juga disediakan di samping 1 bekas buah buahan. 

Jom layan gambar gambar yang disediakan. Mula mula kita tengok The Moist Ever Chocolate Cake yang sangat sedap sehingga ada tetamu yang memikirkan saya membelinya dari Secret Recipe. Klik di SINI untuk melihat resepi dan cara cara penyediaannya. 2 biji kek disediakan di mana 1 kek dibuat sebagai hantaran.






Sebagai pencuci mulut, saya juga menyediakan Puding Karamel menggunakan resepi yang dikongsi oleh Maziah yang sangat mabeles. Ramai tetamu yang memuji keenakan puding karamel yang sangat manis berlemak dengan air gula yang pahit pahit manis. Klik di SINI untuk melihat resepinya...





Selain Kek Coklat, kami juga menyediakan Kek Red Velvet, cuma ianya dibuat dalam bentuk cupcake bagi dijadikan hantaran. Memang puashati dengan kejadian RV cupcake ini yang sangat moist dan secukup rasa sahaja kemanisannya. Klik di SINI untuk melihat resepi yang saya gunakan. Asalnya saya bercadang untuk menghiasnya dengan fondant icing tetapi Nana memberitahu yang RV lebih ngam jika diganding dengan cheese cream frosting.







Lagi lagi pencuci mulut, kali ini Puding Trifle. Saya membuat puding ini kerana saya mempunyai stok kek pound yang sesuai dijadikan base bagi puding trifle ini. Klik di SINI untuk resepi. Puding Trifle sedap dimakan sewaktu masih sejuk, nyaman jer dimakan sambil bersantai.





Akhir sekali, satu bakul buah buahan segar digubah ringkas. Oleh kerana semuanya disediakan pada saat akhir, hiasan untuk bakul buah buahan tidak dapat disempurnakan bila apa yang dicari tidak dijumpai. Dengan bantuan Dr Hamidah dan Datin Nursinah, siap juga gubahan buah buahan ini seadanya.






Saya sangat gembira kerana anakanda sulung kami yang bukan sahaja tamat pengajian perubatan dan bakal bergelar doktor tetapi juga telah disunting oleh keluarga yang baik baik.



Syukur kerana semuanya berjalan lancar dan kami perlu membuat persediaan untuk majlis seterusnya yang pasti tidak bolehlah lagi dibuat pada saat terakhir. 

Thursday, 27 September 2012

Masak Tempoyak Ikan Kembung Dengan Timun





Ini adalah lauk hidangan dinner minggu lepas semasa my MIL masih ada di rumah kami. Memikirkan  orang Perak suka makan ikan masak tempoyak, semasa balik dari pejabat, kami singgah di kedai runcit membeli beberapa ekor ikan kembung. Lagi pulak rasa macam dah lama sekali tak memasak Tempoyak Ikan Kembung ni. Asyik asyik masak tempoyak Ikan Patin jer. Sekali sekala teringin juga makan ikan kembung yang tidak berlemak dan tidak memuakkan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, memang tak lalu makan makanan berlemak, dek badan yang rasa sakit sakit seperti simptom mahu demam selsema. Jadi saya memasak masakan yang simple simple jer. Seperti biasa masak tempoyak ni sedap jika dimasukkan sekali hirisan timum atau pun taugeh yang besar besar tu. Dengan itu, dah kira "2 in 1" lah sebab dah tak perlu lagi nak memasak atau menggoreng sayuran.

Jom lah kita semak resepi yang saya gunakan. Saya memang tak meletak asam keping kerana tempoyak memang dah masam dan dimasukkan sedikit gula.





Masak Tempoyak Ikan Kembung 

Bahan-bahan:
4 ekor ikan kembung
1 sk kunyit serbuk
2 biji cili merah (ditumbuk halus) 
1 senduk tempoyak (nak pekat letak lebih lagi) 
1 biji timun  (dipotong serong) 
Air secukupnya
Garam
Gula

Cara-cara:
Cili ditumbuk halus dan digaulkan dengan tempoyak, serbuk kunyit dan garam. Masukkan ke dalam periuk yang diletakkan air gaul sehingga rata.

Masak dan kacau selama 3 minit baru masukkan ikan yang terlebih dahulu sebelum dimasukkan timun. 
Masukkan asam keping jika kurang masam dan juga sedikit gula.

Sesuaikan rasa dan kepekatan. Bolehlah diangkat dan dihidangkan dengan nasi putih.




Wednesday, 26 September 2012

Laksam dan Laksa Kelantan






Kalau di entri sebelum ini di SINI, saya kongsikan cara cara membuat laksam, kali ini saya kongsikan entri membuat kuah dan hidangan laksam. Laaa yang ni, ulang tayang jer. Dah ada resepinya yang saya kongsikan dulu. Tapi tak apalah untuk menyenangkan, tak payah nak cari cari, klik jer di SINI. Saya masih menggunakan resepi yang sama kerana kuah ini memang menjadi seperti kuah laksam Kelantan mengikut tekak Kelantan saya. Kiranya hari ini saya hanya bersarapan dan makan tengahari dengan laksam jer. 

Sejak discharge dari Tropicana Medical Centre petang semalam, saya rasa perut masih tak selesa dan selera masih tak ada. Jadi dengan adanya makanan Kelantan, semoga akan terbuka sedikit selera untuk makan. Allah Maha Mengasihi kerana diberikan saya ujian untuk menyedarkan diri saya supaya tidak jauh terleka dan Alhamdulillah dan syukur ianya dapat dikesan awal dengan pemeriksaan dan ujian yang dilakukan dan Insya Allah, dengan izinnya saya akan sembuh. Sepanjang di ward, terasa kasih sayang suami yang sanggup menjaga saya dengan bekerja dari hospital dan anak anak juga mengunjungi untuk menemani dan menghiburkan saya yang kesunyian. My hubby bukan putera raja tetapi ianya umpama Prince Charming di dalam hidup saya yang walaupun tidak sesempurna yang diimpikan tetapi melebihi dari apa yang sepatutnya saya miliki. Dari mula berkahwin, saya dilayan umpama seorang permaisuri. Lelaki hebat ini adalah anugerah yang terbaik buat saya yang sentiasa lemah dan kesakitan.

Entah kenapa hati ini sangat sepi dah hiba di pagi ini. Mungkin kot memikirkan rakan rakan yang bekerja di pejabat sedang diri terasing di villa yang sunyi sepi selain dari deruan air terjun di kolam yang jernih dengan ikan yang berenang renang kegembiraan. Betul ke mereka gembira? Hmmm yang pasti syurga sedang menanti mereka. 

Walau bagaimanapun saya bertekad, segala yang lain saya ingin ketepikan seketika dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah kerana Dialah sebaik baik wakil kita "Hasbunallaahu waniqmal wakeel". Dilahir sebagai orang yang biasa biasa, saya mengakui telah menikmati hampir segalanya keindahan hidup ini, hanya sedikit sahaja lagi yang tidak dicapai, itupun bukan perkara yang sangat penting dan mungkin ianya bukan sesuatu yang baik untuk saya. Maka itu Allah tidak memberikannya kepada saya. Syukur di atas semua nikmat yang telah dikurniakan...

Tidak mahu lagi bersentimental, sebelum lebih banyak mutiara menitis, jom tengok resepi di bawah ini... 




Laksam
Oleh: Azie Kitchen 

3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
5 cawan air suam (3 air mendidih + 2 air biasa)
1/2 sk garam 

Satukan semua bahan dan kacau rata supaya tidak bergentel. Lihat lihat cara cara menyediakannya di SINI.







Bahan Kuah
1 kg ikan - rebus ambik isi dan kisar
1/2 kg santan pekat 
1 gelas air utk tambahan (utk sesuaikan pekat/cair)

Dikisar
10 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1 inci halia 
2 btg serai - ketuk 
1 sk serbuk lada hitam
3 keping asam keping 
Garam 
Gula secukup rasa.

Satukan semua bahan di atas dan masak di atas dapur sehingga mendidih dan masak. Masukkan garam dan gula. Sesuaikan rasa dan kepekatan, bolehlah diangkat. Jika terlebih pekat, masukkan sedikit air panas.

Ulam 
Kacang panjang 
Daun kesum 
Timun batang 
Bawang besar
Bunga kantan
Kubis








Sambal
Cili padi
Cuka
Garam
Gula

Kisar kesemua bahan di atas

Bahan lain
Belacan 
Garam


Cara Menghidang:
Masukkan laksa/laksam ke dalam pinggan. Sendukkan kuah dan tuang di atas laksam tadi.





Letakkan ulam ulaman yang dihiris. Akhir sekali, letakkan sambal. 





Kalu suka, boleh juga letak belacan atau jika mahu lebih masin, tambahkan sendiri secubit garam sebelum menggaul. Ini cara hidangan di Kelantan, dihidangkan sekali belacan dan garam untuk diambil sendiri semasa makan bagi disesuaikan dengan selera masing masing.







Boleh juga dimakan dengan laksa beras kerana laksa Kelantan dan laksam menggunakan kuah yang sama. Laksa beras sedang direndam.




Enjoy....