Resepi hari ini saya ambik dari blog Secubit Garam yang saya tak perlu lah sebut dari mana pulak Kak Nor memperolehinya yang pastinya panjang berjela. Walaupun tak disebut, pahala dan ganjaran untuk mereka yang sebelumnya sudah pun di dalam simpanan. Ameen. Berkongsi ilmu bermanafaat sangat besar ganjarannya, pahalanya berterusan selagi ilmu itu dikongsi, dipanjangkan dan diguna serta diamalkan. Jom sama sama kita beramal melalui masakan di samping berbakti untuk keluarga sendiri.
Saya mula mula terpandang dan terberkenan dengan resepi Rosemary Grilled Chicken dari blog zila4ever. Biasalah mula mula saya cari gambar yang cantik cantik dulu, selepas melayan mata dan minda, baca pula entri untuk mencari penilaian pada hasil masakan. Kalau aduh du dudu du dudu sedap nyeer, tak tipu sedap dll kata merayu, saya pasti terduduk, terpikat dan tergodanyer. Tapi bila masuk lagi sekali untuk tengok dengan apa ayam ini digandingkan, mula lah merayau sampai lah ke blog Kak Nor. Di sini hati tertarik pula dengan Nasi Karot. Maka kejadian hari ini di Villa Nur Qaseh adalah Nasi Karot dan Rosemary Grilled Chicken. hahaha guna nama omputih, kasi glemer dan gorjes sikit...
Seperti biasalah, kalau Sabtu dan Ahad, memang saya pulun habis. Pendek kata dari pagi sampai malam, saya duduk di dapur. Kalau dah jemu, saya keluar jap, melayan ikan japanese koi dan kelah kesayangan saya tu. Sungguh menenangkan minda bila melihat ikan kelah melibaskan ekornya semasa menyambar makanan. Bunyi sahaja pintu dibuka, mereka terus berenang laju ke arah saya seperti juga Rizky yang dengan setia menunggu hubby bersiap ke pejabat setiap pagi. Dengan setia juga dia ikut hubby turun sama ke dapur untuk bersarapan. Baguslah Rizky ni, tak pernah miss sarapan. Hmmm barulah metabolisme tinggi selepas perut berpuasa beberapa jam semasa kita tidur. Bukan macam anak anak saya yang suka skip sarapan...
Laaa dari Nasi karot, jauh pulak membebel ya. OK lah jom ikut saya melayan resepi nasi dan lauk yang sedap ini. Tak payah nak masak berjenis jenis lauk pauk seperti memasak nasi putih. Cukup dengan ulaman atau acar atau sayuran dengan yoghurt. Dah lengkap hidangan kita...
Nasi Karot
Bahan bahan:
6 cawan beras bathmati
2 cawan carrot (potong dadu kecil/parut)
1/2 cawan susu cair
8 cawan air – atau air rebusan ayam
1 kiub ayam knorr
1 sudu kecil gula
garam
Bahan Tumis:
2 sudu besar rempah kurma/rempah beriani
5 ulas bawang merah – mayang
3 ulas bawang putih – mayang
2 cm halia -mayang
3 sudu besar minyak sapi/butter
2 cm kulit kayu manis
2 kuntum bungka lawang
5 biji bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 tangkai daun ketumbar -mayang
daun pandan - simpulkan
Cara:
Panaskan minyak sapi dalam periuk rice cooker dan masukkan bahan tumis, bawang dan halia yang dimayang dan daun pandan.
Bila dah wangi masukkan rempah kurma/beriani. Biarkan naik minyak.
Masukkan air, garam, gula, kiub ayam knorr dan susu cair. Biarkan mendidih.
Masukkan beras, carrot dadu dan daun ketumbar. Alihkan periuk ke dalam rice cooker dan masaklah nasi seperti biasa.
Hidangkan dengan ayam panggang dan cili yoghurt. Gambar ada kat bawah sekali tu
Rosemary Grilled Chicken
Bahan:
1 ekor ayam - potong 4
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar
2-3 sudu besar gula perang
2 sudu kecil garam
sedikit perasa
2 sudu besar jus limau/lemon
3 sudu besar olive oil
5 biji kentang
2 biji tomato ~ boleh letak tomato masa menghidang jika suka tomato fresh
6 biji baby carot
sedikit mentega
Cara penyediaan:
Ayam di potong 4 atau dibiar tidak di potong kemudian dibersihkan. Ketepikan dulu. Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam. Gaul rata.
Panaskan minyak zaitun. Goreng bawang putih hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan dulu.
Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.
Masukkan bawang putih yang telah di goreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.
Masukkan lebihan minyak zaitun (masa menggoreng bawang putih) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa dan jus limau ke dalam rempah yang telah di tumbuk tadi. Gaul rata. Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam. Masukkan ayam dalam bag berzip perap dalam petisejuk beberapa jam.
Kentang di kopek dan di rebus 3/4 masak. Ketepikan. Lebihan rempah ayam tadi boleh di lumur pada kentang.
Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot di dalam tray pembakar. Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180- 200 darjah celcius selama 1 jam.
Nota:
Bila ayam itu dipanggang, ia akan mengeluarkan banyak air. Jangan dibuang. Guna air ayam yang penuh dengan rempah ratus itu sebagai sosnya. Masukkan air ayam di dalam periuk dan tambah dengan satu atau dua sudu besar tepung jagung. Masak sehingga kuah pekat