Hari ini saya membuat Blueberries Cheese Tart sebagai memenuhi permintaan Aween. Entah kenapa dah banyak kali dia meminta saya membuatnya. Bila dia melihat saya menyediakan cheesecake pun dia masih bertanya kenapa saya tak membuat cheese tart. Oleh kerana saya dan hubby akan bertolak ke US dalam beberapa hari lagi, jadi saya fikir elok juga jika hari minggu seperti ini, saya sediakan kuih yang dimintanya.
Pagi pagi lagi saya masuk ke dapur untuk menyediakan pastri tart. Sementara menunggu ianya disejukkan, saya keluar untuk memberi makan ikan ikan yang sedang menunggu untuk bersarapan. Selepas itu, saya menyiram pokok pokok. Rasa puas sangat bila semua kerja kerja ini dapat disiapkan, maklumlah dalam seminggu 2 hari sahaja saya berkesempatan untuk melakukan rutin ini.
Oleh kerana saya belum punya acuan tart, terpaksalah mengajak hubby ke City Bakers untuk mendapatkannya dulu. Memang sedap dan rangup sekali tart ini. Secukup rasa semuanya. Saya pejam mata dan menghabiskan 2 biji. Kalau ikutkan hati, 5 biji pun boleh habis. Hmm kalau nak tahu bagaimana sedapnya, kena lah cuba sendiri. Mudah sangat menyediakannya dan tentu jimat jika dapat dibuat sendiri selain boleh memakan sepuasnya.
Nampak tak cheese tu macam melimpah sedikit sebabnya kerana saya nak menghabiskan adunan cheese, jadi taruk jer lah lebih sikit. Sepatutnya penuhkan dalam 3/4 lebih sikit jer dari crust. Apa apa ianya sangat sedap apalagi di makan sejuk sejuk selepas dikeluarkan dari peti ais. Jom cuba buat sendiri...
Blueberries Cheese Tarts
Bahan-bahan - 20 biji
Pastri:
125g butter (salted)
55g gula halus
250g tepung gandum
1 kuning telur (sejuk)
1/2 sk esen vanila
1 sb air ais
Satukan dan ayak tepung dan gula.
Masukkan butter ke dalam tepung dan gaul sehingga menjadi seperti crumb/pasir.
Masukkan telur kuning, vanilla dan air ais.
Gaul sebati sehingga menjadi doh dan masukkan ke dalam peti sejuk selama 20-30 minit.
Keluarkan doh, biarkan seketika sehingga lembut. Bulat bulatkan doh dan tekan di atas acuan tart.
Cucuk dengan garfu utk mengeluarkan udara. Acuan tak perlu di gris.
Bakar pada suhu 170C selama 15 minit atau sehingga keperangan.
Keluarkan dari acuan dan pastikan tart shell benar benar sejuk, baru dimasukkan blueberries filling.
Perasan tak yang saya terlupa untuk mengeluarkannya dari acuan tart tu, jadi saya tambah masa membakar untuk menjadikan crust yang rangup.
Nota:
Kalau menggunakan acuan, boleh ratakan permukaan tepi dengan pisau.
Tart shell boleh disediakan awal awal dan dimasukkan dalam bekas kedap udara dan simpan di dalam peti ais untuk tahan lama.
Cream Cheese Filling:
250g cream cheese- lembut
20g butter (salted)- lembut
50g gula halus
1 biji telur
Putar cheese, butter dan gula sehingga kembang dan berkilat. Masukkan telur dan putar hingga sebati.
Sudukan blueberries ke dalam pastri tart yang telah dibakar tadi.
Kemudian tuang adunan cheese atas blueberries hingga menutupi bahagian filling dalam pastri.
Sudukan blueberries filling di atasnya adunan cheese.
Buat pattern dengan melorek menggunakan toothpick.
Bakar pada suhu 170C selama 15 minit
Angkat dan boleh dihidangkan. Anak saya memasukkan ke dalam peti ais terlebih dahulu kerana cheese sedap dimakan sejuk, katanya Tapi saya pula suka memakan semasa masih suam panas.
Nota:
Biarkan cheese dan butter seketika tapi jangan sampai ke suhu bilik. Biarkan masih sejuk sedikit ketika diputar.
Sebaiknya mula memutar filling cheese setelah selesai
memasukkan filling blueberries ke dalam crust supaya cheese tidak lama
berada di luar. Siap jer, boleh terus dituang ke dalam crust.
Boleh juga dimasukkan terus adunan cheese di atas pastri.
Kemudian titiskan blueberries filling di atas adunan cheese dan lorek untuk dijadikan pattern.
Cheese Tarts yang telah siap di simpan di dalam bekas kedap udara dan letakkan dalam peti ais untuk tahan lebih lama.
Blueberry Filling:
125g fresh blueberries
1 sk gula
Boleh juga menggunakan Blueberries filling, strawberry filling atau apa2 filling yg digemari secukupnya
Panaskan blueberries dan gula sehingga mendidih atas api sederhana sambil dihancurkan berries dengan sudu.
Masak dalam 6 minit atau sehingga pekat dan menjadi 1/4 cawan. Angkat dan biarkan pada suhu bilik.
Sedap dihidangkan dengan teh O panas panas. Ini adalah patern bentuk LOVE yang dibuat oleh Aween. I cooked this delicious Blueberries Cheese Tarts just to make you happy coz Mama love you so much, my son.
Nota:
Untuk mendeko, boleh juga menggunakan sedikit filling cheese di dalam piring dan diletak pewarna yang disukai dan gaul sehingga warna sekata. Dengan menggunakan toothpicks, titis cheese berwarna dan corakkan sesuka hati.
Enjoy....